dedaunan



Rabu, 30 Januari 2013

cinta abadi



CINTA ABADI
Sebelumnya kau pergi… Renunglah aku disini
Kerana mungkin terjadi… Kita takkan bersua lagi

 “K
enapa abang buat Leeya macam ni? Apa salah Leeya pada abang? Apa dosa Leeya? Dan kalau betul Leeya ada buat salah, besar sangat ke salah Leeya tu sampai abang hukum Leeya macam ni sekali?” Dia merintih sayu. Matanya berkaca memandang raut wajah suaminya yang langsung tak berperasaan. Malah, wajah itu penuh dengan rasa benci. Ya Allah! Beratnya ujian yang Kau berikan ini. Mungkinkah ada pengakhiran yang bahagia buat aku?
     “Kau tak payah banyak tanyalah! Sepatutnya kau bersyukur sebab aku tak ceraikan kau, tau tak? Sedar la diri tu sikit. Kau siapa, aku siapa. Langsung tak sepadan! Kau tak payah berangan la nak aku berkasih sayang pulak dengan kau. Ingat sikit, aku kahwin dengan kau atas kehendak papa aku je. Hei perempuan, kalau ikutkan hati, tengok kau pun aku tak ingin la! Apalagi nak sentuh kau! Jadi lebih baik kau tak payah banyak cakap dan banyak tanya! Sebab kau langsung tak berhak untuk semua tu!!” Tanpa rasa bersalah Zikri melemparkan kata-kata itu bersama senyuman sinis.
     Demi mendengarkan butir bicara itu, tubir matanya pecah lagi. Mencurah-curah bagai hujan yang lebat diluar. Hatinya yang tadinya hanya retak menanti belah kini sudah pecah berkecai terhempas di lantai. Tiada peluang untuk disatukan lagi. Serasa darah menyerbu keluar dengan membuak-buak. Sakitnya, hanya Tuhan yang tahu. Pedih!!! Perit!!!
     “Satu lagi, don’t call me abang! Aku bukan abang kau, tau tak?! Jijik betul aku dengar kau panggil macam tu! Mulai sekarang, kau kena panggil aku, tuan. Faham?!”
     Terkujat Auleeya dan sepantas kilat mengangguk. Fikirannya tidak dapat berfikir dengan baik saat ini. Hatinya benar-benar terguris. Disangkakan hanya mendung yang menutup panas, rupanya ribut taufan datang menjengah.
     “Bagus! Jangan buat sesuatu yang aku tak suka. Kalau tak, aku takkan teragak-agak untuk humban kau dari balkoni tu!” Kejam sungguh ayat lelaki yang sudah sah menjadi suaminya itu merobek dan menyiat-nyiat lagi hatinya.
     Pandangan matanya yang semakin kabur dek air mata menyorot langkah pantas suaminya keluar dari kamar yang sepi itu meninggalkan dirinya tersedu sendiri. Ya Allah! Begini peritkah rasanya dibenci suami sendiri? Begini sakitkah terpaksa hidup bersama insan yang menganggap diri ini seorang yang jijik? Begitu kuatkah hati ini untuk menjalani kehidupan sebegini sendirian? Inikah balasan untukku kerana pernah mengecewakan insan yang tulus mencintaiku dulu? Kalau ya, ampunkan aku, ya Allah! Aku tak berniat untuk memperkotak-katikkan perasan orang lain. Apakah perlu aku menanggung kesalahan yang aku sendiri tak pasti salah siapa? Ya Allah! Aku mohon RahmatMu!

