dedaunan



Rabu, 30 Januari 2013

DOA SEORANG KEKASIH




-DOA SEORANG KEKASIH-
“A
KU terima nikahnya Nur Aisya Qasdeena Binti Qusyairi dengan mas kahwinnya RM2000.00 tunai!” Tenang dan lancar tutur bicaranya melafazkan akad dihadapan Haji Qusyairi yang merupakan wali kepada pengantin perempuan. Secara zahirnya, sahlah dia menjadi seorang suami dan bakal memikul tanggungjawab yang sangat besar.
     Tetamu yang hadir semuanya mengaminkan doa yang dibaca oleh Haji Qusyairi. Memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, terangkat sudah hijab diantara seorang lelaki dan seorang perempuan dipagi yang penuh ketenangan dan kesyahduan itu.
     “Alhamdulillah! Semuanya sudah selesai dengan baik. Kalau macam tu, jomlah kita pulang sekarang untuk majlis pembatalan air sembahyang pulak,”  ujar Haji Qusyairi seraya bangun diikuti yang lain. Hanya beberapa langkah, mereka tiba dirumah batu sederhana besar itu. Surau yang hanya terletak bersebelahan dengan rumah pengantin perempuan memudahkan segalanya.
     Lutfie menapak masuk ke bilik yang merupakan bilik pengantin dimana gadis yang sudah sah menjadi isterinya sedang menunggu penuh debaran.
     Sekelipan, jari manis isterinya sudah tersarung sebentuk cincin emas bertatah berlian pilihannya. Tangannya dikucup lembut dan spontan, bibirnya mendarat didahi licin gadis itu. Tindakan luar kawalan. Walaupun itu hanyalah adat orang melayu dan bukanlah perkara yang terlalu penting, entah kenapa dia terbuat pula. Mata-mata yang memandang tersenyum penuh makna.
     Saat itu, dia dapat merasakan satu perasaan yang cukup tenang menjalar dalam setiap urat nadinya. Hatinya mulai yakin dengan pilihan orang tuanya. Mungkin ini yang dikatakan hakikat bahagia yang sebenar. Wajah mulus yang sudah kemerahan itu ditatap penuh makna. Dia tahu, itu bukan solekan tapi semulajadi bila si gadis sudah tersipu.
     Qasdeena tak senang duduk bila direnung begitu. Sudahlah banyak mata yang memandang perlakuan mereka dengan senyuman nakal. Aduh! Malu la! Namun, dia cuba berlagak selamba. Bersahaja dan seolah tidak perasan dengan pandangan itu. Lutfie tersenyum lucu melihat reaksi gadis yang sudah menjadi isterinya beberapa minit yang lalu.

PETANG itu, sebaik selesai majlis, mereka mendapat berita dari Melaka mengatakan nenek Qasdeena, Nek Kiah yang masih berada dihospital diserang sakit jantung yang lebih parah. Oleh kerana mereka masih pengantin baru, Haji Qusyairi menyuruh mereka tinggal sahaja dirumah. Bermakna, malam ini hanya tinggal mereka berdua. Dia dan lelaki yang sudah sah menjadi suaminya itu.
     Qasdeena yang baru selesai membersihkan diri, menapak ke biliknya. Namun, langkah kakinya mati dimuka pintu sebaik terdengar suara lelaki itu seolah sedang berbicara dengan seseorang di telefon. Telinganya didekatkan ke pintu. Itulah kerjanya, curi dengar perbualan orang. Isy! Teruk betul.
     “Nisa’? Hmm… aku dah boleh terima dia bukan jodoh aku. Mungkin aku memang tak layak untuk dia,” suara suaminya kedengaran bersahaja.
     Nisa’? Siapa Nisa’? Bukan jodoh? Adakah ini bermaksud… dia sudah berpunya? Maknanya Nisa’ tu awek dia? Dan aku adalah seorang perampas?Oh no! Impossible! Aku paling tak suka jadi perampas. Ya Allah! Dia mula tak senang duduk.
     “Insya-Allah! Kau mesti faham, kan? Tak mudah untuk melupakan cinta pertama. Tapi aku tengah berusaha la ni. Setiap perkara perlukan masa, kan?” Lutfie bersuara lagi. Nadanya mendatar. Tak terlalu sedih, tapi tak jugak gembira. Cuma, dia yakin dengan apa yang didengar. Rupanya lelaki itu sudah dimiliki hatinya. Aku kan hanya pilihan orang tuanya. Hatinya terasa pedih tiba-tiba.
     Otaknya mula mengatur rancangan. Mungkin agak kejam, tapi… dia tak mahu mengambil hak orang lain walaupun hakikatnya, lelaki itu sudah menjadi haknya kini. Ya Allah! Ampunkan hambaMu ini!
     Sebaik terdengar panggilan ditamatkan, dia menapak masuk. Riaknya bersahaja. Lutfie tersenyum melihat isterinya. Qasdeena santai dengan t-shirt hijau dan seluar track hitam. Pertama kali melihat gadis itu tanpa hijab, dadanya bergetar.
     “Dah sudah mandi? Jom, solat sama,” ajaknya ramah. Mungkin itu boleh jadi permulaan yang baik buat mereka. Dia nekad mahu belajar menyayangi isterinya walaupun mereka tidak mengenali diri masing-masing dengan sepenuhnya.
     “Err, emm… tak bolehlah.” Jawabnya teragak-agak. Malu! Tapi, ah! Peduli la. Dah jadi laki aku pun. Dia menapak ke meja solek. Rambutnya yang basah diramas dengan tuala untuk dikeringkan. Perlakuannya seolah lelaki itu tiada disitu sahaja. Luthfie sedikit berdebar melihat rambut Qasdeena yang separas bahu dikibas-kibas sedikit.
     “Ohh, ye ke? Kalau macam tu, abang ke suraulah,” suaranya kedengaran hampa. Tak ada malam pertamalah jawabnya. Qasdeena hanya mengangguk. Matanya mengekori langkah suaminya hingga hilang disebalik daun pintu.
     Setelah yakin suaminya sudah pergi, dia mengunci pintu bilik dan mula menjalankan ‘projek’. Handphone lelaki itu dicapai. Dibelek seketika sebelum keluhan dilepaskan. Tak ada yang menarik pun. Dia menggeledah pula beg pakaian lelaki itu penuh berhati-hati. Namun, masih tidak menemui apa-apa yang mencurigakan.
     Setelah penat menggeledah, dia duduk dibirai katil. Keluhan hampa dilepaskan. Kenapa tak jumpa apa-apa pun? Eh, entah-entah, dia tinggalkan kat rumah dia. Apalah aku ni. Buat apa dia nak bawa barang tak penting kat sini. Duduk bukannya lama pun. Tapi, betul ke tak penting?
     Dia merebahkan badannya diatas katil. Tangannya didepangkan. Tiba-tiba, tangan kirinya seolah tersentuh sesuatu. Segera dia mencapai ‘sesuatu’ itu disebalik bantal. Dompet! Pantas dia bangun dari pembaringan.
     Bersama debaran yang maha hebat, dia membuka dompet jenama polo itu. Luthfie, maafkan aku.
     Satu-satu tempat dilihat. Tangannya terhenti pada satu tempat yang terisi sekeping kertas yang sudah dilepat kecil supaya muat ruangan itu. Perlahan, dia mengeluarkannya dan membuka lalu dibaca.
Khairun Nisa’… Dia gadis idaman setiap jejaka. Dia gadis pilihan semua ibu bapa. Tuturnya lembut. Bicaranya penuh kesopanan. Jalannya hanya menunduk. Tidak memandang perkara yang dilarang. Wajahnya bukan untuk tatapan lelaki ajnabi bahkan perhiasannya hanya buat suami. Aku resah. Aku gelisah. Sudah acap kali cubaku buang bayangan wajah bersihnya namun ternyata sukar. Hanya satu perlu aku lakukan. Ya Allah! Adakah dia jodoh buatku? Jika ya, titipkan sayang dalam hatinya supaya aku bisa menyuntingnya menjadi permaisuri hatiku yang halal disisiMu! Amin…
     Qasdeena terkedu. Bibirnya seolah kelu. Saat ini, yakinnya bertambah dan hatinya nekad dengan rancangan yang dibuat. Biarlah jika semua orang akan membencinya. Biarlah semua orang memandang serong padanya. Niatnya, dia mahu lelaki yang sudah bergelar suaminya mengecap bahagia bersama insan yang selayaknya. Bukan dia. Tetapi… Khairun Nisa’!