“LEEYA…” perlahan suara itu memecah gegendang telinganya. Kedengaran cukup sayu, cukup lemah sehingga menyentuh hati nuraninya.
     “Tak adakah langsung peluang untuk Riz buktikan cinta Riz pada Leeya? Walau cuma setitis embun? Walau cuma sebesar zarah?” Nadanya penuh mengharap. Mata lelaki itu berkaca. Matanya mencari anak mata gadis pujaannya. Auleeya serba tak kena.
     “Riz… tolonglah faham. Cinta tak boleh dipaksa. Leeya dah cuba belajar untuk menerima cinta Riz tapi tak boleh. Betul-betul tak boleh. Leeya akui, Leeya begitu teringin sekali memberi cinta Leeya pada lelaki yang tulus mencintai Leeya. Tapi semua tu tak mungkin, Riz. Kita memang tak ditakdirkan bersama. Terimalah hakikat tu,” lembut bicaranya. Berharap benar lelaki itu akan mengerti yang cinta tak semestinya bersama. Bukankah cinta memerlukan pengorbanan? Jadi, memang pengorbanan sangatlah diperlukan dengan melepaskan insan yang dicintai bahagia bersama orang lain.
     “Tipu!!!” Terperanjat Auleeya dengan tengkingan tiba-tiba lelaki itu.
     “Leeya tipu! Leeya tak pernah cuba pun untuk belajar mencintai Riz. Leeya sengaja cakap macam tu sebab nak suruh Riz jangan kacau Leeya lagi, kan? Macam tu, kan? Sampai hati Leeya, langsung tak bagi peluang pada Riz. Teruk sangat ke Riz ni pada pandangan Leeya? Apa kurangnya Riz di mata Leeya? Sebab Riz bukan anak Dato’? Macam tu ke??” Keras nadanya namun masih perlahan. Merah matanya dek terlalu banyak menangis. Menangis kerana seorang perempuan yang langsung tak menghargai cintanya. Berbaloikah? Namun, hatinya sudah benar-benar terguris. Biarlah dia menangis kalau cuma itu yang mampu dia lakukan untuk ‘melepas geram’.
     “Riz, jangan cakap macam tu. Leeya…”
     “Sudahlah, Leeya! Riz tak nak dengar lagi kata-kata yang hanya akan melukakan lagi perasaan Riz. Cukuplah apa yang Leeya dah buat. Cukuplah ‘bahagia’ yang Leeya bagi ni. Walaupun Riz tumpahkan air mata darah sekalipun, itu takkan mengubah keputusan Leeya, kan? Kalau Riz mati sekalipun, Leeya tetap takkan dapat mencintai Riz walaupun cuma sebesar hama, kan? Sehebat mana pun Riz berkorban untuk Leeya, semua tu masih belum memadai, kan??”
     “Riz, Leeya minta maaf. Kalau Riz berkorban melepaskan Leeya dengan rela hati, itu sudah lebih dari cukup memadai, Riz.” Begitu sukar terasa anak tekaknya mahu menuturkan bait-bait kata itu. Tapi, dia perlu meluahkan juga kerana tidak mahu lelaki itu terus-terusan mengharap.
     “Dahlah, Leeya. Tak perlulah nak cuba tenangkan hati Riz dengan nasihat macam tu. Hakikatnya, Riz tak boleh terima alasan Leeya. Sampai bila-bila pun, Riz tetap tak boleh terima apa yang Leeya buat ni. Terima kasih, Leeya. Terima kasih kerana dah mengecewakan Riz. Terima kasih kerana dah beri pengalaman buruk dalam hidup Riz. Terima kasih sebab dah bagi peluang pada Riz untuk merasai sakitnya dikecewakan. Terima kasih sebab dah bagi kesempatan pada Riz untuk merasai peritnya rasa bila cinta yang diberi hanya dipandang sepi. Seolah diri ni hina sangat. Semoga Leeya bahagia dengan lelaki yang Leeya cinta!” Sebaik menghabiskan bicaranya, terus dia melangkah pergi dan tak berpaling lagi. Air mata yang tumpah mencurah-curah dibiar sahaja.
     Auleeya tersentak hebat. Begitu sekalikah dia telah memperlakukan lelaki itu? Namun, itu bukan kehendaknya. Itu bukan kemahuannya. Tapi, fahamkah lelaki itu jika dia katakan begitu??
     “Riz!!” Langkah lelaki itu terus mati sebaik terdengar jeritan itu. Namun, pandangannya tetap sama. Langsung tak berpaling memandang kearah gadis itu lagi. Tak akan! Dia tak rela melihat wajah polos igauannya itu lagi.
     “Riz… sebelum Riz pergi, pandanglah Leeya disini. Kerana mungkin terjadi, kita takkan bersua lagi.” Perlahan bicaranya namun masih jelas dipendengaran Mukhriz. Cukup sayu dan meruntun jiwa, tapi itu langsung tidak mengubah keputusan lelaki itu untuk tidak berpaling lagi walau sekilas cuma. Langkahnya kembali disusun untuk pergi sejauh mungkin dari gadis itu. Dia tak sanggup memandang lagi walaupun untuk terakhir kalinya. Kerana, pandangan terakhir itu hanya akan menguatkan bayangan wajah itu dalam mindanya.
     Auleeya sebak. Namun, apalah dayanya untuk memaksa lelaki itu. Bukan dia tidak sayang, bukan dia tidak cinta. Tetapi, sesuatu yang menghalang dirinya untuk membalas cinta tulus Mukhriz. Hatinya sayu melepas kepergian lelaki itu rela dalam terpaksa. Riz, maafkan Leeya sebab terpaksa lukakan hati Riz. Leeya terpaksa, Riz. Kalaulah Leeya dapat katakan bahawa Leeya pun sayangkan Riz. Leeya pun nak merasa hidup bersama insan yang benar-benar mencintai Leeya. Tapi, Leeya tetap doakan semoga Riz berjumpa dengan seseorang yang tulus mencintai Riz. Dan semestinya dia jauh lebih baik dari Leeya.

“HOI! Kau berangan apa lagi! Cepat buat kerja tu! Terhegeh-hegeh macam siput. Ingat aku siapa kat rumah ni nak tengok muka kau lama-lama tercongok kat sini?! Habiskan kerja kau dan blah dari sini! Menyemakkan pandangan aku je!” Jerkah Zikri, nyaring. Terkulat-kulat Auleeya dibuatnya. Cepat-cepat dia menghabiskan kerjanya sebelum berlalu. Hatinya merintih hiba tapi siapa yang mahu peduli?
     Gadis didalam pelukan Zikri hanya tersenyum sinis memandang kejadian itu. Seronok melihat ‘orang gaji’ teman lelakinya dijerkah begitu oleh ‘majikannya’.
     “Sayang, you ‘pecat’ je la perempuan tu. Cari orang lain. Kalau selalu macam ni, you jugak yang rugi, kan.” Tuturnya selamba.
     “Baby, mana boleh suka-suka nak ‘pecat’ dia. Nanti papa I tanya, apa I nak jawab? Tak pasal-pasal papa singkirkan I dari syarikat. Siapa yang susah? I dengan you jugak, tau.” Ujarnya lembut sambil tangannya galak mengelus manja pipi montok Ziela.
     “You sanggup ke bertahan?”
     “Sanggup ke tak, terpaksa la. Kalau tak, sia-sia I korbankan gelaran teruna kepada ‘suami orang’ kalau terpaksa hilang semua tu semula dalam sekelip mata.” Nadanya jelas mengejek. Ziela tersenyum puas. Mampos kau, perempuan tak guna! Hatinya ketawa galak.
     Dan untuk kesekian kalinya, Auleeya benar-benar terguris dengan ucapan ‘keramat’ lelaki itu.

“ABANG…”
     “Siapa abang kau? Kau ni tak faham bahasa melayu ke, ha? Berapa kali aku nak pesan kat kau, panggil aku TUAN!!! Faham bahasa ke tak?? Kau nak aku betul-betul humban kau dari balkoni tu ke, hah???” Jerkah Zikri hingga bergema satu rumah. Auleeya tersentak hebat. Dia menggigil ketakutan bila disergah sebegitu rupa. Hanya kerana perkara kecil sebegitu, dia dilayan lebih hina dari anjing kurap?? Wajarkah??
     “Kau nak apa?” Suaranya masih dingin tapi sudah tidak setinggi tadi bila dilihat gadis itu mula ketakutan. Wajahnya menunduk ke lantai bersama linangan air mata. Seolah trauma pun ada.
     “Leeya… nak… salam… abang… sebab… abang… kan nak… pergi… kerja…” Jawabnya lambat-lambat. Dia sudah tersedu namun cuba ditahan agar tidak mengeluarkan suara. Pipinya sudah lencun dengan air mata.
     “Kau tak payah mengada nak mintak benda yang bukan-bukan! Aku tak ingin tangan kotor kau sentuh aku walau secubit pun!” Nadanya kembali meninggi. Benar-benar tidak boleh terima permintaan itu.
     “Ta… tapi…” dia masih mahu menjawab walaupun ketakutan.
     “Tak ada tapi-tapi! Tak payah nak buat mengada dengan aku! Ingat aku suka ke, ha?! Dah, malas aku nak layan kau. Nanti lambat aku sampai office, kena marah pulak dengan papa!” Terus dia menyarung kasutnya dan pantas memulas tombol pintu. Namun, sekali lagi langkahnya mati.
     “Abang…” panggilnya sayu, separuh berbisik.
     Zikri mendengus geram. Dia berpaling memandang seraut wajah yang menunduk itu.
     “Kau ni memang degil betul, kan? Cepatlah!” Kasar nadanya seraya menghulur tangan akhirnya, mengalah jua. Secepat itu juga Auleeya menghampiri lantas menyalami dan mengucup tangan itu penuh kasih. Biarpun dia belum dapat menyayangi lelaki itu, tapi dia tetap mahu cuba untuk menjadi isteri yang baik. Dia mahu menyalami tangan suaminya kerana ianya salah satu perbuatan yang cukup mudah untuk memperoleh pahala. Dia ingin merebut peluang ini untuk menjadi salah seorang penghuni syurga kelak. Bukankah wanita merupakan golongan yang paling mudah memasuki syurga selagi dia tidak meninggalkan solat lima waktu, berpuasa dan taat pada suami?!
     Zikri pantas menarik semula tangannya bila tiba-tiba jiwanya terasa mengalir satu perasaan aneh dengan perbuatan isterinya itu. Dia tak mahu mempunyai apa-apa rasa yang pelik dengan perempuan itu. Kerana baginya, Auleeya hanya seorang pengganggu ketenteramannya. Tanpa kata, dia terus berlalu meninggalkan gadis itu sendiri. Auleeya tersenyum bahagia walaupun hatinya terkil;an.

SUDAH sebulan dia berada didalam apartment mewah yang sunyi sepi itu. Itu bermakna, sudah sebulan juga dia tidak keluar rumah dan terseksa dibawah pengawasan lelaki bernama Zikri. Lelaki pilihan orang tuanya. Selama ini, dia menyangka lelaki itu tidaklah sekejam itu memandangkan mereka sudah ditunangkan sewaktu hari pertama dia mahu melanjutkan pelajaran ke UKM. Sepanjang bergelar tunangan, tidak sekalipun mereka bersua muka ataupun berhubungan melalui telefon.
     Dia perasan, lelaki itu tidak sukakannya. Tapi, apa lagi yang harus dia lakukan kalau permintaan untuk putus tunang dibantah kedua ibu bapanya. Hatinya menangis saban hari mengenangkan Mukhriz, lelaki yang tak pernah jemu menagih kasihnya. Dia sedar, dalam diam dia juga mencintai lelaki itu. Tapi, apa dayanya sebagai anak. Ibu bapanya langsung tak mahu bertolak ansur dalam soal jodoh hidupnya. Alasannya, tak mahu dia menjadi seperti abangnya yang kecewa cinta dan akhirnya membawa kepada maut dek kemurungan yang melampau. Kakaknya pula, sudah semakin liar bila sekali dipermainkan lelaki. Cintanya yang suci dijadikan bahan gurauan dan akhirnya membuatkan dia nekad menghancurkan hidup lelaki.
     Dia… ah! Tak pasal-pasal dia dijadikan mangsa keadaan. Dia tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan orang tuanya terlalu yakin pada Zikri sekeluarga. Tambahan pula, ayahnya dan ayah Zikri sahabat baik sejak dibangku sekolah lagi.
     Ya Allah! Panjang lagikah perjalanan hidupku yang sebegini harus ku lalui? Bilakah semuanya akan berakhir? Mungkinkah tiada sinar bahagia buatku didunia ini? Hatinya merintih sayu.
     Radio yang terpasang mula memainkan sebuah lagu yang menarik hatinya untuk menghayati liriknya. Hatinya bertambah sayu. Perlahan, tangannya mencapai sehelai kertas dan sebatang pen. Laju mata pena dilarikan diatas kertas, melakar kata-kata yang penuh makna.
Seringkali kau merendahkanku
Melihat dengan sebelah matamu
Aku bukan siapa-siapa…
Selalu saja kau anggapku lemah
Merasa hebat dengan yang kau punya
Kau sombongkan itu semua…
Coba kau lihat dirimu dahulu
Sebelum kau nilai kurangnya diriku
Apa salahnya hargai diriku
Sebelum kau nilai siapa diriku
     Tiba-tiba, dia terasa pening yang teramat sangat. Pandangannya kabur. Dia tersandar di kepala kerusi. ‘Ya Allah! Berilah hambaMu ini kekuatan. Janganlah pengsan kat sini. Jangan sekarang. Bantu aku, ya Allah!’ Terus dia bangun dan melabuhkan punggung dibirai katil. Dia cuba menarik nafas dan bertenang. Ubat didalam laci dicapai dan dimasukkan kedalam mulut lantas ditelan bersama beberapa teguk air kosong.
     Setelah terasa sedikit lega, handphone dicapai. Nombor seseorang didail. Sekali… dua kali…
     “Apa hal?” kedengaran suara seseorang ditalian. Dingin sekali. Auleeya menarik nafas sebelum bersuara. Dia tahu, dia bersalah pada gadis itu. Namun dia tiada sesiapa lagi untuk meminta bantuan.
     “Ina, tolong aku.” Pintanya lemah.
     “Eh, Leeya. Kenapa ni? Kau ok ke? Kau… kau sakit ke?” Soalnya bertubi-tubi. Risau juga dia mendengarkan suara temannya itu lemah semacam. Niat mahu merajuk kerana sahabatnya itu mendiamkan diri selama sebulan langsung terbantut.
     “Ina, boleh datang sini tak? Bawa aku pergi hospital? Aku rasa tak sedap badan la. Laki aku outstation kat UK sekarang.” Pintanya lemah.
     “Ok… ok. Aku datang sekarang. Kau bagi alamat, lima minit lagi aku sampai,” kelam-kabut dia menyalin alamat rumah Auleeya.