PULANG dari surau selepas selesai solat isyak, tidak sempat dia mahu memberi salam, kakinya kaku dimuka pintu. Matanya terpaku pada sekujur tubuh yang elok terbaring diatas kerusi rotan dengan kaki terkangkang. Ya Allah! Perempuan ke lelaki ni? Betul ke apa yang aku nampak ni? Gadis itu begitu ralit membaca novel sambil tv turut terpasang sehingga tidar sedar akan kepulangannya. Membazir elektrik betul. Luthfie menarik nafas dalam sebelum berdehem beberapa kali.
     Spontan, Qasdeena terus bangun dari pembaringan dan duduk. Novel ditutup. “Abang dah balik?” Soalnya sekadar mahu menutup getaran didada. Sehabis mungkin, dia cuba mempamerkan riak yang paling selamba.
     Luthfie mengangguk sedikit. Kakinya mula melangkah ke bilik setelah pintu utama dikunci.
     “Abang nak makan?” Pertanyaan itu buat langkah kakinya terhenti. Wajah isterinya dipandang sebelum kepalanya digeleng sedikit.
     “Ok!” Terus dia merebahkan semula badannya diatas kusyen dan menyambung pembacaan tanpa rasa bersalah.
     Entah kenapa, hatinya benar-benar tergores dengan perlakuan isterinya. Inikah gadis pilihan orang tuanya? Dengan mudah, sangkaannya terhadap gadis itu dimajlis pembatalan air sembahyang tadi hilang begitu saja. Ternyata, gadis yang sudah menjadi isterinya seorang yang hipokrit. Hanya berlagak sopan dihadapan orang tua mereka sahaja. Ah! Hatinya sakit.
     Ya Allah! Mungkin dia perlu mula belajar menerima kekurangan dan sifat sebenar isterinya walaupun agak payah. Dia perlu bersedia sekarang untuk menghadapi lebih banyak kemungkinan tentang diri gadis bernama Qasdeena itu. Nak buat macam mana lagi, gadis itu sudahpun sah menjadi isterinya, tanggungjawabnya.
     Qasdeena memandang disebalik novelnya kelibat Luthfie yang menghilang didalam bilik. Keluhan panjang dilepaskan. Ya Allah! Benarkah tindakanku ini? Ampunkan aku, ya Allah! Maafkan aku, Luthfie.
     Dalam bilik, Luthfie duduk di birai katil. Nafas dilepas perlahan. Terasa kini dia sedang menggalas beban yang tersangatlah beratnya. Beg sandangnya dibuka lalu dikeluarkan buku notanya. Disatu muka surat, tercatit dengan tinta hitam satu lirik lagu. Lagu yang paling diminatinya dan membawa maksud yang cukup mendalam. Dulu, lagu ini pernah ditujukan buat Khairun Nisa’ walaupun bukan secara lisan. ‘Dia’ yang dimaksudkan dalam lagu itu sudah tentunya Nisa’.
     Tapi kini, lagu itu istimewa buat isterinya. Alangkah indah andai isterinya memahami. Dan dia juga akan belajar memahami gadis bernama Aisya Qasdeena. Itu tekadnya kerana dia yakin, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Tak mungkin abi dan uminya salah membuat pilihan. Malah, dia sendiri sudah membuat solat istikharah 3 kali berturut-turut. Dan hanya wajah isterinya kini yang kelihatan dalam mimpinya. Dan dia perlu percaya, tak semestinya jika pilihan yang tepat itu tidak diuji. Selagi kita bernafas dimuka bumi ini, kita akan sentiasa diuji dan diduga. Bukankah itu tanda Allah menyayangi kita? Mahu menguji sejauh mana kesabaran yang kita miliki, sekuat mana keimanan didada.
Doa seorang kekasih
Oh Tuhan, seandainya telah Kau catatkan
Dia milikku tercipta untuk diriku
Satukanlah hatinya dengan hatiku
Titipkanlah kebahagiaan
Ya Allah! Ku mohon apa yang telah Kau takdirkan
Ku harap dia adalah yang terbaik buatku
Kerana Engkau tahu segala isi hatiku
Pelihara daku dari kemurkaanMu.
Ya Tuhanku, yang Maha Pemurah!
Beri kekuatan jua harapan
Membina diri yang lesu tak bermaya
Semaikan setulus kasih dijiwa
Ku pasrah kepadaMu, kurniakanlah aku
Pasangan yang beriman, bisa menemani aku
Supaya ku dan dia, dapat melayar bahtera
Ke muara cinta yang Engkau Redhai.
Ya Tuhanku, yang Maha Pengasih
Engkau sahaja pemeliharaku
Dengarkan rintihan hambaMu ini
Jangan Engkau biarkan ku sendiri.
Agarku bisa bahgia walau tanpa bersamanya
Gantikanlah yang hilang, tumbuhkan yang telah patah
Ku inginkan bahgia dia dunia dan akhirat
PadaMu, Tuhan! Ku mohon segala!