“KAU ni betul menyusahkan aku la! Tak pasal-pasal aku kena balik sebelum waktunya. Tak boleh ke kau duduk diam-diam je kat rumah?! Hei, perempuan macam kau ni, mampos lagi baik la!!” Tengking Zikri tanpa rasa bersalah. Sikit pun tiada belas dihatinya melihat wajah pucat itu. Yang dia tahu, hatinya menggelegak bila diarah pulang kerana perempuan yang sudah bergelar isterinya itu sedang terlantar dihospital.
     Ahli keluarga yang lain sudah pulang sebentar tadi sebaik lelaki itu tiba. Temannya, Salina juga sudah balik rumah sewanya. Kini, tinggallah dia berdua bersama lelaki itu. Ah! Kenapa dirinya ditinggal sendiri saat dia terlalu memerlukan seseorang yang boleh memahami isi hatinya yang rawan?
     “Kenapalah orang macam kau ni wujud kat dunia ni?! Tak habis-habis menyusahkan hidup aku! Kalau kau tak muncul depan aku, semua ni takkan jadi tau tak?! Aku takkan perlu susah-susah jumpa Ziela secara sembunyi-sembunyi! Dan sekarang, kena jaga kau kat sini?? Ah! Mimpilah kau! Kau duduk la sorang-sorang dan membusuk kat sini!! Aku tak ada masa nak jaga kau segala!” Sebaik dia menghabiskan kata-katanya, kakinya laju melangkah pergi dari situ. Namun, langkahnya mati di muka pintu sebaik terdengar namanya dipanggil.
     “Maafkan segala dosa yang pernah Leeya buat pada abang selama Leeya jadi isteri abang. Halalkan makan minum Leeya. Dan… sebelum abang pergi, pandanglah Leeya sekali. Sekali je, bang…” Pintanya penuh berharap. Suaranya pecah-pecah dek tangisan yang semakin hiba.
     Zikri tersenyum sinis. Tanpa berpaling, dia bersuara.
     “Kau jangan mintak benda yang merapulah! Dari dulu lagi, kau ni tak habis-habis nak mengada-ngada mintak yang bukan-bukan. Kau jangan bermimpi disiang harilah, Leeya! Buat apa aku nak pandang muka kau kalau ianya cuma buat aku nak termuntah!” Tanpa berlengah, tangannya laju menolak daun pintu dan terus menghilang.
     Auleeya menangis lagi. Tangisannya semakin jelas. Mulutnya tak berhenti mengucap. Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Pandangannya juga semakin kabur. Dan akhirnya, terus kelam dan suasana yang sedia sunyi bertambah sepi.

ZIKRI kembali ke hospital yang menempatkan isterinya dalam keadaan berserabut. Hubungannya dengan Ziela sudah terbongkar. Teruk dia dimarahi papanya. Malah, lebih mengejutkan, Ziela dikhabarkan ditangkap khalwat bersama seorang lelaki mat saleh disebuah hotel mewah di UK.
     Dia mengamuk sakan. Nafasnya turun naik menahan amarah. Habis semua yang ada di sekelilingnya dibaling. Saat itu, baru dia menyesal. Mungkin ini balasan buatnya kerana menyeksa isterinya lebih teruk dari orang gaji. Bukan sahaja layanannya teruk, malah nafkah juga tidak diberikan baik zahir mahupun batin. Hanya barangan dapur sahaja dihulur. Itu pun hanya keperluan asas seperti beras, bawang, cili dan seangkatan dengannya. Paling mewah pun hanyalah ikan. Nak makan ayam, tunggu seribu tahun lagilah. Mujurlah isterinya tak merungut. Untuk belanja sendiri, jangan haraplah! Satu sen pun dia tak akan bagi!
     Bila perkara begini dah jadi, barulah dia terfikir untuk menemui isterinya. Dia mahu memohon kemaafan dari gadis itu. Dosanya terlalu banyak sehingga dia sendiri tidak yakin apakah gadis itu masih sudi memaafkannya.
     Langkahnya longlai. Sebaik dia tiba didepan pintu wad yang menempatkan isterinya, belum sempat dia mahu memulas tombol pintu, dia disapa seseorang. Pandangannya terarah pada seorang lelaki yang lengkap berjubah putih.
     “Ikut ke bilik saya sekejap,” tenang nada doktor itu lantas berlalu sambil diekori Zikri yang masih termangu. Dadanya terasa berombak kencang.

“APA?!” Membuntang matanya sebaik sebaris ayat itu keluar dari bibir doktor Shahrin yang merawat Auleeya. Tubuhnya terasa seram sejuk. Bibirnya menggeletar.
     “Maafkan saya. Kami tak dapat buat apa-apa memandangkan sebaik kami masuk, dia dah tak ada. Banyak kali saya cuba hubungi Encik, tapi tak dapat.” Ujar doktor Shahrin, turut bersimpati.
     “Ta… tapi, kenapa?” Suaranya seakan tak terkeluar.
     “Sekali lagi, maafkan saya sebab menyembunyikan hal ini dari pengetahuan Encik. Ini juga atas permintaan isteri Encik sendiri.”
     “Apa maksud doktor?” Dadanya bertambah kencang mendengarkan ayat itu.
     “Sebenarnya, isteri Encik menghidap barah otak dan ia sudah ditahap kritikal. Saya sudah menyarankan dia menjalani pembedahan walaupun ianya tak menjamin kesembuhan, sekurang-kurangnya kita berusaha. Tapi dia berkeras tak nak. Kami menjangkakan masanya tak sampai sebulan, tapi tak sangka pulak boleh jadi tak sampai sehari. Kuasa Allah, tiada siapa mampu menduga.”
     Demi mendengarkan butir bicara itu, pandangannya mulai kabur dan tubuhnya terkulai dilantai.
     “Encik Zikri!”

“SEBELUM Riz pergi, pandanglah Leeya disini. Kerana mungkin terjadi, kita takkan bersua lagi.” Masih terngiang-ngiang kata-kata itu dipeluput telinganya. Walaupun sudah setahun ia berlalu, terasa seolah baru semalam ianya berlaku.
     Tubir matanya pecah lagi untuk kesekian kalinya. Pandangannya kabur dek air mata yang bergenang dan tiada tanda-tanda mahu berhenti keluar. Hatinya dipalit sayu. Kini, baru dia merasa menyesal kerana tidak sempat memenuhi permintaan terakhir gadis itu. Ya, memang mereka takkan bersua lagi. Mereka takkan bertemu lagi. Dan dia takkan dapat memandang wajah polos itu lagi. Untuk selamanya!
     Leeya, maafkan Riz sebab tak memahami situasimu, sayang. Kenapa Leeya tak beritahu Riz yang Leeya terperangkap dengan keadaan yang memaksa? Kalau tak, pasti Riz akan menyuruh ibu dengan ayah masuk meminang Leeya dan merayu dihadapan ayah Leeya supaya menerima Riz sebagai menantu. Kenapa semua ni berlaku? Kenapa?
     Ya Allah! Berilah dia kebahagiaan disana. Tempatkan dia dalam kalangan orang-orang yang beriman. Dia sudah lama menderita. Dia sudah selalu menangis. Biarlah dia tersenyum didalam syurgaMu.
     Leeya, sampai bila-bila pun, cinta Riz hanya untuk Leeya. Takkan pernah berubah. Takkan pernah padam. Riz rela begini hingga akhir hayat Riz kerana hanya Leeya yang mampu membuat Riz tersenyum dan menangis. Riz rela begini, sayang.
     Dari kejauhan, dia memandang sayu kelibat manusia yang semakin berkurangan untuk pulang. Dan dihadapan tanah yang masih merah itu, seorang lelaki masih termangu sendirian.

Pernahkah engkau hargai… Cintaku yang sejati
Pernahkah engkau mengerti… Akan diriku ini
Betapa hebatnya cintamu… Memberiku sejuta pilu
Betapa agungnya asmaramu… Membuatku terpaku

“ZEK, dahlah tu. Dah dua bulan kamu macam ni. Terimalah hakikat yang pergi tetap pergi. Kita yang masih hidup ni perlu teruskan hidup dengan baik. Sampai bila nak macam ni,” Puan Haiza benar-benar risau melihat keadaan anaknya yang semakin tak bermaya selepas pemergian Auleeya.
     “Ma, Zek nak bersendirian.” Suaranya perlahan namun ada ketegasan pada nadanya.
     “Dah dua bulan mama dan papa biarkan Zek bersendirian. Tak cukup lagi ke? Jangan la seksa hidup Zek macam ni.”
     “Seumur hidup Zek pun takkan mampu menebus kesalahan Zek pada Leeya, ma.”
     “Sudahlah tu. Mama yakin, Leeya dah lama maafkan Zek. Mama kenal sangat dengan menantu mama tu. Dia bukan seorang yang pendendam. Tengok dari air mukanya masa dimandikan dulu, tenang je. Kamu je yang rasa macam tu.”
     “Zek tau tapi Zek sendiri yang tak dapat maafkan diri Zek dengan apa yang dah Zek buat.”
     “Zek…”
     “Mama, please! Zek nak bersendirian. Zek nak kenang kembali saat-saat indah bersama Leeya walaupun sebenarnya tak ada pun.”
     Puan Haiza semakin sebak. Berat kakinya melangkah kemuka pintu. Pandangannya tak lepas dari menatap wajah anaknya yang tersenyum sendiri. Ya Allah! Hatinya merintih hiba.