SUDAH seminggu mereka tinggal bersama disebuah apartment di Kuala Lumpur kerana Luthfie terpaksa dipindahkan ke sana. Kali ini, mungkin mereka akan terus menetap disana memandangkan Luthfie sudah menjadi guru tetap disebuah sekolah menengah di sana.
     Qasdeena baru selesai menyediakan makan tengahari sewaktu Luthfie pulang. Sebaik selesai menjamu selera, Qasdeena mula mengemas. Keadaan mereka tidak berapa mesra walaupun Luthfie cuba menjadikan suasana lebih ceria. Namun, Qasdeena seolah cuba menjauhkan diri dari suaminya. Sudah tiga hari Qasdeena suci. Tapi dia selalu sahaja memberi alasan bila lelaki itu bertanyakan tentang mereka. Sedaya-upaya dia cuba melarikan diri dari berbicara soal itu. Luthfie benar-benar terkilan. Tapi, apa dayanya. Dia tidak mahu memaksa.
     “Sya, abang nak cakap sikit.” Pintanya sewaktu Qasdeena selesai menyiapkan kerjanya didapur. Dia masih di meja makan dan menanti isterinya duduk dihadapannya. Sejak mereka sah menjadi suami isteri lagi, dia memanggil isterinya dengan panggilan Aisya. Dia lebih suka nama itu daripada Qasdeena. Dia sendiri tidak tahu kenapa.
     Dengan berat hati, Qasdeena menapak jua ke meja makan. Setelah melabuhkan punggung dihadapan suaminya, dia menunduk, menanti bicara lelaki itu.
     “Kenapa Sya macam tak suka abang?” Soalnya lirih. Tidak mahu berselindung lagi.
     Qasdeena mengangkat wajah. Keningnya berkerut. “Bila masa pulak Sya tak suka abang?”
     “Kenapa Sya selalu mengelak dari abang?” Soalnya lagi.
     “Mana ada Sya mengelak dari abang!” Nafinya.
     “Kenapa setiap kali abang nak cakap pasal kita, Sya selalu ubah topik?”
     “Sya tak suka cakap pasal tu!”
     “Kenapa? Sya tau kan yang menolak keinginan suami adalah dosa besar? Sya memang suka sangat menambah dosa ke? Abang suami Sya! Abang berhak keatas Sya! Abang tak nak memaksa. Tapi Sya buat abang macam orang bodoh!” Bidasnya geram. Hatinya sakit setiap kali Qasdeena melawan kata-katanya. Terasa maruahnya sebagai seorang suami dipijak-pijak.
     “Sya tak nak cakap pasal tu. Sya masuk bilik dulu,” terus dia berdiri namun sepantas kilat tangannya disambar membuat dia tersentak hebat. Entah bila masa lelaki itu berdiri disisinya, dia tidak tahu.
     “Apa yang Sya nak sebenarnya? Susah sangat ke nak terima abang? Kalau macam ni la, kenapa terima pinangan abi dengan umi dulu?” Luthfie semakin berang. Ternyata, sabarnya sudah hampir ke kemuncak.
     “Bukan Sya yang terima, tapi abah dengan mak!” Jawabnya berani. Dia cuba membela diri. Dalam masa yang sama, dia cuba melepaskan genggaman tangan lelaki itu. Sakit!
     “Habis, sekarang nak salahkan abah dengan mak pulak? Apa kena dengan Sya ni? Abang tak sangka Sya seteruk ni! Sanggup jadikan orang tua sendiri sebagai alasan untuk melepaskan diri. Manusia apa Sya ni??” Nadanya semakin tinggi. Sabarnya sudah hilang.
     “Lepaskanlah!!” Jeritnya lantang. Luthfie tergamam bila ditengking begitu oleh seorang wanita bergelar isterinya. Hatinya benar-benar tersentap hebat. Saat itu, ringan sahaja tangannya mahu menampar pipi Qasdeena.
     Qasdeena menutup mata. Dia ketakutan. Tidak pernah ada yang menamparnya dimuka. Ibu bapanya juga tidak mengajarnya main kepala. Tapi, mungkinkah hari ini, dia bakal merasa sakitnya ditampar? Perlahan, matanya dibuka bila tiada langsung rasa sakit dipipi. Tangan lelaki itu begitu hampir dimukanya. Dia menelan liur.
     “Ma… maafkan… Sya,” tuturnya gagap. Matanya mula berkaca. Dia sedar, dia sudah menempah tiket paling depan ke neraka bila menengking suaminya tadi. Tapi, dia benar-benar tidak dapat mengawal diri dari menghamburkan kemarahan.
     Luthfie menarik semula tangannya seraya melepas keluhan yang terasa sangat berat. Mukanya tegang memandang wajah pucat Qasdeena.
     “Apa yang Sya nak sebenarnya dari perkahwinan ni?” Suaranya sudah mengendur.
     “Abang, maafkan Sya. Sya betul-betul tak dapat nak tunaikan permintaan abang. Tapi, boleh abang tunaikan satu permintaan Sya?” Pintanya teragak-agak.
     Wajah itu dipandang penuh tanda tanya. “Sya tak nak tunaikan permintaan abang tapi nak abang tunaikan permintaan Sya? Sya nak permainkan abang ke?”
     “Tak! Tak niat pun. Sya cuma nak abang tunaikan permintaan Sya sebab ni untuk kebahagiaan abang jugak.”
     “Apa yang Sya nak buat untuk kebahagiaan abang selain terima abang sebagai seorang suami?” Nadanya kedengaran sinis.
     “Sya ada kenal dengan seorang ni. Cantik, baik, sopan, lemah-lembut. Ka… kalau abang tak kisah, Sya nak abang kahwin dengan dia,” tuturnya laju walaupun masih takut-takut.
     “Apa??” Terkejut beruk Luthfie dibuatnya. Qasdeena tergencat dengan nada yang meninggi itu.
     “Sya ingat perkahwinan ni perkara main-main ke, hah?” Marahnya, lantang. Marahnya memuncak kembali.
     “Ta… tapi…”
     “Tak ada tapi-tapi! Sejak bila Sya buat kerja ni? Sejak bila Sya jadi pakar cari jodoh ni? Ingat abang ni apa? Nak kahwin ramai-ramai. Senangnya cakap. Tak dapat nak layan abang, senang-senang suruh abang kahwin lain? Sya ingat abang tak ada perasaan ke?” Nadanya jelas terkilan yang amat sangat.
     “Tapi Sya yakin abang mesti suka!” Jawabnya laju. Dia tidak peduli kalau suaminya tidak setuju pun. Dia tetap akan buat supaya suaminya setuju jugak.
     “Sya!” Suaranya keras memberi amaran.
     “Nama dia Khairun Nisa’. Abang kenal, kan? Anak Tok Imam. Adik kawan abang, Yazid.” Sambungnya selamba tanpa menghiraukan amaran lelaki itu. Seperti yang diduga, wajah suaminya jelas berubah sebaik nama itu disebut.
     “Ap… apa Sya cakap? Siapa?” Luthfie agak gagap.
     “Khairun Nisa’. Abang mesti kenal kot. Sya nak abang kahwin dengan dialah. Semalam Sya ada jumpa dia. Saja sembang-sembang. Lama jugak masa Sya ambik nak korek rahsia. Akhirnya, dia mengaku jugak yang selama ni dia sukakan abang. Abang terimalah, ya? Bukan senang isteri tua nak tolong carikan calon isteri untuk suami dia. Abang sepatutnya bersyukur, tau.” Ujarnya berseloroh. Cuba menceriakan suasana.
     “Kenapa…”
     “Abang jangan la terharu sangat. Sya buat macam tu sebab Sya rasa bersalah kat abang. Sya betul-betul tak dapat nak layan abang macam isteri lain. Mungkin sebab Sya memang belum bersedia. Sya mintak maaf sangat-sangat. Abang maafkan Sya, ya?Abang terima Nisa’, dah cukup buat Sya rasa bersyukur sangat. Abang tolong, ya. Jangan buat Sya rasa bersalah lagi,” suaranya lirih. Matanya mula berkaca. Dadanya sebak saat menuturkan kata-kata itu. Benar-benar menghiris hatinya sendiri.
     Luthfie diam tak terkata. Wajah isterinya dipandang lama. Dia masih belum dapat percaya dengan permintaan isterinya yang sangatlah pelik itu. Tapi, entah kenapa, hatinya sedikit berbunga riang. Nisa’ sukakan aku? Nisa’ bakal jadi milik aku?Oh God!