“ABANG, kenapa ni? Bergaduh ke? Sampai lebam pipi ni. Langsung tak handsome dah,” entah keberanian mana yang datang sehingga dia boleh mengeluarkan butir bicara itu.
     Zikri memandang tajam. Isterinya itu memang tak faham bahasa melayu agaknya. Tak pernah nak dengar arahannya yang melarang dipanggil dengan panggilan itu. Lama-lama, dia pun dah malas nak cakap apa dan hanya membiarkan. Ah! Setakat panggilan, apalah sangat.
     “Jangan banyak cakaplah! Cepatlah letak ubat tu. Aku tak kuasa nak tengok kau lama-lama!”
     Ayat itu cukup menyayat hati wanitanya namun disabarkan jua dan ditelan segala makian yang diterima. Biarlah apa yang berlaku, dia mahu menjadi isteri yang baik sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Buruk baik lelaki itu tetap suaminya.
     “Auww!! Pelan la sikit. Sakit tau tak?! Ingat aku ni kayu ke, ha?!” Jerkahnya bersama mata yang dijegilkan. Auleeya tidak memandang. Matanya hanya terarah pada lebam dipipi suaminya itu. Kalau dia memandang anak mata lelaki itu, seluruh kekuatannya akan terus hilang entah ke mana.
     “Abang janganlah bergerak banyak sangat. Memang la sakit. Kena la tahan sikit. Lelaki, mana boleh lemah. Abang, kan hero,” guraunya bersahaja.
     “Tak payah nak bodek akulah!”
     “Bukan bodeklah, kenyataan kan? Takkan abang heroin kot,” dia tergelak kecil dengan bicaranya. Walaupun dia tahu, kemarahan lelaki itu akan memuncak, dia tidak peduli. Dia ingin merasai bergurau senda dengan seorang suami walaupun balasan yang diterima hanya makian.
     Zikri tidak membalas. Entah kenapa, malam itu dia tiada mood untuk cari pasal dengan isterinya. Pipi yang berdenyut-denyut seolah tak terasa dengan sentuhan lembut jemari runcing Auleeya. Matanya seolah ralit pula menatap wajah leka isterinya dari jarak yang dekatnya hanya dua inci. Tak berkelip.
     “Ok, dah siap. Abang tidur dulu, ya.” Ucapnya perlahan. Tubuh suaminya dibaringkan dan diselimut sehingga paras dada. Spontan, pipinya yang lebam itu dikucup lembut isterinya. Zikri terkedu.
     “Esok baiklah. Selamat malam,” tuturnya lembut. Sebelum berlalu, sempat dihadiahkan sebuah senyuman yang paling menawan buat tatapan sang suami. Dia senang malam itu kerana sekurang-kurangnya, tiada tengkingan atas perbuatannya yang mungkin ‘melampau’ itu.

“LEEYA…” Entah kenapa, bibirnya tak henti mengucap nama itu. Masih jelas diingatannya malam yang sangat istimewa itu. Kalau tak kerana sikap teruknya, pasti mereka sudah bahagia dan menantikan cahaya mata yang bakal menyerikan lagi rumah tangga mereka.
     “Leeya…” pelukannya semakin erat pada bantal yang selalu digunakan Auleeya. Terasa seolah tubuh itu yang dipeluknya. Sudahlah tidak pernah sekalipun dia mendakap gadis itu. Rindunya membuak-buak. Tubir matanya pecah lagi tanpa sedar. Tiba-tiba fikirannya melayang pada bait-bait perkataan yang tercatit didalam sekeping kertas yang dijumpainya pada celahan buku-buku atas meja di dalam bilik isterinya seminggu selepas pemergian Auleeya.
Untuk abang…
Maaf kalau warkah ini mengganggu ketenanganmu. Terima kasih seandainya abang menemui surat ini walaupun ianya selepas pemergian Leeya. Terima kasih kiranya abang sudi membacanya. Sekurang-kurangnya, abang tau isi hati Leeya dan maafkan segala kesalahan isterimu yang hina ini. Leeya tau, Leeya banyak kali menyakiti hati abang. Leeya selalu buat perkara yang abang larang. Maafkan Leeya, bang. Maafkan Leeya.
Abang, sepanjang Leeya bergelar isteri abang, tak pernah sekali pun Leeya bencikan abang. Macam mana pun layanan abang pada Leeya, terima kasih sebab masih menerima Leeya dalam hidup abang. Terima kasih sebab sudi benarkan Leeya jaga abang masa abang sakit dulu. Terima kasih sebab sudi benarkan Leeya cium tangan abang masa nak pergi kerja dan masa nak tidur. Leeya bahagia sangat masa tu. Walaupun abang melarang macam-macam, tapi abang tetap mengalah kalau Leeya berdegil jugak. Walaupun abang selalu ugut nak humban Leeya dari balkoni, tapi abang tak buat pun. Memang abang pernah nak buat, tapi abang tak jadi kan? Abang tau tak apa yang Leeya rasa waktu tu? Leeya dapat rasakan abang sebenarnya sayangkan Leeya tapi abang tak sedar. Maafkan Leeya sebab rasa macam tu.
Abang… kalau Leeya pergi dan tak sempat nak mintak maaf pada abang, abang maafkan Leeya, ya? Leeya tak nak masuk neraka kalau abang tak redha pada Leeya. Leeya tak nak jadi isteri derhaka. Abang adalah penentu samada Leeya akan ditempatkan disyurga atau neraka kelak. Kalau pun abang masih tak suka dan bencikan Leeya, sekurang-kurangnya, ampunkanlah Leeya. Leeya terlalu mengharapkan pengampunan dari abang. Izinkan Leeya tenang di alam sana yang tanpa abang disisi.
Abang jangan risau, ya. Leeya sejak mula-mula kita disatukan lagi, Leeya dah lama maafkan segala dosa abang. Bagi Leeya, abang langsung tak ada dosa dengan Leeya. Apa pun yang abang buat, abang tetap suami Leeya. Leeya sayang abang. Maafkan Leeya kalau abang tak suka Leeya sayangkan abang. Maafkan Leeya kalau Leeya katakan, Leeya bahagia setiap kali abang sudi layan Leeya. Macam… masa Leeya letak ubat kat pipi abang malam abang kena tumbuk tu. Kenangan terindah bersama abang tu buat Leeya dah bersedia untuk menghadap Allah walaupun masih takut. Takut kalau Leeya masih ada dosa yang belum dilangsaikan.
Kalau Leeya cakap, abang jangan marah, ya. Sebab Leeya dah tak boleh nak merayu supaya abang maafkan Leeya. Sebenarnya, Leeya teringin nak dengar abang cakap lembut dengan Leeya. Sekali pun jadilah. Supaya Leeya merasa diri dihargai sebagai isteri sebelum Leeya pergi. Tapi semua tu tak mungkin, kan? Tak mungkin sebab abang tak pernah sayangkan Leeya pun. Tapi, Leeya tetap bahagia bila abang benarkan Leeya buat apa yang Leeya suka walaupun abang bencikan perkara tu. Macam… panggil abang dengan panggilan ‘abang’. Kan abang tak suka.
Abang tau tak? Leeya nak sangat cakap sendiri depan abang yang Leeya sayangkan abang. Leeya cintakan abang sepenuh jiwa raga Leeya. Sebab tu Leeya sedih setiap kali abang tengking Leeya. Leeya sakit hati tengok abang peluk perempuan lain. Kalau Leeya tak cinta, perasaan macam tu tak wujud, kan? Betul tak? Leeya tak pernah bercinta. Jadi, Leeya tak tau perasaan cinta yang sebenarnya. Tapi, Leeya selalu tengok kawan-kawan marah bf diaorang sebab keluar dengan perempuan lain. Tapi, Leeya takkan marah abang sebab abang suami Leeya, bukan bf Leeya. Kalaulah boleh, Leeya nak tunggu sampai abang jatuh sayang kat Leeya. Tapi, kan berdosa cakap kalau. Seolah menyesal dengan apa yang berlaku. Tak! Maksud Leeya tadi, Leeya akan tunggu abang sampai abang jatuh sayang kat Leeya walaupun waktu tu Leeya dah tak ada. Boleh kan, abang?
Tak apalah, bang. Dah terlalu panjang Leeya membebel. Nanti bosan pulak abang nak baca. Akhir kata, salam sayang Leeya hulurkan hanya untuk abang sorang! Jaga diri, ya! Leeya sayang abang!
Isterimu : Auleeya…
Disisimu aku terdiam seribu bahasa
Dihatiku bergetar sejuta rasa
Namun sukar untuk aku meluahkan
Ku cinta padamu
Nafasku terhenti bila melihat dirimu
Terasa pantas degupan jantungku
Mungkinkah hatimu milikku jua
Ku sayang padamu
     Sebaknya tertahan-tahan. Air matanya berguguran tanpa henti. Ditambah pula bila teringatkan lirik lagu Hargai Aku nyanyian Armada yang dijumpainya sebaik dia menjejakkan kaki ke bilik isterinya itu. Kalaulah abang boleh katakan, abang pun sayangkan Leeya! Abang pun  cintakan Leeya! Tapi semua tu dah terlambat. Semua salah abang! Salah abang!
     “Leeya, bila kita boleh jumpa lagi, sayang? Bila sayang nak jemput abang kat sini? Abang sunyi la sorang-sorang tanpa Leeya. Abang rindu nak dengar sayang panggil abang dengan panggilan tu. Abang rindu nak tengok wajah sayang. Abang rindu nak rasa masakan nasi goreng sayang. Abang rindu semuanya tentang sayang. Bila sayang nak jemput abang? Abang tunggu ni.” Dia berbicara sendiri sambil memandang bantal yang dipeluknya. Sejak pemergian Auleeya, dia seolah tak dapat berpisah dengan bilik isterinya itu dan segala peralatan yang ada didalamnya. Seolah, semuanya itu adalah hartanya yang paling berharga. Tiada siapa boleh usik. Sehinggkan papa dan mamanya mahu dia tinggal bersama mereka pun, dia enggan. Terpaksa la mereka pula kerap tinggal di apartmentnya. Bau haruman yang dipakai Auleeya juga seolah tercium-cium olehnya. Baru dia sedar wangian yang dibencinya dulu itu mempunyai bau yang cukup indah dan bisa menenangkan jiwanya yang gundah-gulana. Fikirannya melayang lagi memikirkan kata-katanya dulu.

“BAU apa ni?!” Sergahnya garang.
     “Err… Leeya… Leeya…” Dia gagap.
     “Kau apa??” Tengkingnya sehingga gadis itu tersentak hebat. Sudahlah dekat. Silap hari bulan, boleh pekak jadinya.
     Dalam tangisan tak berlagu, dia bersuara perlahan. “Leeya pakai minyak wangi.”
     Membulat mata lelaki itu. “Minyak wangi apa bau macam bangkai ni, hah? Siapa benarkan kau pakai minyak wangi? Hei, perempuan! Kau tu dah la buruk! Badan busuk! Kau pakai minyak wangi menambah bau busuk tau tak?? Kau pergi basuh sekarang! Aku tak nak rumah aku dicemari bau busuk kau tu, faham?! Pergi cepat!!” Arahnya lantang.
     Auleeya tak berganjak. Dia tiada kekuatan untuk bergerak walau sedikit cuma. Tubuhnya terus kaku disitu membuat marah Zikri memuncak. Pantas tangannya menggenggam kuat pergelangan gadis itu. Auleeya menyeringai kesakitan.
     “Kau tak nak dengar cakap aku, ya? Sini kau! Sini!” Ditarik isterinya menuju balkoni.
     “Abang… sakit…” Rintihnya sayu. Suaranya tersekat-sekat, berselang-seli dengan tangisan yang semakin hiba.
     “Kau nak melawan sangat, kan?? Sekarang aku nak tengok kau berani melawan lagi ke tak!” Terus tubuh itu diangkat dan mahu dihumban ke bawah. Auleeya terketar-ketar didalam dakapan lelaki itu. Tangannya kejap menggenggam kolar kemeja suaminya. Matanya ditutup rapat dek ketakutan yang amat sangat. Air matanya berjuraian. Dadanya berombak kencang. Ya Allah! Sudah sampai masa akukah, ya Allah? Tangisannya semakin jelas kedengaran.
     Genggaman yang kejap itu membuat Zikri menghentikan perbuatannya. Wajah ketakutan yang hampir dengan wajahnya jelas di penglihatannya. Rasa bersalahnya tiba-tiba hadir. Dia sebenarnya hanya mahu mengacah. Dia tidak mahu gadis itu terus-terusan mengingkari arahannya. Tapi, dia terpaksa menerima hakikat yang gadis itu terlalu degil. Mengenai panggilan, gadis itu masih juga memanggilnya ‘abang’. Perbuatan, masih mahu menyalaminya setiap kali dia mahu ke tempat kerja dan sebelum tidur. Masih menunggu kepulangannya walaupun sudah lewat malam. Masih berbicara dengannya walaupun asyik kena tengking. Dan sekarang, pastinya dia akan terus memakai minyak wangi itu.
     Zikri melepas keluhan sebelum membawa isterinya ke ruang tamu. Tubuh itu ditinggalkan diatas sofa dan berlalu keluar.