BERITA itu buat abi mengamuk sakan. Umi pula sedari tadi hanya mampu mengalirkan air mata. Namun, bila dipujuk oleh Qasdeena, mereka akhirnya pasrah. Apa yang boleh dibuat kalau itu merupakan permintaan isteri Luthfie sendiri. Malah, bersungguh-sungguh benar dia meyakinkan ibu bapa mertuanya yang dia benar-benar mahu Luthfie memperisterikan Khairun Nisa’.
     Tok Imam yang mulanya tidak setuju juga terpaksa redha bila anaknya sendiri rela menjadi isteri kedua kepada Luthfie Al-Hafizeen. Setelah dipersetujui, tarikh pernikahan mereka sebulan dari sekarang. Itu merupakan permintaan Qasdeena sendiri, tidak mahu melewatkan perkara yang baik. Semua orang sudah tak terkata dengan kedegilannya termasuk ibu bapanya sendiri. Ramai tidak bersetuju terutama adik-beradik Luthfie dan Qasdeena sendiri tapi Qasdeena terlalu berkeras. Mereka akhirnya rela dalam paksa.

“SYA…” panggil Luthfie seraya melabuhkan punggung di sofa bersebelahan isterinya.
     “Hmm?” Wajah suaminya dipandang.
     “Sya sayangkan abang tak?”
     Soalan lelaki itu menyentak nalurinya. Kenapa dia tanya soalan macam tu?
     “Kenapa abang nak tau?” Soalnya bersahaja. Dia benar-benar bijak dalam mengawal reaksi wajahnya.
     “Saja nak tau. Walaupun baru dua minggu kita nikah, takkan tak ada sekelumit pun sayang Sya untuk abang? Sampai sanggup suruh abang kahwin lain.”
     Qasdeena tergelak. Rasa macam lucu pula soalan suaminya itu. Ini tak lain tak bukan mesti dah tak sabar nak kahwin dengan Nisa’. Entah-entah nak praktis kot.
     “Sya… abang serius ni. Gelak pulak,” nadanya seolah berkecil hati.
     “Ok… ok. Tak gelak dah. Emm, mesti la Sya sayangkan abang. Abang kan suami Sya paling handsome di abad ni,” selorohnya galak. Luthfie buat muka. Namun, dia senang melihat tawa gadis itu. Pertama kali dia melihat isterinya ketawa gembira disisinya. Adakah dia benar-benar gembira dengan perkahwinan ini? Adakah ini bermakna, dia sebenarnya tak sayangkan aku? Luthfie buat andaian sendiri.
     “Sya comel bila ketawa macam ni. Tapi, tak elok gelak banyak sangat. Nanti gelap hati,” lembut bicara lelaki itu buat hatinya tersentap. Comel? Dia puji aku comel? Ya Allah! Saat itu, dia dapat rasakan wajahnya sudah panas. Namun, dia cepat mengawal emosi. Tidak mahu lelaki itu perasan.
     “Eleh, abang cemburu la tu Sya comel. Abang tu kan tak handsome,” kutuknya selamba bersama tawa yang kembali bergema.
     “Aik, tadi cakap abang suami paling handsome. Sekarang cakap tak pulak. Mana satu betul ni?” Tangannya gatal sahaja mencubit lembut pipi gebu isterinya. Tindakan luar kawalan. Qasdeena tergamam seketika.
     “Ala, tu tadi. Sekarang tak dah,” jawabnya bersahaja sambil memandang skrin tv semula. Dadanya berombak kencang bila dekat dengan suaminya. Apatah lagi, perbuatan lelaki itu tadi buat jantungnya hampir sahaja meletup.
     “Hmm… macam-macam la sayang tu,” tuturnya selamba.
     Kali ini Qasdeena sudah terkedu. Lidahnya kelu mahu membalas. Luthfie perasaan perubahan itu namun dia tidak berniat mahu menarik balik kata-katanya atau meminta maaf walaupun ianya keluar secara spontan. Tak sengaja!

QASDEENA masih berteleku diatas sejadah. Dia tiada keinginan untuk bangun lagi. Malam itu, Luthfie tiada di rumah kerana pulang ke kampung untuk menguruskan hal tentang perkahwinannya yang bakal menjelang tidak lama lagi. Bermakna, dia bersendirian malam itu. Mengenangkan itu, matanya berkaca. Semakin lama, semakin lebat ia turun membasahi pipi. Dia teresak sendiri bersama telekung yang masih tersarung dikepala. Habis basah telekungnya dengan air mata.
     Ya Allah! Ampunkan segala dosaku yang telah aku lakukan. Aku tau, aku berosa besar memperlakukan suamiku begitu. Tapi, aku tak tahu kenapa hati aku begitu nekad untuk melakukannya. Ampunkan aku, ya Allah! Aku benar-benar berdosa.
     Andai benar jodohku dengannya panjang, tabahkanlah hatiku menghadapi semua ini. Aku hanya inginkan dia bahagia. Oh Tuhan, seandainya telah Kau catatkan. Dia milikku tercipta untuk diriku. Satukanlah hatinya dengan hatiku. Titipkanlah kebahagiaan. Ya Allah! Ku mohon apa yang telah Kau takdirkan. Ku harap dia adalah yang terbaik buatku. Kerana Engkau tahu segala isi hatiku. Pelihara daku dari kemurkaanMu.
     Ya Tuhanku, yang Maha Pemurah! Beri kekuatan jua harapan untuk membina diri yang lesu tak bermaya. Semaikan setulus kasih dijiwa. Ku pasrah kepadaMu, kurniakanlah aku pasangan yang beriman, bisa menemani aku. Supaya aku dan dia, dapat melayar bahtera ke muara cinta yang Engkau Redhai.
     Ya Tuhanku, yang Maha Pengasih. Engkau sahaja pemeliharaku. Dengarkan rintihan hambaMu ini. Jangan Engkau biarkan aku sendiri. Agarku bisa bahgia walau tanpa bersamanya. Gantikanlah yang hilang, tumbuhkan yang telah patah. Ku inginkan bahgia dia dunia dan akhirat. PadaMu, Tuhan! Ku mohon segala!

DALAM tak diam, hari yang ditunggu-tunggu tiba jua. Semua saudara-mara dan orang kampung sudah datang memenuhi rumah banglo yang agak besar itu. Entah kenapa, saat itu hatinya resah semacam. Dia tak senang duduk dibilik tetamu yang dijadikan sebagai bilik pengantin. Hal itu, dia pula yang bertegas untuk tidak menjadikan biliknya sebagai bilik pengantin. Biarlah bilik itu menjadi bilik pengantinnya sewaktu dengan Qasdeena. Dia tidak mahu isterinya berkongsi bilik. Lagipun, isterinya ada sekali. Dia tak sedap hati membiarkan isterinya pula yang tinggal di bilik tetamu mahupun bilik adiknya sedangkan dia bersenang-lenang di biliknya yang pernah dikongsi bersama isterinya.
     Rasanya, sudah berpuluh kali dia tawaf dibilik itu. Jam sudah menginjak ke angka 8.30. Tepat jam 9 malam nanti, dia bakal melafazkan akad sekali lagi. Tapi, kenapa saat ini, dia rasa tidak tenteram? Dia langsung tak rasa gembira. Padahal, dulu dia juga yang bahagia tak terkata. Tapi kini… ah! Fikirannya hanya pada isterinya tika ini. Hanya Qasdeena di matanya.
     Jam terasa semakin laju berdetik. Tengok-tengok, sudah 8.45. Ah! Dia semakin gelisah. Macam orang hilang bini dan anak pun ada. Waktu itu, hatinya begitu kuat untuk bertemu isterinya. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Pantas sahaja kakinya melangkah keluar dari bilik dan menapak ke biliknya. Arahan kak longnya yang memintanya bersiap-sedia dibuat tidak peduli.
     Pintu ditutup rapat sewaktu dia melangkah masuk. Matanya tertacap pada sekujur tubuh yang elok terbaring diatas katil. Perlahan, dia menghampiri. Hatinya sebak sebaik wajah polos isterinya yang sedang tidur dipandang. Dia berlutut disisi katil. Tangannya membelai lembut rambut isterinya yang menutupi sebahagian dahi. Sebaknya semakin terasa. Dirasakan saat itu, dia benar-benar tidak mahu jauh dari isterinya.
      Dalam leka dia menatap wajah itu, matanya tertacap pada sesuatu yang digenggam erat isterinya didada. Perlahan, dia mencapai sebelum dibuka penuh berhati-hati.
9 september
Aku tak pernah terbayang atau terfikir untuk memiliki seorang suami yang mempunyai ciri-ciri lelaki idaman aku. Soleh, kuat pegangan agama, anak yang taat pada kedua ibu bapa, penyabar, tak panas baran dan baik. Muhammad Luthfie Al-Hafizeen. Seindah namanya, indah jugak la parasnya. Berkulit putih bersih dan berwajah tenang. Cukup mendamaikan hati sesiapa je yang memandang. Huhuhu. Cuma, dia tak kelakar. Romantik? Aku tak tau la pulak. Tapi tengok cara macam tak romantik pun. Aku dah la minat laki romantik. Hihihi…
Tapi, hati aku sebenarnya dah terpaut kat dia sejak pertama kali kami bersua muka masa perkahwinan kak long dia. Tak kisahlah dia tak kelakar & tak romantik pun. Kalau dapat memiliki dia, mesti hati aku tenang dan damai. Yeke? Hahaha… memandai je aku ni.
Lima tahun… jangka waktu yang agak lama aku simpan perasaan ni. Sepanjang di Mansyurah, hati aku seolah beku untuk mana-mana lelaki walaupun semuanya pasti dapat menjadi seorang suami yang baik. Tapi, aku tak la terlalu berharap pada dia. Sebab bagi aku, perempuan macam aku ni, mana la layak untuk dia. Awek macam Khairun Nisa’ je yang sesuai. Sebab tu aku terkejut gila bila dia setuju nak dijodohkan dengan aku. Apa aku nak buat ni? Perlukah aku berubah??? Buang semua perangai gila-gila aku yang masih ada ni? Buang minat aku baca novel cinta?

1 disember
Abang… sakitnya rasa bila memikirkan yang diri ini tak lagi memiliki abang seorang. Sya bakal berkongsi abang dengan orang lain. Sya bakal ada madu, sesuatu yang tak sanggup Sya hadapi dari dulu lagi. Tapi, demi abang, apapun Sya sanggup buat. Walaupun jiwa Sya merana, tak kisah la asalkan abang bahagia. Sebab Sya tau yang abang memang dah lama cintakan Nisa’. Gadis macam Nisa’, semua lelaki nak. Dan abang memang bertuah sebab dapat memiliki dia. Macam Sya bertuah sebab pernah memiliki abang.
Hipokrit ke Sya bila berpura-pura bahagia dihadapan abang supaya abang percaya yang Sya langsung tak kisah, malah bahagia abang gembira disisi Nisa’? Apa lagi boleh Sya buat selain berkorban. Bukankah cinta memang memerlukan pengorbanan? Cinta tak mesti memiliki dan cinta tak semestinya bahagia sentiasa, kan bang. Tapi, Sya tak tau sampai bila Sya boleh berlakon depan abang. Andai suatu saat Sya memang dah tak sanggup, abang maafkan Sya ya kalau Sya mintak abang lepaskan Sya? Sya tau berdosa besar dan Allah pun bencikan penceraian. Tapi, abang berdoalah semoga Sya terus tabah hadapi semua ni. Sya nak jadi isteri yang baik. Tapi, Sya tak reti nak buat abang gembira selain menyatukan abang dengan insan yang abang cinta. Walaupun Sya tau abang sedang berusaha merapatkan hubungan kita, tapi Sya rasa macam Sya ni seorang ‘perampas’. Sya tak nak jadi macam tu.
Abang, halalkan segala makan minum dan keperluan Sya, ya. Maafkan segala dosa-dosa yang pernah Sya lakukan. Kalaulah abang tau, Sya sengaja tunjuk perangai buruk Sya sebab nak abang tau Sya ni macam mana. Tak de lah nanti abang terkejut beruk bila perangai sebenar Sya terserlah tiba-tiba. Lagipun, Sya nak abang sedar yang abang memang tak bertuah langsung sebab setuju untuk memperisterikan Sya dulu. Sya tipu abang cakap mak dengan abah yang setuju pasal perkahwinan kita. Abah dengan mak dah tanya Sya, dan Sya yang tak kisah. Sebab tu diaorang terima. Bukan terima membabi buta. Tapi, Sya tak mampu jadi isteri yang baik untuk abang. Jadi, Sya harap yang abang bahagia dan dapat maafkan dosa-dosa Sya dengan penyatuan abang dan Nisa’. Abang maafkan Sya, ya? Sya tak nak jadi isteri yang dibenci. Cukuplah abang berterima kasih dengan Sya sebab benarkan abang bernikah dengan Nisa’. Ianya dah memadai bagi Sya. Sebab… Sya cintakan abang. Terlalu cinta…

Tiada kata yang terluah dari bibirnya tika ini. Terkedu, terkelu, tergamam, terkaku. Dadanya bertambah sebak. Hampir sahaja dia menitiskan air mata. Itulah reaksinya saat ini. Sungguh, dia tidak pernah menyangka ini isi hati sebenar isterinya. Mengapa dia tak pernah tahu? Kenapa semua ni berlaku? Ternyata, tanggapannya terhadap isterinya jauh menyimpang. Dia menyangka, Qasdeena memang seorang wanita yang tak punya perasaan memandangkan selama mereka hidup bersama, isterinya seolah tak beriak. Gembirakah? Dukakah?
     Ya Allah! Apa yang aku dah buat? Berdosakah aku kerana tidak mengambil peduli perasaan isteriku? Tapi, dia sendiri yang seolah tidak mahu isi hatinya diketahui orang. Habis, apa yang perlu aku lakukan? Beri aku petunjuk, ya Allah! Perlukah aku meneruskan pernikahan ini?
     Wajah polos yang asyik melayan mimpi itu ditatap. Dia akui, wajah itulah yang kerap menemani tidurnya sejak kebelakangan ni. Apakah itu yang dinamakan cinta? Atau ianya berlaku hanya kerana mereka tidur sebilik dan sekatil walaupun tidak pernah berlaku apa-apa?
     Diari itu diletak kembali disisi wanita itu. Terlalu asyik dia memandang wajah isterinya itu sehingga tidak sedar, masa semakin berlalu pergi. Qasdeena yang bergerak sedikit langsung tidak menyentak lamuanannya untuk terus menikmati keindahan ciptaan Tuhan itu walaupun hakikatnya, dia sudah memiliki keindahan itu. Cuma, tak sepenuhnya.
     Qasdeena terjaga bila dirasakan ada sesuatu dihadapannya.Walaupun matanya masih berat, namun digagahkan jua untuk membuka. Alangkah terkejutnya dia bila wajah tampan suaminya begitu hampir dengan wajahnya saat matanya celik. Terus hilang rasa kantuknya.
     “Abang, buat apa kat sini?” Pelik dia melihat suaminya itu seolah baru pertama kali melihatnya. Tak berkelip pulak tu. Bila masa dia masuk? Dah nikah ke? Tapi, kalau dah nikah takkan boleh ada dalam ni pulak. Mesti la dalam bilik pengantin.
     Luthfie tidak bersuara. Matanya masih terpaku ke arah seraut wajah polos isterinya. Terasa mahu sahaja didakap erat tubuh itu. Tapi, nanti apa pulak isterinya akan cakap. Sabar… sabar…
     “Abang…” makin pelik Qasdeena dibuatnya. Ada apa-apa ke kat muka aku ni sampai tenung macam tu sekali? Rasanya, tak de pulak aku pakai bedak sejuk. Wajahnya diraba sekejap. Err, jangan-jangan mata aku bengkak sebab menangis tadi kot?
     “Abang… abang ok ke? Dah pukul berapa ni? Kenapa ada kat sini? Tak turun lagi?” Soalnya bertalu-talu. Pipi lelaki itu dipegang lembut. Inilah kali terakhir dia menyentuh lelaki yang pernah dimiliki seorang diri. Sebentar lagi, dia bakal berkongsi dengan insan lain. Sayu hatinya memikirkan kenyataan itu.
     Tangan yang elok terletak dipipinya digenggam erat. Matanya tepat merenung anak mata bundar milik isterinya. “Sayang tak turun?” Aduh! Kenapa soalan ni pulak yang keluar ni?
     Qasdeena tergamam. Sayang? Kenapa? Mungkinkah dia sengaja sebab sebentar lagi dia akan memanggil orang lain pula ‘sayang’? Ini kali kedua lelaki itu menyebutnya. Nafas dalam ditarik sebelum dihembus perlahan. Dia berusaha untuk tersenyum namun jelas hambar.
     “Kejap lagi kot,” jawabnya bersahaja. Matanya memandang jam didinding yang tersangkut. “Abang turunlah cepat, tak sampai lima minit je lagi. Mesti diaorang dah tunggu.” Tangan suaminya ditarik perlahan.
     Luthfie terkilan dengan reaksi isterinya itu. Tidak sabarkah dia melihat aku menggenggam tangan tok kadi sekali lagi? Ah! Dia tahu kini, isterinya hanya berpura-pura. Bijak betul dia mengawal riak di wajah polosnya.
     “Sya, abang…”
     Ketukan dipintu membantutkan percakapan Luthfie sekaligus mengejutkan mereka berdua. Terjengol wajah manis Ainul.
     “Kak Sya, ada…” kata-katanya mati bila dilihat abangnya turut ada di bilik itu.
      “Laa, kat sini rupanya abang Luth. Merata Ainul cari tau tak? Abi dengan umi dah kalut tu sebab abang Luth hilang tiba-tiba. Lain kali beritahulah nak ke mana pun,” bebel Ainul.
      “Cepatlah! Dah pukul berapa ni. Nanti tok kadi nak pergi tempat lain pulak. Bukan nak tunggu abang sorang je,” sambungnya. Bukan dia mahu marah abangnya menghilang ke bilik kakak iparnya itu, tapi dia yang penat nak mencari. Dia jugak yang kena bebel sebab tak jumpa-jumpa abangnya itu.
      “Ye lah.” Dalam keterpaksaan, Luthfie bangun.
      “Sya tak nak turun sekali?” Wajah itu dipandang lagi. Dia sebenarnya mengharapkan bibir mungil itu menghalang dia pergi. Namun hatinya hampa melihat gelengan kepala Qasdeena.
      “Abang pergilah cepat. Kejap lagi Sya turun. Nak siap kejap,” sengaja dia mereka alasan.
      “Abang tunggu,” pintanya. Dia masih belum puas untuk menatap mata bundar itu lebih lama. Kalau ikutkan hati, dia tidak sanggup nak meneruskan majlis itu. Tapi, apa pula kata ibu bapanya dan keluarga bakal mentuanya nanti. Dia juga yang gembira tak terkira dulu. Nak salahkan siapa?
     “Abang, diaorang dah tunggu tu,” tangan kasar suaminya dicapai dan ditarik menghampiri pintu. Tubuh itu ditolak lembut untuk keluar dari biliknya. Dia sudah tidak sanggup untuk berlama-lama dengan lelaki itu. Takut dia tarik balik persetujuannya menyatukan Luthfie dengan Khairun Nisa’.
     Sekali lagi Luthfie terasa dengan perbuatan isterinya itu ‘menghalaunya’. Matanya memandang sayu ke arah pintu bilik mereka yang sudah tertutup rapat sebelum melangkah pergi dengan hati yang berbelah bagi.
     Ainul yang menyaksikan perkara itu sebak. Dia tidak jadi turun bersama Luthfie sebaliknya berlalu ke dalam bilik. Tubir matanya bila-bila masa boleh pecah. Dia tidak mahu ada sesiapa yang nampak. Dia sudah tidak sanggup melihat ‘perpisahan’ abang dan kakak ipar ‘brutal’nya. Walaupun kakak iparnya yang bakal dimadukan, tapi dia yang merasakan kepedihan itu. Dia tidak tegar untuk menghadapinya. Dia benar-benar sayangkan Qasdeena lebih berbanding kakaknya sendiri.
     Sebaik daun pintu ditutup rapat, lututnya serta-merta lemah. Dia terjelepok atas lantai dan tersandar ke pintu. Tanpa dapat ditahan, dia tersedu juga disitu. Ya Allah! Berilah aku kekuatan untuk menghadapi semua ini.

“AKU…” sekali lagi kata-katanya mati disitu.Tangannya ketar menggenggam jemari tok imam, bakal bapa mertuanya. Peluh sudah merenek di wajah bersihnya. Semua orang tak senang duduk jadinya. Gelisah semacam je. Lebih-lebih lagi Khairun Nisa’.
     “Luth, kenapa ni? Cuba tarik nafas dan bertenang,” lembut bicara Haji Yusuf menyapa gegendang telinga Luthfie. Risau juga dia melihat keadaan anaknya itu. Tidak seperti sewaktu menikahi Qasdeena. Hanya sekali lafaz, terang dan lancar. Semuanya selamat. Beginikah keadaannya bila menikahi insan yang dicintai sejak dulu? Haji Yusuf bingung.
     “Luthfie…” panggil Hajah Latifah, lembut. Ibu mana yang tidak risau melihat keadaan anaknya yang sebegitu sekali. Habis berpeluh-peluh. Walhal, kipas tegak atas kepala. Laju pulak tu.
      Luthfie menarik nafas dalam. Dihembus perlahan-lahan mencari ketenangan. Dan sebaik nafas dilepas, dia sudah nekad dengan keputusannya. Sebagai seorang lelaki, dia seharusnya berani membuat keputusan. Tangan tok imam dilepas perlahan-lahan. Wajah tua Haji Yusuf dan Hajah Latifah dipandang kasih.
     “Umi, abi… maafkan Luth. Luth tak boleh nak teruskan. Luth tak mampu. Luth tak berdaya.” Tuturnya perlahan. Sudah lebih lima kali dia mencuba melafazkan akad. Namun, lidahnya kelu dan tekaknya seolah tidak mampu mengeluarkan suara.
     “Luth, kenapa ni? Bukan ke kamu memang sukakan Nisa’…” Hajah Latifah semakin bimbang. Apa pula kata tok imam dan isterinya nanti. Dan orang-orang kampung? Pasti Khairun Nisa’ kecewa.
     “Umi, itu dulu. Kisah sebelum Sya jadi isteri Luth. Tapi sekarang, Luth sedar yang Luth cuma sayangkan Sya sorang. Luth tak mampu nak duakan dia. Luth tak mampu nak kecewakan hati dia. Luth tak mampu nak teruskan perkahwinan ni kalau hati dia terluka.” Luahnya perlahan. Dia tahu tindakannya itu bakal melukakan banyak hati, tapi dia sanggup dicaci dan dibenci asalkan hati Qasdeena tidak terluka lagi. Dia hanya mahu menjaga hati isterinya sahaja saat ini. Telinganya dapat menangkap tangisan kecil gadis itu. Maafkan aku, Nisa’…
     “Tapi, bukan ke dia yang…” Haji Yusuf tidak dapat menghabiskan bicaranya. Dia semakin keliru dengan situasi yang berlaku. Ah! Anak muda sekarang, hal perkahwinan dibuat mudah je.
     “Itu hanya sebuah lakonan, abi. Luth pun baru tau tadi. Dia sendiri sebenarnya tak sanggup nak tengok Luth berkahwin sekali lagi. Kalau dia memang ikhlas, kenapa sampai sekarang dia tak turun dan sertai kita? Kenapa dia tak munculkan diri?” Matanya meliar mencari kelibat isterinya tapi tiada.
     “Maafkan Luth sekali lagi umi, abi. Memang Luth kejam buat keputusan disaat-saat akhir. Tapi, Luth tak nak orang lain. Luth cuma nak Sya je. Maafkan saya, pak imam, mak cik.” Tuturnya sopan sebelum bangun dan menapak naik ke tingkat atas. Dia sudah tidak peduli dengan banyak mata yang memandang. Dalam fikirannya kini hanya ada Qasdeena.
     Haji Yusuf dan Hajah Latifah sudah tak terkata. Walaupun malu menebal, namun jauh disudut hati mereka sebenarnya bersyukur sangat kerana anak mereka sudah membuat satu keputusan yang hebat. Sesungguhnya, mereka memang menyayangi Qasdeena seperti anak mereka sendiri. Dan kalau boleh, mereka tidak mahu Qasdeena sedih.
     “Maafkan kami, imam.” Ucap Haji Yusuf, serba-salah.
     Haji Ismail tersenyum kelat. “Tak apalah. Benda dah nak jadi.”
     Matanya hanya memandang sayu isterinya yang sedang memujuk anak mereka yang sudah tersedu. Orang-orang kampung hanya mampu memandang dan menonton. Ada yang simpati, ada juga yang tak beriak. Tak kurang juga, ada yang mencebik. Suasana jadi sunyi sepi.

TOMBOL pintu dipulas. Tak berkunci… syukurlah. Namun, seolah ada yang tersangkut. Dia cuba menolak lagi daun pintu yang terbuka sedikit dan seolah terhalang oleh sesuatu itu.
     Qasdeena tersentak bila pintu biliknya dibuka dari luar. Serta-merta dia bangun dan berdiri tegak. Cepat-cepat disapu air matanya yang masih galak mengalir. Siapa pulak ni?
     Tergamam dia sebaik pintu terbuka luas. Wajah suaminya kini dihadapannya. Adakah dia bermimpi? Adakah dia sedang berangan? Dia terkaku tanpa suara.
     “Sya…” tanpa pamitan, terus tubuh itu ditarik ke dalam dakapan. Erat, seolah tidak mahu dilepaskan. Sekali lagi Qasdeena terkedu.
     “Sya, maafkan abang, sayang. Maafkan abang. Tolonglah, lepas ni jangan minta abang buat perkara bukan-bukan lagi. Jangan buat sesuatu hanya untuk gembirakan abang sedangkan jiwa sayang menderita. Sayang tau tak, kalau sayang terluka bermakna abang pun akan turut terluka. Jadi, berjanjilah dengan abang. Lain kali, buatlah sesuatu yang menggembirakan hati sayang supaya abang turut senang hati. Janji dengan abang, sayang.” Ujarnya sayu. Sebaknya sudah tak tertahan lagi. Perkara yang difikir tidak mungkin untuk dia lakukan, kini terjadi. Akhirnya, air mata lelakinya tumpah kerana seorang insan bergelar wanita. Dan wanita itu adalah isterinya.
     Pipi yang sudah mahu kering, basah kembali sebaik mendengar kata-kata yang keluar dari mulut suaminya itu. Benarkah lelaki itu yang menuturkannya? Benarkah dia tidak bermimpi? Kalau memang dia sedang bermimpi, sungguh… dia tidak mahu terjaga dari lenanya. Dia mahu terus berada dalam mimpi ini.
     “Sayang… janji dengan abang,” ucapnya lagi setelah pelukan dilerai. Bahu wanita itu dipegang kejap. Matanya berkaca memandang wajah pucat isterinya.
     Lambat-lambat Qasdeena mengangguk. Dipandang wajah suaminya itu. “Abang…” panggilnya separuh berbisik.
     “Ya, sayang.” Sahutnya segera.
     “Sya… tak mimpi, kan?” Duganya. Persoalan yang penuh dengan harapan.
     Berkali-kali kepalanya digeleng. “Tak, sayang. Sayang tak bermimpi. Ini realiti. Abang tak nak kahwin dengan Nisa’ sebab sekarang abang sedar, yang abang cuma cintakan sayang. Hanya sayang dalam hati abang,” tuturnya lembut. Ditarik lagi tubuh itu ke dalam pelukan. Erat!
     Qasdeena menarik nafas dalam. Ya Allah! Benarkah aku tak bermimpi? Benarkah abang tak jadi kahwin lagi? Benarkah Luthfie hanya hak aku? Ya Allah! Dia benar-benar bersyukur. Terus pelukan lelaki itu dibalas. Dia teresak di dada bidang suaminya. Tangisan yang penuh kebahagiaan.
     Ainul yang menyaksikan adegan pilu itu mengucap syukur yang tak terhingga. Air mata gembiranya tumpah juga. Ya Allah! Terima kasih kerana memberikan bahagia kepada mereka berdua. Berkatilah hidup mereka, ya Allah! Jangan pisahkan lagi dua hati itu. Betapa dia terlalu bahagia melihat abang dan kakak iparnya sudah berbaik.

“ABANG…” panggil Qasdeena, manja. Kepalanya dilentok ke dada bidang suaminya. Luthfie asyik membelai rambut isterinya. Betapa dia bahagia kini.
     “Ya sayang.”
     “Kalau Sya tanya sesuatu, abang jangan marah, ya?” Nadanya seakan mengusik.
     “Sayang nak tanya apa?”
     “Esok, Nisa’ dah nak kahwin dengan orang lain. Abang tak cemburu ke?” Usiknya, nakal bersama tawa kecil.
     Luthfie mengetap bibir, geram. “Sempat lagi nak kenakan abang tu,” pipi isterinya dicubit lembut. Qasdeena tergelak kecil.
     “Buat apa abang nak cemburu. Abang kan dah ada sayang. Dah lebih dari memadai. Lebih dari cukup. Datanglah seribu Nisa’ pun, abang cuma nak sorang Qasdeena je,” tuturnya lembut. Cukup romantis di telinga Qasdeena buat isterinya kegelian.
     “Sejak bila abang jiwang semacam ni?” Tak habis lagi dia nak menyakat suaminya.
     “Sayang ni kan… geram betul abang. Hmm, ke… sayang tu yang cemburu?” Dia pulak menyakat.
     “Eleh, tak ada maknanya. Tak ada masa la nak cemburu dengan abang,” jawabnya laju.
     “Ye la tu. Sampai sanggup cari bukti masa hari first kita kahwin tu, bukan cemburu ke?” Dia tergelak melihat muncung isterinya. Dia mengetahui perkara itu juga melalui diari isterinya itu. Ada waktu terluang, dia suka curi baca diari Qasdeena. Bila diketahui isterinya itu, dia tahu Qasdeena marah. Tapi, cuma marah-marah sayang.
     “Mana ada la!” Nafinya pantas. Wajahnya merona merah.
     Luthfie tergelak besar. “Kalau sayang cemburu pun apa salahnya. Abang suka asalkan bukan cemburu buta,” pipi isterinya dikucup kasih.
     Qasdeena tersenyum bahagia. Dia membalas dengan mengucup pipi suaminya kembali. Mereka bertatapan seketika sebelum Luthfie mengucup lembut dahi isterinya. Lama.
     Tersentak keduanya bila dikejutkan dengan tangisan bayi. Mereka saling bertatapan sebelum tawa kecil tercetus di bibir masing-masing. Luthfie segera mendapatkan anak mereka di bilik yang sudah terjaga dari tidur. Itulah rutinnya sejak Qasdeena mula mengandung lagi. Busy macam mana pun, dia tetap akan melakukan kerja yang selalunya dilakukan isterinya. Lebih-lebih lagi sewaktu Qasdeena sarat mengandung dan sedang dalam pantang seperti sekarang.
     Dia kembali bersama seorang bayi lelaki dalam dukungan. Muhammad Hafeez Al-Qardhawi, nama yang dipilih bersama. Harapan mereka, semoga permata hati mereka ini bisa menjadi seorang penghafaz Al-Quran yang baik. Kerana Al-Quran adalah sebaik-baik teman untuk bersama di akhirat kelak.
     “Sayang papa dah bangun ni. Dia lapar, nak susu,” ucapnya sambil mencium bertalu-talu pipi comel anak mereka sebelum diserahkan kepada Qasdeena untuk disusukan.
     Qasdeena tersenyum senang. Dia mula menyusukan Hafeez. Luthfie disisi hanya tersenyum memandang. Tangan kanannya merangkul pinggang isterinya manakala tangan kiri membelai lembut kepala anaknya yang botak setelah dicukur. Sesekali, dahi bayi lelakinya dikucup kasih.
     “Abang ni, nanti-nantilah nak cium ke, apa ke. Orang nak minum dulu la,” tuturnya manja. Sengaja bibir dimuncungkan mengundang tawa Luthfie.
     “Mama tu cemburu la tu papa cium sayang je,” sakatnya galak.
     “Eleh, tak ada masa lah,” jawabnya selamba.
     “Ha , tengok! Mama dah merajuk. Papa kena cium jugaklah supaya mama tak merajuk lagi,” makin galak dia menyakat. Semakin lama, Luthfie semakin terpengaruh dengan perangai isterinya yang suka mengusik. Qasdeena mengetap bibir, geram. Hafeez pula bergerak-gerak seolah memahami apa yang dikatakan papanya.
     Luthfie mendekatkan mukanya ke wajah Qasdeena setelah tawanya reda. Matanya menggoda menatap anak mata bundar milik isterinya. Qasdeena berdebar.
     “You know how much I love you?” Tuturnya seakan berbisik. Qasdeena menggeleng sedikit tapi bibirnya mengukir senyuman bahagia.
     Tangan kirinya digenggam lalu diletak didada. “Seluruh jiwa raga abang akan abang pertaruhkan untuk memastikan sayang sentiasa bahagia disisi abang.” Kata-katanya cukup romantis. Qasdeena benar-benar terharu dan bahagia.
     “Tak sangka abang ni romantik jugak,” usiknya dengan senyuman nakal.
     Luthfie tergelak kecil. “Untuk sayang je!”
     “Abang buat Sya lagi tak sanggup nak kehilangan abang,” nadanya perlahan.
     “Percayalah! Selagi kita bernyawa, abang hanya hak sayang dan sayang adalah hak abang. Berdoalah semoga kita bisa disatukan disyurga kelak. Abang tak nak yang lain. Abang cuma nak sayang jadi pendamping abang dunia akhirat.”
     “Sya pun! Sya cuma nak abang.”
     Senyuman bahagia terukir indah dibibir keduanya.

1 ulasan:

  1. Cerpen nie tercipta masa dengar lagu doa seorang kekasih. Ada makna yang tersirat disebalik lirik lagu tu. Semoga terhibur! ^^,

    BalasPadam