“SAYANG, abang rindukan Leeya. Abang cintakan Leeya. Abang sayangkan Leeya. Abang berdosa sebab banyak kali sakitkan hati Leeya. Malah, abang cuba nak bunuh Leeya dulu. Maafkan abang, sayang. Abang nak jumpa Leeya. Abang nak minta maaf. Kenapa Allah tak ambil je nyawa abang sekali?” Rintihnya penuh syahdu.
     “Sebab Allah sayangkan abang. Allah nak abang berubah dan bertaubat. Kalau abang nak jumpa Leeya, abang tak boleh macam ni. Abang kena solat, selalu dekatkan diri pada Allah.Insya-Allah, kita boleh jumpa lagi.” Entah suara mana yang menyapa pendengarannya. Dia memandang sekeliling. Terasa seolah isterinya sedang bercakap dengannya tapi bayang isterinya pun tak ada.
     “Sayang…” panggilnya agak kuat.
     “Abang takkan dapat jumpa Leeya kalau abang tak solat, tak dekatkan diri dengan Allah,” suara itu kedengaran lagi.
     Zikri termangu. “Dekatkan diri dengan Allah? Solat?” Ya Allah! Saat itu baru dia sedar yang dirinya sudah semakin jauh dari RahmatNya. Cepat dia melangkah kebilik air untuk berwuduk.
     “Abang… bersihkan diri dulu sebelum menghadap Tuhan.” Tegur suara yang sama. Zikri terkaku. Dia berfikir sejenak sebelum mula membersihkan diri dan seterusnya berwuduk.
     Jam yang tadinya menunjukkan pukul 12 kini sudah menginjak ke angka 5 pagi. Tidak sedar masa begitu pantas berlalu. Sewaktu dia baru mahu mengangkat takbir pertama tadi, dia teringat perbualannya dengan wanita itu dulu.
     “Kau solat apa lagi tu? Tak habis-habis lagi dari tadi. Cepat kemas ruang tamu tu. Semak mata aku menengoknya!”
     “Err, qa… qada’, bang. Leeya takut kalau-kalau Leeya masih ada tertinggal solat. Setiap satu solat yang tertinggal, wajib qada’ walaupun tanpa sengaja sebab solat adalah perkara pertama yang akan disoal disana nanti. Kalau tak…”
     “Dah… dah! Aku bukan nak dengar ceramah agama sekarang ni. Baik kau pergi kemas sekarang sebelum aku mengamuk!” Ujarnya tanpa perasaan.
     Demi teringatkan perkara itu, dia lantas mengqada’ segala solat-solat yang pernah ditinggalkan. Dia tahu, terlalu banyak solat yang dia tinggal. Sebulan belum tentu dapat menghabiskan qada’. Namun, apa boleh dibuat. Masa bukannya dapat diputar kembali. Nak tak nak, dia wajib melakukannya.
     Setelah agak letih, dia berhenti sebentar dan waktu itu bibirnya tak putus-putus berdoa memohon ampun dari Yang Esa serta mendoakan kesejahteraan isterinya disana. Sedikit sebanyak, hatinya mulai tenang.
     Sayang, terima kasih kerana mengajar diri ini tentang hakikat sebuah kehidupan yang sementara ini. Maafkan segala kesalahan abang pada sayang selama kita bergelar suami isteri. Sayang tunggu abang disana, ya. Abang cintakan Leeya. Kini, abang yakin yang cinta abang memang untuk Leeya. Terima kasih kerana pernah menyayangi abang selama ini. Terima kasih kerana sudi menyerahkan hati untuk abang. Abang sangat-sangat menghargainya walaupun semuanya sudah terlambat. Kerana cinta sayanglah yang memberi abang kekuatan untuk terus hidup. Abang dapat rasakan, ini adalah kebahagiaan paling indah yang tak pernah abang rasai sepanjang hidup abang. Abang bahagia sangat walaupun hanya hidup dalam kenangan sayang. Itu sudah memadai daripada kehidupan abang sebelum ini.
     Ya Allah! Kau jemputlah aku kembali kesisiMu setelah aku selesai menunaikan semua kewajipanku kepadaMu. Temukanlah aku dengan isteriku kelak. Kalau kami tak dapat bersatu dimuka bumi ini, satukanlah kami didalam syurgaMu kelak. Berilah kami kesempatan untuk merasai kebahagiaan ini bersama. Aku mohon dengan rasa rendah diri dihadapanMu. Walaupun mungkin permintaanku agak keterlaluan, aku tetap memohon perkara yang sama. Aku inginkan Auleeya, isteriku yang menjadi pendampingku di syurgaMu. Aku hanya inginkan dia, ya Allah! Hanya dia! Mohon RahmatMu, ya Allah!
     Auleeya… tunggu abang ya, sayang!


Kan ku abadikan dikau… Suatu kenangan yang manis
Yang tak mungkin aku lupa… Untuk selamanya
Kan ku coretkan kenanganmu… Dalam sanubariku ini
Agar jadi yang terindah… Didalam hidupku ini

1 ulasan: