Cerita ini tak lagi sama
Meski hatimu selalu disini
Mengertilah bahwa ku tak berubah
Lihat aku dari sisi yang lain
Bersandar padaku… Rasakan hatiku
Bersandar padaku
Dan diriku bukanlah aku
Tanpa kamu tuk memelukku
Kau melengkapiku… Kau sempurnakan aku
Waktu yang telah kita lalui
Buatmu jadi lebih berarti
Luluhkan kerasnya dinding hati
Engkaulah satu yang aku cari
Bersandar padaku… Rasakan hatiku
Bersandar padaku
Dan diriku bukanlah aku
Tanpa kamu tuk memelukku
Kau melengkapiku… Kau sempurnakan aku
Dan diriku bukanlah aku
Tanpa kamu menemaniku
Kau menenangkanku… Kau melegakan aku
JARI-JEMARI yang sedang laju menaip di keyboard
laptop putih jenama ASUS tiba-tiba terhenti. Anak matanya melempar pandang
kearah muka pintu yang terbuka sedikit dan terjengul kepala budak perempuan
yang sedang melempar sebuah sengehan. Bibirnya mengukir sebuah senyuman.
“Uda sibuk ke? Boleh Lia masuk?” Pinta budak berusia
10 tahun itu. Kakinya menapak mendekati setelah mendapat izin ibu saudara
kesayangannya itu.
“Uda buat apa tu? Buat novel lagi?” Elisha tersenyum
sahaja dengan soalan itu. Memang itulah hobinya yang boleh dikatakan tidak
pernah dia tinggal sejak 8 tahun lalu. Minatnya dalam dunia penulisan memang
sudah timbul sejak dia berusia 13 tahun lagi. Namun impiannya untuk menjadi
seorang penulis novel tidak pula kesampaian. Dia menulis hanya untuk suka-suka.
Itu hanya impian di zaman persekolahan.
“Lia ada apa-apa nak cakap dengan Uda ka?” Kepala itu
diusap lembut.
“Taklah. Saja nak kacau Uda.” Aulia tayang sengeh. Dia
memang rapat dengan ibu saudaranya yang seorang itu berbanding mak ngahnya.
Sejak kecil Elishalah yang banyak melayannya.
Elisha mencubit lembut pipi gebu itu. Jemarinya
kembali bermain dengan keyboard, mengeluarkan segala macam idea yang
sedang rancak berjalan dalam kepala.
“Adam buat apa?” Dipandang sekilas pada Aulia yang
turut melempar pandangan pada skrin laptopnya.
“Main dengan Waffi.” Jawabnya ringkas. “Uda, Uda takde
pakwe ke?”
Soalan itu buat Elisha kerut dahi. Agak terkejut
tiba-tiba disapa dengan soalan itu oleh budak sekolah rendah. “Kenapa? Lia dah
ada pakwe ek?” Soalnya kembali. Sengaja mengusik. Tapi, bukan boleh percaya
sangat budak-budak zaman sekarang ni. Baru sekolah rendah dah pandai nak
bercintan-cintun.
“Isyh Uda ni. Orang tanya dia, dia tanya orang balik.
Lia ni baru 10 tahun. Takkan la nak ada pakwe pulak.”
Elisha tayang senyum penuh makna. “Mana la nak tau.
Budak-budak zaman sekarang kan lagi experd dari orang tua.”
“Tak ada maknanya. Lia tak gatal macam kawan-kawan Lia
yang lain, ya.” Ada nada tegas pada kata-katanya buat Elisha melepas tawa.
“Apa yang suka sangat tu?”
Elisha tayang sengeh bila ditegur emaknya yang
tiba-tiba muncul dimuka pintu. “Aulia ni mak, dah pandai ada pakwe.” Suka betul
dia mengusik anak saudara kesayangannya itu.
“Mana ada! Nenek jangan percaya cakap Uda tu. Orang
tanya dia, dia kenakan orang balik.” Pipi mak saudaranya dicubit geram buat
Elisha makin galak ketawa. Emak hanya tersenyum cuma.
“Kenapa, mak?” Perhatian dialih kepada emak yang sudah
menapak masuk.
“Mak nak tanya sikit, boleh? Hang sibuk ka?” Mak
melabuhkan punggung diatas katil.
Kepala digeleng. “Tak sibuk pun. Mak nak tanya apa?”
Agak pelik dengan reaksi maknya malam itu. Macam ada something ja.
“Lia boleh keluar kejap tak?” Aulia pantas mengangguk
dengan permintaan neneknya dan berlalu keluar.
Mak menarik nafas. “Hang dah ada sapa-sapa ka?”
Tertanya-tanya juga dia tentang anak gadis bongsunya itu. Kalau dulu Elisha
seperti menunjukkan keinginan untuk berkahwin awal, namun sejak 6 tahun lepas,
gadis itu seolah hilang minat untuk membicarakan soal itu. Bukan dia risau
sangat pasal jodoh Elisha. Cuma tertanya-tanya, adakah anaknya pernah kecewa?
Makin berkerut dahi Elisha dengan pertanyaan tiba-tiba
itu. Rasa lucu pula. Mak risau pasal jodoh aku ke? Dengan kak ngah dulu takde
pun mak risau masa kak ngah seusianya. Pelik ni. Dia melangkah menghampiri
maknya lantas dilabuhkan punggung berselahan wanita itu.
“Kenapa mak tiba-tiba tanya pasal tu? Mak tak sabar
nak menantu baru ka?” Elisha menyengeh.
“Saja la mak tanya. Nak tau jugak kalau-kalau anak mak
ni dah ada seseorang yang istimewa. Tak nak kongsi dengan mak ka?”
Kata-kata itu mengundang tawa Elisha. “Mak ni… anak
mak ni single lagi la. Lagipun, orang baru ja kerja. Tunggu la stabil
dulu kerja orang, baru fikir pasal tu. Lagipun, orang muda lagi apa. Baru 26
tahun.” Elisha tayang sengeh.
“Mak bukan apa… dulu cara hang macam tak sabar dah nak
kahwin. Tapi sekarang, macam tak berminat pulak. Anak mak ni pernah kecewa ka?”
Dia cuba mengorek rahsia.
“Isyh, mak ni. Bercinta pun tak pernah… nak kecewa
macam mana. Mak jangan risau la. Dulu tu mungkin sebab terpengaruh suasana
sekeliling. Kawan-kawan orang ramai yang kahwin awal, kahwin masa belajar. Jealous
ja tengok. Tapi, bila fikir balik, banyak benda nak kena fikir bila dah berumah
tangga ni. Bukannya tau nak sweet-sweet dengan suami ja. Tapi
tanggungjawab tu yang terlalu berat. Bila fikir semua tu, orang rasa, orang
belum bersedia sebenarnya. Lagipun, banyak lagi impian orang yang belum
tercapai. Kalau dah kahwin nanti, mesti susah nak buat apa yang orang suka.”
Panjang pula hujahnya kali ini.
Mak hanya tersenyum mendengar petah mulut anaknya itu menjawab.
“Tak apalah kalau macam tu. Lega sikit hati mak ni. Ya la, kalau hang pernah
kecewa, mesti susah nak terima lelaki lain dalam hidup hang pulak nanti.”
Bicara itu menimbulkan rasa pelik dibenak Elisha namun dia hanya tersenyum
cuma.
“LUTHFIE!” Teguran seseorang membuat dia berpaling.
Terus sebuah senyuman tersungging di bibir sebaik wajah cantik Ilyana singgah
di ruangan mata.
“Kenapa yang tak sabar sangat nak jumpa ni? Rindu
sangat dah ke?” Usikannya langsung tak mencuit hati gadis itu.
Nafas dalam ditarik sebelum memulakan bicara. “Fie… I
dah buat keputusan. I rasa lebih baik kalau kita putus je.”
Tersentak Uwais dengan keputusan mendadak Ilyana. “Tapi
kenapa? Apa salah yang Fie dah buat kat Yana?”
“You takde buat salah apa, Fie. Cuma…”
“Cuma apa?”
“Cuma, hati I dah berubah. I… I cintakan orang lain. I
dah tak cintakan you. I mintak maaf. Tolong jangan cari I lagi. Dan ni...” Begitu
mudah kata-kata itu diucapkan lantas berlalu meninggalkan lelaki itu terkedu
sendiri setelah menghulurkan sekeping kad yang sudah terjatuh ke tanah.
Uwais melepas nafas yang cukup berat. Hatinya sakit
yang teramat sangat. Semudah itu perempuan yang dipujanya siang malam membuang
dia dari hidup? Argh! Dia rasa macam nak mengamuk. Tapi, apa gunanya? Air mata
yang cuba ditahan, akhirnya keluar juga mencurah-curah. Kakinya terasa lemah
tiba-tiba. Terus dia terduduk ditanah. Berita itu terlalu tiba-tiba. Dia
benar-benar tak mampu untuk menerimanya. Kad itu dipandang dengan perasaan
terluka.
“Tak! Semua ni tak mungkin berlaku. Tak mungkin! Yana,
Yana mesti cuma nak main-main dengan Fie, kan? Yana... cuma nak kenakan Fie je
kan?” Dia sudah macam orang hilang punca. Rambutnya diramas. Mukanya diraup
berkali-kali. Air mata masih belum mahu berhenti keluar.
Agak lama dia terduduk disitu sebelum lambat-lambat
dia bangun dan melangkah lemah untuk pulang.
Kad yang berwarna biru cair itu dipandang lama.
Langsung tiada hati untuk menghadiri majlis itu. Namun, jiwanya meronta untuk
bertemu dengan Ilyana. Cukuplah walau sekadar melihat wajah cantik itu dari
jauh. Tapi, hatinya mesti akan sakit kalau lelaki itu ada bersama. Tuhan…
tolong aku.
Tubuhnya direbah ke atas katil. Pandangan kosong
dilempar ke siling yang putih. Bagai ternampak bayangan wajah Ilyana disitu,
dia tersenyum sendiri. Tak sangka, gadis itu akan berubah dalam sekelip mata.
Dan gadis yang ditatang bagai minyak yang penuh itu bakal dimiliki lelaki lain.
Berita itu terlalu menyakitkan.
Tanpa sedar, tubir matanya pecah. Kenapa dia bisa jadi
selemah ini, dia sendiri tidak pasti. Seketika kemudian, Uwais terlena bersama
air mata yang masih turun membasahi pipi.
“UWAIS, baru balik?” Tegur Puan Jamilah, lembut. Uwais
sekadar mengangguk bersama senyuman nipis. Hilang segala kenangan yang
terkadang masih setia bermain dalam kepalanya.
Puan Jamilah nampak wajah anak bujangnya itu keletihan
kerana seharian bekerja tanpa henti dari pagi bawak ke malam. Bukan dia tidak
tahu Uwais sengaja menyibukkan diri dengan kerja. Dia tahu anaknya masih
kecewa.
“Dah makan?” Soalnya, penuh kasih.
“Dah, mama. Baru balik jumpa client tadi kat
restoran. Is naik dulu, ya. Nak solat, tidur.”
Puan Jamilah hanya mengangguk. Matanya menghantar
kepergian Uwais sehingga hilang dari pandangan.
“Dah bagitau dia?” Suara Tuan Malik membuat Puan
Jamilah berpaling. Kepalanya digeleng seraya menghampiri suaminya yang baru
duduk di sofa.
“Saya serba salah nak bagitau dia, bang. Tengok
keadaan dia yang letih sangat. Takut-takut dia terus tolak. Esok je lah kita
bagitau.”
“Esok bila? Awal-awal pagi lagi anak awak tu dah keluar.
Balik malam jugak. Nanti kalau Emran dah bagitau anak dia dan budak tu pun
setuju, tiba-tiba anak awak pulak menolak, kan susah. Lebih baik tanya
sekarang.” Bersahaja nada Tuan Malik. Matanya tak lepas dari memandang surat
khabar ditangan.
Puan Jamilah terdiam sejenak. Betul juga kata suaminya
itu. “Saya tengok dia sekejap ya.” Dia lantas menapak anak tangga menuju ke
bilik anak bujangnya yang jadi pendiam sejak putus tunang 3 tahun lalu.
Perlahan, dia menolak daun pintu bilik Uwais.
Kelihatan anaknya itu sedang solat. Dia menapak perlahan menuju ke katil.
Menunggu anaknya selesai menunaikan solat.
“Kenapa, ma?” Puan Jamilah yang sedang ralit memerhati
segenap ruang bilik Uwais itu sedikit tersentak dengan teguran anaknya. Setelah
menyangkut sejadah ditempat yang sepatutnya, dia melabuhkan punggung
bersebelahan wanita itu.
“Mama ada hal nak cakap sikit. Hal penting.”
“Penting sangat ke?” Tak pernah-pernah mamanya masuk
ke dalam biliknya semata-mata mahu bercakap tentang perkara penting. Selalunya
dia yang akan dipanggil ke ruang tamu.
Tangan Uwais dicapai. “Is, mama bukan nak paksa Is
buat apa yang Is tak suka. Tapi mama dengan papa cuma nak Is bahagia. Tu je.”
Puan Jamilah memulakan bicara. Bimbang juga kalau anaknya itu tolak
mentah-mentah.
Uwais kerut dahi. “Apa yang mama nak cakap sebenarnya
ni? Is nampak macam tak bahagia ke sekarang?”
“Tak! Bukan macam tu. Mama cuma nak Is lupakan Yana.
Lupakan kisah Is dengan dia. Mulakan hidup baru Is tanpa dia.”
Uwais mula tak sedap hati. “Mama nak Is kahwin? Tu ke
yang mama nak cakap?”
“Is, mama dengan papa tak pilih orang sembarangan
untuk jadi menantu kami. Mama yakin sangat dia boleh jadi isteri yang baik
untuk Is.”
“Mama dah carikan calon untuk Is?” Uwais nyata
terkejut. Dia fikir orang tuanya akan memberi dia ruang untuk mencari calon
sendiri.
Bahu anaknya disentuh lembut. “Is, mama dengan papa
tak berniat langsung nak paksa Is. Kami cuma nak Is bagi peluang pada diri Is.
Kenali dia dulu. Lepas tu kalau Is menolak atas sebab yang munasabah, mama dan
papa takkan halang. Is jumpa dengan dia dulu, ya?” Pujuknya lembut.
Nafas berat dilepas. Nampaknya, mama dengan papa dah
mula tak senang tengok dia bersendiri walaupun hakikatnya, dia selesa begitu.
“Tengoklah dulu macam mana. Tapi, buat masa ni, Is
memang sibuk. Is mintak maaf.” Wajah Puan Jamilah sudah bersinar-sinar. Ada
riak bahagia diwajah tua itu.
“Takpe. Nanti bila tak sibuk, Is pergi jumpa dia.
Sekejap, mama ambilkan gambar dia.” Langkah yang ingin diatur ke muka pintu
mati bila tangannya dipegang Uwais.
Kepalanya digeleng sedikit. “Nanti-nantilah, ma. Is
penat. Is nak rehat.” Ujarnya perlahan.
“Kalau macam tu, mama keluar dulu.” Puan Jamilah
mengangguk faham sebelum melangkah keluar meninggalkan Uwais dalam keadaan
tertekan.
SELESAI solat isyak, Elisha terus naik katil. Dia
benar-benar letih hari ini. Seharian di sekolah dari pagi sampai petang buat
dia hilang tenaga. Kerjaya sebagai guru sekolah rendah terkadang cukup
meletihkannya. Baru dia nak melelapkan mata, pintu biliknya diketuk dari luar.
Dia bangun dari pembaringan.
Irdina menapak masuk mendekati adiknya. “Dah nak tidur
ke? Baru pukul 9.15.”
“Penatlah. Banyak kerja hari ni. Kenapa? Ada hal
penting ke?” Soalnya tak bernada.
“Abah dengan mak nak cakap sikit. Hal penting.”
“Hal apa pulak?” Malas sahaja nadanya. Namun
digagahkan juga kaki untuk turun dari katil. Orang tua nak jumpa, takkan nak
tolak pula. Macam penting sangat je. Diekori langkah kak ngahnya ke ruang tamu.
Semua adik-beradiknya ada disitu memandangnya sambil melemparkan senyuman. Dia
jadi berdebar tiba-tiba. Ada apa sebenarnya ni?
“Abah dengan mak nak cakap sesuatu ni. Sebelum tu,
abah nak tanya. Hang dah ada sapa-sapa ke?” Sengaja dia inginkan kepastian
walaupun isterinya sudah menceritakan perkara itu.
Elisha kerut dahi. Ah! Sudah! Soalan ni lagi? Semalam
mak, hari ni abah pulak. Ni yang tak sedap hati ni. “Maksud abah?” Elisha
buat-buat tanya, meminta kepastian.
“Hang ada berkawan dengan sapa-sapa ka sekarang?
Lelaki.”
Elisha menggeleng sedikit. Debaran didadanya semakin
kencang. Sah! Ni mesti soal jodoh. Abah dah cari jodoh untuk aku ke? Aduh!
Perlu ke aku kahwin dengan orang yang aku tak kenal? Aku baru je nak selesa
dengan status single ni.
“Kalau macam tu, baguslah. Kawan abah dengan mak
datang siang tadi. Dia ada tanya pasal Hang. Kalau boleh dia nak jodohkan
dengan anak dia. Abah dengan mak bukan nak paksa ka apa. Cuma, kalau hang tak
dak sapa-sapa lagi, takpa kot kalau terima pinangan tu. Lelaki tu pun bagus
orangnya. Ya la… tak baik kan tolak pinangan kalau tak dak alasan yang betul.
Bukan nak terus nikah pun. Masa bertunang tu, hang boleh la kenal-kenal dengan
dia.” Panjang pula penerangan abah ni. Gaya macam nak suruh aku setuju je.
Bisiknya dalam hati. Tak senang.
Bicara abah buat dia termenung panjang. Nampak macam
mak dengan abah dah setuju pun dengan pinangan tu. Aku ni buat abah dengan mak
risau ke selama ni? Tak pernah pulak mak tanya pasal jodoh sebelum ni. Cuma
malam semalam je tiba-tiba. Hanya adik-beradiknya yang suka menyua soalan itu
kepadanya yang dia sendiri malas nak menjawab.
“Terima ja la, El. Kami semua dah jumpa laki tu. Okey
ja. Arkitek tu. Handsome lagi.” Sampuk Khairul, abang sulungnya.
“Betul! Kami bukan nak desak hang kahwin. Cuma sayang
sangat kalau lepaskan lelaki sebagus Uwais tu. Bukan senang nak cari. Kalau
alasan tak kenal, hampa boleh kenal masa tengah bertunang. Tak salah, kan?” Kak
ngah pula menambah.
Elisha jadi kelu lidah untuk bersuara. Fikirannya
kosong sekosong kosongnya.
“Ha, lupa pulak. Ni gambar dia.” Hajah Sakinah
menghulurkan sekeping gambar kepada Elisha. Lambat-lambat dia mencapai.
Lama ditenung gambar itu. Kenapa macam pernah tengok
je muka dia? Tapi kat mana ya? Fikirannya ligat berfikir sampai berkerut-kerut
kening. Hampir lima minit juga dia terdiam, cuba mengingati adakah dia benar-benar
pernah berjumpa dengan lelaki itu. Hatinya tak henti berselawat.
Eh! Dia ni… tak… takkanlah!
“Siapa nama dia?” Soalnya, ingin tahu.
“Uwais.” Laju maknya menjawab. Bibir tua itu mengukir
senyuman harapan.
“Nama penuh?”
Semua saling memandang. Tak pula bertanya nama penuh
lelaki itu kepada orang tuanya.
“Kenapa? Hang kenal dia ka?” Soal abah.
“Eh, taklah. Saja nak tau.” Laju kepalanya menggeleng.
Gambar itu dipandang lagi. Bukan kot. Orang lain kot. Pelanduk dua serupa
mungkin. Dia kan dah ada awek. Entah-entah dah kahwin pun. Atau mungkin
adik-beradik dia? Fikirannya membuat kesimpulan sendiri.
“Ada nombor telefon dia tak?” Soalan yang dilontar
buat semua yang ada tersenyum meleret. Hajah Sakinah lebih lagilah.
“Ada tulis kat belakang gambar tu.”
Dipandang sekali lalu. “Kalau tak dak apa dah, orang
masuk bilik dulu, na?” Terus kakinya menyusun langkah ke biliknya. Yang lain
hanya memandang dengan senyuman penuh harapan.
UWAIS merenung lama gambar seorang gadis yang sudah
sekian lama bertahta dalam hatinya. Gambar yang tak pernah dikeluarkan dari
dompetnya sejak pertama kali dia meletakkannya. Malam itu, dia nekad untuk
mengeluarkannya dan membuang jauh bayang gadis itu dari hidupnya. Semua
barangan yang berkaitan gadis itu sudah dibakarnya. Hanya tinggal sekeping
gambar itu sahaja yang masih ditangan. Dengan berat hati, dia melepaskan gambar
itu masuk ke dalam tong yang masih menyala dengan api.
Hatinya cukup terluka. Namun, dia tak mampu untuk
menipu dirinya bahawa sayangnya yang sudah tertanam dalam jiwa selama 3 tahun
itu masih ada bersama rasa kecewa.
Yana, kenapa Yana buat Fie macam ni? Kenapa Yana siksa
jiwa Fie? Apa lagi yang kurang pada Fie? Apa lagi yang Fie tak buat untuk
bahagiakan Yana? Apa lagi yang Fie tak bagi? Semua yang Yana nak, Fie dah
tunaikan. Tapi kenapa lelaki lain jugak yang Yana cari? Kenapa? Kenapa?? 3
tahun, Yana. Bukan sekejap masa yang kita dah habiskan bersama? Kenapa Yana
tegar tinggalkan Fie macam tu je? Fie ni tak ada perasaan ke? Fie ni tunggul ke
pada Yana? Hatinya merintih sayu bersama tangisan yang ditahan-tahan.
Dia benar-benar kecewa dengan gadis itu. Sanggup
Ilyana tinggalkan dia seolah dia tak ada perasaan. Benar-benar menyakitkan.
Terasa rendah benar nilai dirinya dimata gadis itu. Malam itu, dia menangis lagi
untuk kesekian kalinya. Tapi, hatinya nekad. Selepas ini, takkan ada lagi air
mata yang akan gugur kerana seseorang yang bernama perempuan.
Deringan telefon bimbit mengembalikan dia ke alam
nyata. Keluhan dilepas kasar sebelum mencapai telefon bimbitnya yang diletak
diatas meja kecil ditepi katil. Keningnya berkerut melihat nombor yang tidak
dikenali itu. Namun, lambat-lambat dijawab juga.
LAMA ditenung nombor itu. Nak telefon ke tak? Telefon
bimbit dan sekeping gambar ditangan ditenung silih berganti. Sudah sepuluh
minit dia berkeadaan begitu. Hilang penatnya dengan berita mengejut itu.
Langsung tak boleh tidur. Hatinya tak senang. Dia inginkan kepastian. Walaupun
sudah hampir 5 tahun dia tidak berjumpa dengan lelaki itu, namun dia masih cam
wajah tampan berkulit cerah yang kelihatan semakin matang itu. Cuma namanya
sahaja yang dia ingat-ingat lupa. Dia bukanlah jenis mudah lupa wajah
seseorang. Cuma nama sahaja yang agak susah untuk dia ingat.
Dia bangun dari pembaringan. Tubuhnya disandar ke
kepala katil. Samsung Note 5 ditangan ditenung lama sebelum dia membuat
keputusan. Dia harus memastikan perkara itu. Kalau tidak, dia mungkin akan
berjaga sampai esok pagi.
Setelah punat call ditekan, dia menanti penuh
debar. Jantungnya berdegup laju. Rasa macam nak meletup pun ada jugak. Apa hal
dengan jantung aku ni? Rileks laa. Hang cuma nakkan kepastian ja pun. Bukannya
nak buat apa. Isyh!
“Hello?” Kedengaran
suara lelaki itu ditalian membuat jantung semakin rancak berdetak. Ini yang aku
tak suka ni. Dia belum jadi tunang aku lagi.
“Hello? Who’s there?” Suara itu kedengaran lagi setelah dia terdiam
beberapa saat. Agak kuat berbanding tadi. Mungkin marah kerana manusia yang
menelefonnya hanya diam menyepi dihujung talian.
“Err… assalamualaikum. Ni… Uwais ke?” Soalnya
teragak-agak.
“Waalaikumussalam. Ya. Siapa ni?” Nadanya masih sama.
Kedengaran dingin.
“Sa… saya Elisha. Orang yang mak awak nak jodohkan
dengan awak.” Tak tau nak cakap apa. Takkan nak cakap tunang kot padahal orang
tuanya baru tanya tadi.
“Oh. Nak apa?” Macam tak ada perasaan je cara lelaki
itu bertanya.
“Err… saya…” Isyh… kenapa gagap pulak ni? Elisha!
Rileks okey. Dia bukan nak makan kau pun.
“Kau nak cakap ke tak? Kalau tak, aku nak letak dulu.”
“Ehh… kejap-kejap! Sa… saya cakap.” Kelam-kabut dia
dengan ugutan tak seberapa itu. Kau ni apa hal Elisha? Selama ni selamba je kau
bercakap dengan lelaki. Ni yang kalut semacam dah kenapa? Mungkin memikirkan
yang lelaki itu adalah bakal suaminya. Bakal suami? Tunang pun belum tentu
Elisha!
“Apa nama penuh awak?”
“Buat apa kau nak tau?”
Elisha gigit bibir. Geram pulak dia dengan mamat kerek
ni. Tiba-tiba terasa hilang terus gugupnya. Orang cakap baik-baik, macam tu
pulak dilayannya. Tak apa… tak apa.
“Okey, macam ni lah. Saya berterus-terang ja la. Awak
dengar baik-baik.” Dia sudah menukar cara percakapannya. Tidak lagi
teragak-agak seperti awalnya. Nafas dalam ditarik.
“Saya dah tengok gambar awak yang mak awak bagi. Muka
awak… macam someone yang saya kenal. Cuma, saya tak berapa nak ingat
nama dia sebab dah lama tak jumpak. Dia tu boyfriend kawan saya, Ilyana.
Tapi saya tak berapa nak pasti sebab kalau ikutkan, Yana mungkin dah kahwin
dengan boyfriend dia tu. Boleh jadi awak ni pelanduk dua serupa kot.”
Ujarnya, bersahaja.
Sepi. Elisha pelik. Nak kata talian dah dimatikan, tak
pulak. “Hello? Awak dengar tak ni?”
Tut… tut! Tiba-tiba talian diputuskan. Elisha gigit
bibir, geram. Hisyh mamat ni… aku dapat memang aku pelangkung kepala otak dia
tu. Sesuka hati tok nenek dia letak macam tu je. Kurang diajar sungguh. Huh!
Terus direbahkan tubuhnya kembali dengan perasaan
berbuku. Namun tiba-tiba dia bangun semula dari pembaringan. Eh kejap? Jangan
cakap memang dia pakwe Yana? Kalau bukan, kenapa dia senyap dan terus letak
lepas aku cerita pasal tu? Heol! Takkan Yana dah putus dengan dia dan
aku pulak jadi pengganti Yana? Gila! Nonsense! Argh! Tak nak aku ambik
‘bekas’ kawan sendiri!
“GILA!” Terpacul perkataan itu keluar dari mulutnya
tanpa sedar. Dia mundar-mandir di dalam bilik. Macam mana boleh jadi macam ni?
Tak masuk akal langsung? What?! Kawan?! Gila apa aku nak kena kahwin
dengan kawan perempuan tu! Takde perempuan lain dah ke dalam dunia ni? Kenapa
mesti kawan dia sendiri?
Tapi, kawan dia yang mana satu? Kepala yang tidak
gatal digaru. Ligat otaknya memikir siapa kawan gadis yang pernah bertahta
dihatinya dulu. Namun, sia-sia kerana dia langsung tak ingat seorang pun kawan
Ilyana.
Resahnya semakin menjadi-jadi pula. Sekejap duduk,
sekejap berdiri. Kemudian dia mundar-mandir lagi. Kahwin dengan kawan bekas
kekasih? Nonsense! Dah confirm-confirm nanti jumpa dia balik. Ah!
Tak ingin dia memandang wajah itu lagi setelah apa yang dilakukan gadis itu
pada dirinya.
Langkah kakinya diatur ke muka pintu. Namun sebaik
tangannya memegang tombol pintu, dia kaku. Nak mintak ke, tak? Kalau mintak,
nanti mesti mama fikir lain. Tapi, kalau tak mintak, sampai bila pun aku tak
tau. Ah! Mintak je la.
Terus dia menapak menuruni anak tangga menuju ke ruang
tamu. Kelihatan kedua orang tuanya sedang khusyuk berbual. Langkahnya mati di
anak tangga terakhir bila terdengar perbualan orang tuanya.
“Macam mana kalau dia tolak jugak nanti, bang? Saya
dah tak sanggup tengok dia macam tu. Pergi kerja, balik kerja. Kat pejabat
fikir pasal kerja, kat rumah pun fikir pasal kerja. Saya betul-betul rindukan
anak saya yang dulu, bang.” Terdengar rungutan mamanya.
“Habis tu, awak rasa Elisha mampu ke kembalikan anak
awak yang dulu?”
“InsyaAllah. Saya yakin yang Elisha mampu jadi isteri
yang baik.”
“Jadi isteri yang baik tak bermakna anak awak tu akan
cintakan dia. Dan kalau Uwais tak cintakan dia, macam mana anak awak tu nak
‘kembali’?”
“Abang ni… sepatutnya bagi saya semangat. Ini
melemahkan lagi semangat saya.” Tuan Malik hanya tergelak kecil mendengar
rungutan isteri tersayang.
“Ye la. Abang pun doakan semoga terbukak pintu hati
anak kesayangan awak tu untuk terima Elisha. Dan bahagiakan budak tu.”
Uwais melepas keluhan berat. Terasa berdosa kerana
sudah terlalu lama membuat orang tuanya risau tentang dirinya. Sedangkan di
usia begini, dia sepatutnya membahagiakan mereka. Bukan membimbangkan mereka
dengan masalah dia.
Perlahan, dia menghampiri keduanya. “Mama…”
Puan Jamilah mendongak. Terkejut dengan kehadiran
tiba-tiba Uwais. “ Kenapa, Is?”
“Err… Is nak tengok gambar perempuan tu.” Jawabnya
teragak-agak.
Ada sinar dimata Puan Jamilah. Gembira benar dia
dengan permintaan itu. “Sekejap, mama ambil dalam bilik.” Terus dia
menghilangkan diri ke bilik tidurnya.
“Dah buat keputusan?” Soal Tuan Malik, bersahaja.
Uwais menggeleng. “Belum lagi. Bagi Is masa.”
“3 tahun. Tak cukup lagi ke masa tu?” Uwais hanya diam
membisu. Puan Jamilah kembali bersama sekeping gambar ditangannya.
“Ini gambar dia.” Uwais mencapai. Dipandang seketika
wajah itu. Macam pernah tengok. Seketika dia menggaru kepala. Sudah tentulah
dia pernah tengok kalau gadis itu kawan Ilyana. Tapi dia lupa bila dan dimana.
“Kenapa?” Soal Puan Jamilah, pelik dengan kelakuan
Uwais.
“Err… takde apa. Is naik dulu, ya.” Terus dia meminta
diri meninggalkan orang tuanya dalam keadaan tertanya-tanya.
Lama ditenung gambar itu. Masih memikir di mana dia
bertemu gadis itu. Elisha. Itu nama yang tertulis dibelakang gambar itu. Siap
dengan nombor telefon lagi. Namun, sedikit pun tentang gadis itu dia tidak
ingat. Penat memikir, tidak sedar entah jam berapa dia terlena.
SUASANA masih sepi seperti tadi.
Masing-masing hanya diam membisu. Rasanya hampir setengah jam juga mereka
berkeadaan begitu. Minuman yang dipesan juga sudah lama habis.
Uwais berdehem, cuba menarik perhatian namun gadis
dihadapannya itu masih menyepi dan menunduk sahaja merenung kosong handphone di
tangan.
“Elisha.” Uwais bersuara akhirnya. Setelah bertemu
empat mata, barulah dia ingat dimana dia pernah berjumpa dengan gadis itu. 5
tahun lalu, Elisha dan Ilyana berpisah setelah masing-masing menamatkan pengajian
di UiTM, Skudai. Ilyana terus menyepi tanpa berita dari Elisha membuat Uwais
juga terputus hubungan dengan teman baik buah hatinya itu. Dulu, kerap juga dia
minta tolong Elisha apabila Ilyana merajuk atau dia ingin membuat kejutan pada
kekasihnya itu. Tapi, gadis itu jarang mahu menolongnya. Sebaliknya, dia yang
dinasihati. Stress!
Elisha mengangkat kepala, memandang wajah serius
dihadapannya. “Awak nak jumpa ni sebab nak suruh saya tolak pinangan mama awak
ke?” Elisha terus menyoal perkara yang sedari tadi berlegar-legar dalam kepala
otaknya.
Uwais terdiam seketika. “Kalau kau terima, boleh bagi
aku sebabnya?”
“Sebab tak ada sebab untuk saya tolak pinangan tu.”
Bersahaja jawapan yang keluar dari bibir mungil itu.
“Takkan kau takde teman lelaki?” Soalnya seakan tidak
percaya.
“Kalau ada, buat apa saya terima awak? Saya tak bodoh
lagi nak tolak tepi orang yang saya cinta untuk terima awak dalam hidup saya.”
“Atau kau nak balas dendam pada Yana?”
Berkerut kening Elisha. “Sampai ke situ awak fikir? Awak
ingat saya ni dah takde kerja lain ke sampai ada pulak masa nak balas dendam
bagai. Balas dendam kat dia dengan terima awak? Apa untung yang saya dapat?
Huh! Nonsense!” Sinis nada Elisha. Dia kalau geram, memang boleh hilang rasa
hormatnya selama ini.
“Jadi, kau memang dah buat keputusan untuk terima aku?
Kau tak menyesal? Sebab aku tak yakin kau akan bahagia dengan aku.”
“Awak cakaplah apa awak nak cakap. Kalau awak rasa tak
nak teruskan hubungan ni, awak sendiri yang cakap kat mama awak. Saya tak nak kecewakan
mak abah saya. Kalau diaorang kecewa pun, biar dengan awak. Bukan saya.” Ada
sedikit ketegasan pada nadanya.
“Okey! Kalau macam tu, kita teruskan hubungan ni. Aku
nak tengok sejauh mana kau mampu bertahan hidup dengan aku. Aku cakap awal-awal
la, ya. Aku ni boleh dikatakan 24 jam sibuk dengan kerja. Memang takde masa
untuk kau.”
“It’s okey. Takde masalah. Awak sibuk dengan kerja
awak, saya sibuk dengan kerja saya. Okeylah tu. Adil, kan?” Elisha tayang
senyum senget. Uwais hanya diam tak beriak.
TERKEBIL-KEBIL Elisha merenung
siling didalam kepekatan malam. Walaupun matanya sudah mengantuk yang amat
sangat, namun dia tidak mampu untuk melelapkan mata. Terasa letih benar untuk
buat matanya lena. Badannya juga tidak selesa. Sekejap pusing ke kanan, sekejap
telentang mengadap siling. Sekejap pusing ke kiri, sekejap dia meniarap,
menyembam muka ke bantal empuk. Namun, semuanya gagal. Sesekali matanya
menjeling insan disebelahnya yang sudah lama diulit mimpi..
Dia bangun bersama rengusan sedikit kasar. Geram punya
pasal, dia menapak turun dari katil lantas menapak keluar dan menuju ke dapur.
Gelas dicapai lantas dituang air kosong dari botol besar. Diteguk sekali nafas
sebelum berlalu masuk ke biliknya.
Bantal diatas katil dicapai dan diletak diatas lantai.
Terus tubuhnya dibaring secara mengiring ke kanan. Masih cuba untuk melelapkan
mata namun tetap juga gagal. Dia bangun semula dan duduk bersandar di tepi
katil. Kepalanya dipangku dengan lutut. Dia benar-benar letih. Rasa macam nak
menangis dah ni.
“Kau kenapa?” Terkejut bukan kepalang dengan teguran
itu. Nasib baik dia tak menjerit. Dada diurut perlahan menghilangkan debaran.
Segera dia berpaling. Dilihat lelaki itu sudah duduk memandangnya.
“Awak ni, terkejut saya. Nasib baik saya tak menjerit.
Kalau tak, tak pasal-pasal terjaga satu rumah.” Rungut Elisha, geram.
Uwais senyum sinis. “Yang kau tu macam ayam berak
kapur je, dah kenapa? Takut aku buat apa-apa ke? Kau tak payah risau la. Aku
tak akan sentuh perempuan yang aku tak cinta.” Kedengaran sinis nadanya.
Elisha ketap gigi. Sakit hati betul dengan lelaki ni.
Nasib baik suami aku je. Kalau tak, dah lama aku sembur. Omelnya dalam hati.
“Saya tak boleh tidur dan perkara tu langsung takde
kena-mengena dengan awak. So, please… sambung balik tidur awak dan tak perlu
nak keluarkan kata-kata sinis awak tu lagi. Saya tak berminat nak dengar dan
saya tak berminat nak bergaduh dengan lelaki macam awak. Buat tambah dosa saya
je.” Terus dia merebah kembali tubuhnya di atas lantai.
Uwais diam. Terasa bersalah pula tiba-tiba cari pasal
dengan gadis itu pagi-pagi buta begini. Dia cuma ingin menegur Elisha yang
sedari tadi nampak tak senang. Tapi lain pula jadinya. Baru sahaja dia ingin
meletakkan kepala diatas bantal terus terbantut bila Elisha tiba-tiba bangun
dan menuju ke meja kecil yang terdapat disudut bilik.
Elisha melabuhkan punggung diatas kerusi dan kepala
diletakkan ke atas meja sambil dilapik lengannya. Masih berusaha untuk
melelapkan mata yang sudah semakin kuyu. Ya Allah, kenapa susah sangat nak
lelap ni? Tolonglah aku, ya Allah!
Pelik Uwais melihat gelagat gadis yang baru beberapa
jam sah menjadi isterinya. Namun, hatinya kasihan juga. Mungkin benar gadis itu
tidak boleh tidur dengan adanya dia disitu. Dia melangkah turun dari katil dan
menghampiri Elisha.
“El, pergilah tidur atas katil tu. Aku tidur kat luar
je.” Mendengar kata-kata itu, Elisha terus mengangkat wajahnya, memandang tepat
ke wajah lelaki itu dengan mata yang kuyu.
“Kenapa pulak?”
“Aku tau, kau mesti tak boleh tidur sebab aku.”
“Taklah. Kan saya dah cakap, takde kena-mengena
langsung dengan awak. Saya memang kadang-kadang jadi macam ni. Susah nak tidur
walaupun mata dah tak boleh nak bukak. Rasa tak selesa je badan ni. Tak tau la
kenapa.” Luahnya, perlahan.
Uwais memandang Elisha dengan perasaan simpati. Tangan
gadis itu dicapai dan dibawa semula ke katil. “Baring.” Arahnya, lembut. Elisha
hanya menurut.
“Nak aku bacakan cerita ke nak aku menyanyi?”
Persoalan itu mengundang tawa kecil Elisha.
“Mengarut la awak ni. Baik awak pun tidur sama. Saya rasa
kepala awak pun dah tak berapa nak betul tu sebab berjaga pukul 2 pagi. Sini.”
Ditepuk perlahan ruang kosong disisi kirinya, menyuruh lelaki itu berbaring
disebelahnya.
Uwais hanya menurut.
“Kalau saya cuba tidur dengan peluk awak boleh?”
Soalnya teragak-agak. Permintaan itu nyata membuat Uwais tersentak. Lidahnya
kelu untuk membalas. “Kalau tak boleh lelap jugak, saya lepaskan.” Sambung
Elisha.
Sepi. Sedetik kemudian, Uwais merapatkan dirinya
dengan Elisha lantas meraih tubuh itu kedalam pelukan. Entah kenapa, jantungnya
berdegup kencang saat isterinya membalas pelukan itu. Erat. Sudah terlalu lama
jantungnya tidak berdebar sebegitu kencang disebabkan seorang perempuan. Sejak
Ilyana pergi meninggalkannya kerana lelaki lain.
Lama mereka berkeadaan begitu. Uwais tidak tahu sama
ada isterinya itu sudah terlena atau belum. Pelukan direnggangkan sedikit.
Sebaik terdengar dengkuran halus, taulah dia bahawa gadis itu sudah lena
didalam pelukannya. Dia ingin meleraikan pelukan namun tiba-tiba tangan Elisha
mengemaskan lagi pelukan membuat niatnya terbantut. Akhirnya dibiarkan sahaja
dirinya dipeluk sang isteri sebelum dia turut sama berlayar ke alam mimpi.
DALAM tak diam, sudah hampir sebulan
mereka bergelar suami isteri. Mereka sudah berpindah ke sebuah apartment yang
dulunya pernah dibeli Uwais untuk Ilyana setelah mereka berkahwin nanti. Namun,
disebabkan segalanya musnah, hanya sekali-sekala lelaki itu pulang ke
apartmentnya itu. Bila Elisha tanya kenapa tidak dijual sahaja apartment itu,
Uwais hanya diam. Malas dia nak bertanya lagi. Mujurlah apartment itu tidak
jauh dari sekolahnya. Kalau tidak, jenuh juga nak kena minta pindah sekolah.
Elisha menapak ke dapur setelah selesai menunaikan
solat dhuha. Dia duduk dimeja makan sambil memikirkan apa yang ingin dimasak
untuk makan tengahari ini. Sedang asyik dia memikir, fikirannya melayang
kembali mengingati perbualannya dengan lelaki itu dihari kedua pernikahan
mereka.
“Aku rasa, kau pun tau yang aku perlukan masa untuk
terima kau, kan? Jadi, buat masa ni, kau tak perlu buat apa-apa. Maksud aku,
kau tak perlu jalankan tugas sebagai isteri dalam erti kata yang sebenar.”
Bersahaja nada lelaki itu berbicara.
“Aku izinkan kau buat apa yang kau suka. Kalau kau nak
keluar rumah pun, tak perlu bagitau aku. Bila-bila masa kau nak balik kampung,
silakan. Aku takkan halang. Cuma aku harap, kau jaga maruah kau sebagai seorang
isteri. Tapi aku rasa, kau takde masalah pasal tu. Kau pun tau dosa pahala,
kan?”
Elisha hanya mendengar tanpa menyampuk. Dibiarkan
lelaki itu berbicara sampai habis. Selepas itu dia pula ingin menyuarakan isi
hatinya.
“Kenapa diam? Kau faham tak apa aku cakap ni?” Soalan
itu dijawab dengan anggukan.
“Awak dah habis cakap ke? Saya pulak nak cakap,
boleh?” Pintanya, sopan. Uwais mengangguk cuma.
“Sebelum tu, boleh saya panggil awak ‘abang’?” Uwais
mengerutkan kening. Seketika kemudian baru dia bersuara. “Suka hati kaulah.”
“Abang, walaupun abang izinkan El buat apa yang El
suka, tapi izinkan El untuk mintak izin pada abang setiap kali El nak buat apa
pun. Dan izinkan El layan abang semampu El. Boleh?”
Uwais terdiam. Sukar dipercayai dengan apa yang dia
dengar. Agak pelik kerana perwatakan isterinya itu agak berbeza kalau nak
dibandingkan dengan semasa mereka bertunang dahulu.
“Kenapa?” Soalnya ingin tahu.
“Sejujurnya, El nak belajar jadi isteri yang baik.
Impian El dari dulu, El cuma nak buat suami El bahagia setiap kali dengan El.
Walaupun El masih belum cintakan abang, dan abang pun tak cintakan El, tapi El
nak cuba. El nak cuba untuk jatuh cinta dengan abang. Sebab kalau boleh, El
cuma nak kahwin sekali je seumur hidup El. Niat El dari dulu, siapa pun yang
bakal jadi suami El, sama ada orang tu El benci sekali pun, tapi El tetap nak
belajar mencintai lelaki yang dah sah jadi suami El tu.” Dia terhenti seketika.
Wajahnya menunduk sahaja.
“El akan cuba untuk tak buat perkara yang abang tak
suka. Tapi izinkan El buat abang jatuh cinta pada El. Boleh?” Pintanya tanpa
memandang wajah suaminya itu.
Uwais tak tau nak cakap apa. Dia bagaikan sukar untuk
percaya, masih ada lagi gadis seperti itu dizaman ini. Nak kata Elisha
berlakon, dia tahu… gadis itu bukan jenis yang begitu.
“Nanti boleh tak abang buat senarai, apa yang abang
suka dan apa yang abang tak suka? Boleh tak?” Dia menyambung seraya memandamg
sekilas pada Uwais bila dilihat lelaki itu hanya diam sedari tadi. Marahkah
dia? Elisha tidak tahu. Dia takut dan malu untuk memandang wajah itu.
“Okey. Nanti abang senaraikan.” Jawab Uwais setelah
lama menyepikan diri. Entah kekuatan mana yang datang buat dia juga
membahasakan dirinya dengan panggilan itu. Elisha mengangkat kepalanya.
Bagaikan tidak percaya dengan bahasa yang lelaki itu gunakan. Uwais melempar
senyum nipis.
“Err… kalaupun abang tak suka El, janganlah benci.
Kalau kita jadi kawan pun takpe. Nanti kalau kita pindah rumah, anggap je macam
housemate. Tak nak la masam je. Abang sudi tak jadi kawan El?” Sempat dia
menyambung bicaranya yang masih belum habis.
Uwais tersenyum. Terasa lucu dengan permintaan itu.
Namun dianggukkan juga kepala. Betul jugak cakap dia. Masam-masam buat apa. Tak
seronok nak duduk serumah. Baik aku berkawan dengan dia. Takde masalah pun.
Bisiknya dalam hati.
“Kenapa pulak abang nak benci El? Lagipun, kita pernah
jadi kawan kan sebelum ni? Walaupun tak rapat mana.” Elisha hanya tersenyum.
BUNYI loceng pintu rumah
menyedarkan dia dari lamunan panjang. Siapa pulak datang waktu-waktu macam ni?
Segera dia berlalu di muka pintu setelah mencapai tudung didalam bilik.
“Mama!” Terkejut dia dengan kehadiran tiba-tiba wanita
itu. Segera dibuka pintu besi yang dikunci dengan mangga. Tangan wanita itu
disalam dan dicium setelah mempersila ibu mertuanya itu masuk.
“Mama sihat?”
“Alhamdulillah. El sihat ke?” Soalnya prihatin.
“Alhamdulillah. El sihat je, ma. Kenapa mama datang
sini? Rindu El ke?” Manja nadanya menyoal mengundang tawa Puan Jamilah.
Terserlah manja Elisha sejak gadis itu sah menjadi menantunya. Sebelum ini,
gadis itu masih malu-malu.
“Mesti la mama rindu dengan menantu kesayangan mama
ni.” Lembut diusap pipi Elisha buat gadis itu malu. “Is kerja ke?” Anggukan
Elisha membuat dia tersenyum cuma. Kasihan juga dia melihat Elisha. Mesti bosan
kena tinggal sorang-sorang dirumah. Hari minggu begini pun anaknya itu masih
sibuk dengan kerja.
“El nak keluar dengan mama tak?”
“Pergi mana?” Matanya kelihatan bersinar.
“Shopping.” Jawapan itu buat Elisha teruja. Namun,
tiba-tiba wajahnya mendung kembali.
“Tapi nanti abang balik, takde siapa kat rumah. Takpe
la mama. Lain kali je.”
“Ke… Is tak bagi El keluar?” Duganya. Mana tahu dalam
diam anaknya buat perangai dengan menantunya itu.
“Eh, taklah. Abang bagi je keluar. Cuma El yang nak
tunggu abang balik. Tak nak la nanti abang balik, El takde kat rumah.”
Kata-kata itu buat hatinya tersentuh. Kalau isteri
sebaik ini tak dihargai anaknya itu, tak taulah nak cakap apa lagi.
“Oh ya, mama… boleh ajarkan El masak makanan kegemaran
abang tak?” Pintanya, malu-malu. Puan Jamilah tersenyum bahagia mendengar
permintaan itu.
“Mestilah boleh. Anything for you, dear.” Jawapan itu
buat Elisha tergelak manja.
UWAIS yang baru mahu menapak masuk
terpaku seketika melihat kasut yang dikenalinya itu. Mama? Apa pulak mama buat
kat sini? Dia meneruskan langkah menuju ke arah dapur apabila mendengar suara
orang sedang bersembang.
“Is tu dulu sebenarnya seorang yang manja, nakal, suka
mengusik, dan cukup periang. Senyuman tak pernah lekang dari bibir. Uqasya dulu
pun cukup liat nak duduk asrama sebab tak nak berenggang dengan abang dia.
Uwais tu suka betul manjakan budak bertuah tu. Tapi, lepas Uwais berubah,
Uqasya pun buat keputusan untuk sambung belajar ke UK. Katanya, dia tak sanggup
tengok abang dia macam tu.” Elisha cuba menahan sebak. Diseka air mata yang
sudah bergenang dikelopak mata.
“Mama harap sangat El dapat kembalikan Uwais yang
dulu.” Sambungnya dalam sendu.
“El tak janji dapat ‘kembalikan’ anak mama. Tapi, El
akan berusaha untuk buat abang bahagia dengan El. Walaupun El bukan taste
abang, walaupun El jauh berbeza dari Yana, tapi El akan cuba… cuba untuk buat
abang nampak masih ada yang menyayangi abang dan akan setia disisi abang hingga
akhir hayat. Kecuali kalau Allah nak jemput El lebih awal.”
“El!” Terkejut Elisha dan Puan Jamilah dengan suara
yang sedikit meninggi itu. Uwais menapak menghampiri Elisha. Tangan isterinya
dicapai dan digenggam erat.
“El… please. Tolong jangan cakap yang bukan-bukan.
Tolong jangan buat abang takut. Bagi abang sikit masa lagi. Sikit je lagi, El.
Abang pun nak bahagiakan El. Abang pun nak kahwin sekali je seumur hidup abang.
Tapi abang perlukan sikit lagi masa. Boleh?” Mata lelaki itu kelihatan berkaca.
Elisha pantas mengangguk. Dia faham perasaan lelaki
itu. Dia tak salahkan Uwais. Perkahwinan mereka juga masih baru. Masih banyak
yang dia tidak tahu tentang lelaki itu.
“Abang, El sentiada bagi abang masa. Tadi tu, El cuma
cakap perkara yang memang takkan mampu untuk kita elak. Kita tak pernah tau
bila ajal kita…” serta-merta mulut Elisha ditekup Uwais.
“Please! Abang tau… abang tau akan hakikat tu, tapi
tolong jangan sebut. Jangan takutkan abang. Abang cuma nak sikit masa je lagi.
Abang tak nak El tak bahagia kalau abang tak ikhlas.” Nadanya seakan merayu.
“Okey, okey. El tak cakap macam tu dah. Okey?”
Puan Jamilah hanya memandang pasangan itu dengan hati
yang berbunga. Sikit masa lagi, anaknya pasti ‘kembali’. Dia yakin itu.
“Abang, hari ni El masak asam pedas ikan pari
kegemaran abang. Mama yang ajarkan.” Ceria nadanya mengundang senyuman dibibir
Uwais. Ya Allah, isteriku ini sedaya-upaya mengambil hati aku. Bukakanlah pintu
hatiku untuknya, seluas-luasnya ya Allah. Aku ingin mencintai dia, lebih
daripada aku pernah mencintai Ilyana. Aku ingin membahagiakan dia, lebih
daripada yang pernah aku buat untuk kekasih lamaku, ya Allah. Redhailah
hubungan ini. Doanya dalam hati.
“Patutlah tiba-tiba abang rasa lapar semacam je bila
masuk rumah tadi.” Ada nada gurauan pada bicara lelaki itu. Elisha tergelak
kecil. Puan Jamilah sudah tersenyum bahagia.
Nasi disenduk ke dalam pinggan dan diletak dihadapan
Uwais yang sudahpun melabuhkan punggung dikerusi bersebelahan Elisha.
“Kalau tak sedap, sila komen dengan jujur, ya? Boleh
El belajar lagi sampai berjaya.” Kata-kata itu disambut tawa Uwais dan mama.
UWAIS menapak masuk lantas direbah
tubuhnya keatas sofa. Briefcasenya diletak diatas meja. Tali lehernya dirungkai
malas. Mata dipejam rapat. Ingin dilelap mata disitu sahaja. Dia benar-benar
letih. Minggu ini kerjanya semakin bertambah-tambah pula. Sudah beberapa hari
dia terpaksa pulang lewat.
Urutan lembut dibahu buat dia segera membuka mata.
Sejenak, dia terpukau dengan senyuman manis yang dilempar buatnya sebelum dia
bangun dari pembaringan. Matanya tak berkelip melihat penampilan isterinya
malam itu. Buang tebiat apa Elisha tiba-tiba mengenakan gaun sendat paras paha
rona hitam. Takkan dia nak keluar macam ni kot? Astaghfirullahal’azim. Lagipun
dah pukul berapa ni.
Elisha duduk disebelah suaminya. Air yang diletak
diatas meja dicapai lantas disua kepada lelaki itu. Uwais mencapai tanpa
berkata apa lantas diteguk air itu.
“Abang dah makan? Abang penat sangat ke? Nak tidur
terus?” Lembut bicara itu menyapa pendengaran Uwais. Entah kenapa, penatnya
hilang tiba-tiba.
“Kenapa? El ada something nak cakap dengan abang ke?”
Tekanya.
Elisha tidak menjawab. Hanya senyuman menghiasi
bibirnya yang dicalit lipbam. Tangan lelaki itu ditarik lembut menuju ke dapur
yang kelihatan samar-samar sahaja cahayanya.
Uwais terpaku seketika. Meja makan yang dipenuhi
dengan makanan itu hanya diterangi dengan cahaya lilin. Suasana yang suram dan
romantis. Wajah isterinya disebelah dipandang kasih.
Dia tersentak bila tiba-tiba pipinya dikucup Elisha.
“Selamat hari lahir, abang. Semoga panjang umur, murah rezeki dan success
selalu.” Senyuman paling manis dilempar buat sang suami.
Ucapan itu buat dia benar-benar terharu. Air mata
lelakinya hampir sahaja menitis. Tidak pernah dia sangka Elisha akan layan dia
sebegitu rupa. Isterinya itu nyata berusaha kuat untuk belajar menjadi isteri
yang baik untuknya. Dia tak mampu lagi menafikan bahawa dia sudah benar-benar
jatuh cinta dengan isterinya yang sederhana itu.
Spontan tubuh itu diraih ke dalam pelukan. Bibirnya
juga sudah melekat dipipi kanan isterinya. Lama. Elisha tidak pula menolak.
Malah membalas pelukan lelaki itu. Mungkin sudah saatnya dia mengaku bahawa
hatinya itu sudah dia serahkan pada lelaki yang bergelar suaminya itu sejak
lelaki itu sah menjadi suaminya lagi.
Malam itu menjadi saksi penyatuan dua jiwa yang selama
ini hanya dipendam didasar hati.
UWAIS membuka mata saat azan subuh
berkumandang dimasjid berdekatan. Wajah bersih yang masih didalam pelukan
dipandang lama. Sebaris senyuman bahagia terukir dibibirnya. Untuk pertama
kalinya sejak 3 bulan bergelar suami, dia menerima haknya dengan hati yang
cukup bahagia. Dahi itu dikucup lama. Pipi Elisha diusap lembut sebelum
jemarinya singgah dibibir mungil isterinya. Teringat layanan mesra Elisha
semalam buat dia tersenyum lagi. Tidak dapat digambar betapa dia bahagia kini.
Pergerakan Elisha spontan buat Uwais kembali pejamkan
mata. Pura-pura masih tidur.
Elisha membuka mata. Wajah tampan dihadapan matanya
yang masih lena spontan menerbit senyuman di bibirnya. Lantas satu kucupan
dilayang ke bibir Uwais yang sangat seksi baginya.
Uwais yang sedikit terkejut terus membuka mata. Elisha
telan air liur. Malunya tak dapat digambar dengan kata-kata. Segera ditarik
selimut menutupi muka buat Uwais melepas tawa kecil. Ditarik kembali selimut
itu, saja nak tengok muka malu isterinya yang comel pulak pada pandangannya.
“Sejak bila pandai curi-curi cium abang ni?” Usikan
nakal itu buat Elisha bertambah malu. Disembunyi wajahnya didada bidang lelaki
itu. Malu tapi peluk bukan main erat. Uwais ketawa galak. Dia tak mampu nak
gambarkan bahagia yang dia rasa kini.
“Terima kasih, sayang.” Ucapan itu buat Elisha mendongak
sedikit, memandang Uwais. “Terima kasih sebab sudi terima abang dan sudi
belajar untuk jadi isteri terbaik untuk abang.” Uwais menyambung bicaranya.
Kata-kata itu buat Elisha sebak. Matanya mula berair.
Jiwanya yang sensitif mudah benar tersentuh. Uwais serba salah. “Sayang, kenapa
nangis ni? Abang salah cakap ke?”
“Sebab El tau, El banyak kekurangan. El tak cukup
layak sebenarnya untuk abang. Tapi, sebab Allah dah pinjamkan abang pada El, El
kena la usaha lebih untuk jadi seseorang yang layak untuk abang.”
Kali ini Uwais pula menahan sebak. Kenapa setiap
kata-kata yang keluar dari mulut isterinya itu menjadikan dia seseorang yang
cukup istimewa?
“Eh, dah pukul berapa ni? Lambat pulak solat subuh
nanti. El mandi dulu, ya.” Cepat-cepat diseka air mata dan turun dari katil.
Sekarang bukan masa yang sesuai untuk melayan perasaan. Uwais hanya memandang
dan tersenyum bahagia.
Ya Allah, Kau peliharalah hatiku ini. Kau redhailah
cinta ini. Aku benar-benar bersyukur, ya Allah dengan hadiah yang satu ini.
Tetapkan hatiku padaMu agar aku mampu untuk terus mencintainya kerana Engkau,
ya Allah. Terima kasih untuk cinta yang terindah ini. Terima kasih, ya Allah!
UWAIS pulang dalam keadaan keletihan. Terus sahaja tie dilonggarkan
lantas dilabuhkan punggung disofa. Baru matanya mahu terpejam, satu suara yang
sentiasa dirinduinya menyapa.
“Eh, abang dah balik? Tak dengar bunyi kereta pun?” Elisha yang baru
selesai memasak menghampiri suaminya lantas tangan kasar itu dikucup lembut
sebelum jemari runcingnya lincah mengurut bahu lelaki itu.
“Abang hantar bengkel. Ada masalah sikit. Balik tadi naik teksi. Sebab
tu takde bunyi kereta.” Jawabnya lembut seraya tangannya mencapai jemari
isterinya. Tubuh itu ditarik kedalam pelukan. Haruman yang terbit dari rambut
isterinya memberinya ketenangan. Seharian di tapak pembinaan membuatkan
tubuhnya benar-benar letih. Namun, letihnya serta-merta hilang sebaik menatap
wajah permaisuri hatinya itu.
“Abang penat kan? Biar la El urut abang.” Lembut dia meminta. Kasihan
dia melihat keadaan suaminya itu.
Uwais menggeleng. “Abang tak nak El urut. Abang cuma nak peluk sayang
je. Nanti penat abang ni hilang la. Lagipun sayang sendiri pun mesti penat kan.
Balik sekolah, nak kena masak untuk abang.”
Uwais mula membebel. Elisha tak mampu berkata apa lagi. Dia tayang
senyum comel sahaja. Kalau cuma itu yang dimahukan suaminya, dia perlu terima.
Kadang-kadang dia sebak sendiri dengan layanan lelaki itu yang baginya cukup
sempurna. Dia sendiri tak pernah terfikir untuk mendapat layanan sebegitu rupa.
Terasa dirinya tak cukup layak mendapat layanan sebaik yang diterimanya dari
lelaki itu. Tapi, mungkin itu sudah menjadi rezekinya. Dia menerimanya dengan
rasa syukur yang tak terhingga. Semoga dia tidak menjadi isteri yang terlalu
dimanjai suami sehingga dia tidak tahu lagi bagaimana untuk berdikari.
“Sayang...” panggil Uwais, lembut.
“Hmm?” Wajah suaminya ditatap sayang.
“Sayang tak nak berhenti kerja ke? Sayang duduk rumah dah la. Biar
abang sorang je yang kerja. Lagipun, gaji abang tu lebih dari cukup nak sara
hidup sayang dan anak-anak kita nanti. Lagipun dengan keadaan sayang macam ni,
abang risaulah. Kalau nanti tiba-tiba El sakit kat sekolah macam mana?” Perut
isterinya yang masih kempis itu diusap kasih.
Pipi Uwais dipegang. “Abang, El pun memang nak sangat duduk rumah je,
jaga abang, jaga anak-anak. Setahun je lagi El nak habiskan kontrak dengan
sekolah tu. Lepas tu El tak kerja dah. El duduk rumah je jaga abang, jaga
anak-anak. Pasal kandungan ni, abang janganlah risau sangat. Dia kan nyawa El.
El akan jaga sebaik mungkin. El takkan buat banyak kerja yang berat-berat. El
akan pastikan El tak tertekan dengan apa-apa masalah. Termasuk budak-budak.
Okey?”
Uwais tersenyum seraya mengangguk. Kalau dah itu keputusan isterinya,
dia redha.
“Sayang masak apa hari ni?”
“Hari ni El masak asam pedas dengan ikan masak asam kegemaran abang.”
Jawapan Elisha mencetus tawa kecil Uwais. Isterinya selalu membuat sesuatu yang
membuatkan dia bahagia. Bukan dia tidak tahu, isterinya itu bukannya tahu
sangat memasak. Setakat makanan simple tu boleh la. Tapi, Elisha selalu belajar
memasak melalui buku resepi ataupun meminta resepi dari mamanya dan semuanya
makanan kegemarannya. Mujurlah isterinya itu hebat. Walaupun baru pertama kali
masak, rasanya pun boleh tahan.
“Bila El nak masak makanan kegemaran El pulak? Asyik makanan kegemaran
abang je.”
“Makanan kegemaran abang tu semua makanan kegemaran El la.” Mudah
sungguh jawapan yang keluar dari mulut isterinya. Jawapan yang sering diberi
setiap kali dia bertanyakan tentang makanan kesukaan wanita itu.
“Abang lapar tak lagi? Nak makan dulu ke mandi dulu?”
“Mandi dulu la. Tapi abang dah peluk sayang ni. Melekat habis peluh
abang. Jomlah mandi sekali.” Sakatnya galak.
Merona muka Elisha diusik lelaki itu. Sejak mereka mula hidup sebagai
pasangan suami isteri dalam erti kata yang sebenarnya, makin dia kenal perangai
sebenar Uwais yang kadang-kadang terlebih romantik itu. Lengan Uwais ditampar
perlahan. “Abang ni…”
Uwais sudah tersengeh-sengeh sambil tangannya sempat mencuit dagu
isterinya sebelum melangkah ke bilik untuk menyalin pakaian dan membersihkan
diri.
“TAHNIAH! Encik Uwais bakal jadi seorang ayah. Jaga isteri baik-baik.
Sebab tengok dari pemeriksaan tadi, kemungkinan Puan akan melahirkan anak
kembar.” Tersenyum Dr. Marina melihat wajah bahagia dihadapannya itu.
“Alhamdulillahi rabbil ‘alamin. Berapa bulan dah doktor?” Tanya Uwais,
teruja. Wajah isterinya dipandang kasih.
“Dah masuk dua bulan. Time macam ni kena jaga betul-betul sebab mudah
keguguran.”
“Insya-Allah, doktor. Terima kasih banyak-banyak.” Ucap Uwais, sopan.
“Sama-sama. Jangan lupa bawa isteri datang untuk buat pemeriksaan
setiap bulan.” Pesan Dr. Marina lagi.
“Insya-Allah… insya-Allah!”
Tepukan lembut dipipinya mengembalikan dia ke alam nyata. Masih terngiang-ngiang
bicara Dr. Marina seminggu lalu. Ya Allah, betapa dia bersyukur kerana bakal
dikurniakan cahaya mata yang akan mengeratkan lagi hubungannya dengan isteri
tercinta.
“Jauh termenung. Ingatkan siapa?” Tegur Elisha lembut. Matanya
dikecilkan. Sengaja mahu menyakat suaminya.
Uwais tergelak. “Sayang ni… tak payah la nak fikir bukan-bukan. Abang
nak fikir siapa lagi kalau bukan sayang. Ni, kenapa sejak mengandung makin suka
berjalan ni? Risau betul la abang dengan El ni.” Uwais sudah mula membebel. Sejak
mengetahui dirinya bakal menjadi seorang papa, risaunya semakin menjadi-jadi
terhadap isterinya. Namun Elisha hanya tersenyum comel sambil dilabuhkan
punggung diribaan suami tercinta. Sejak berbadan dua ni, manjanya semakin
ketara pula.
“Mak cakap, kalau nak senang bersalin kena selalu berjalan.” Jawabnya
lembut.
“Itu kalau kandungan tu dah besar. Sekarang ni baru dua bulan, sayang.
Abang tak nak jadi apa-apa kat sayang dengan baby.” Perut isterinya yang masih
kempis dipegang lembut.
“Ye lah abang sayang. El faham.” Satu kucupan singgah dipipi Uwais
buat lelaki itu tersenyum senang. Salah satu teknik nak suruh suaminya berhenti
membebel.
“ELISHA!”
Elisha yang baru selesai membuka pintu apartment dan ingin menapak
masuk terhenti. Dia berpaling. Terkaku dia seketika. Tidak sangka dia akan
bertemu lagi dengan gadis itu. Gadis yang bertahun menghilangkan diri darinya.
Dan langsung tidak disangka, perwatakan gadis itu juga sudah jauh berubah.
Tudung yang pernah membaluti kepala temannya itu dulu sudah hilang entah ke
mana. Dan pakaiannya… Elisha beristighfar berkali-kali di dalam hati. Dia cukup
terkilan dengan perubahan gadis yang pernah menjadi temannya itu dulu. Ya
Allah! Kau berilah sahabatku ini hidayahMu.
Perlahan, Ilyana menghampiri. “El... Lama tak jumpa. Aku tak sangka
kau rupanya isteri Luthfie. Jangan-jangan selama ni kau memang ada hati dengan
dia.” Selamba dia menuduh.
“Masuklah dulu.” Elisha sedaya-upaya menahan rasa, cuba berlagak
biasa.
“Aku datang sini bukan nak masuk rumah kau. Aku ada benda nak mintak
tolong dengan kau.” Sempat dia melirik kearah perut Elisha yang sedikit
memboyot. Cemburunya datang lagi.
“Apa dia?”
“Aku nak berbaik semula dengan Luthfie. Aku tak kisah kalau jadi
isteri nombor dua pun. Aku ada jumpa dia semalam. Dari riak mukanya, aku tau,
dia masih sayangkan aku. Jadi, sekarang ni, aku nak mintak izin kau untuk restu
hubungan kami. Aku takkan mintak korang bercerai. Cuma izinkan aku berkahwin
dengan dia.” Nadanya kedengaran sayu.
Terkedu Elisha dengan permintaan gadis itu. Langsung dia tak pernah
menyangka perkara sebegini akan berlaku pada dirinya. Dadanya terasa sesak
tiba-tiba. Bila-bila masa takungan air matanya akan pecah. Lidahnya kelu untuk
membalas.
“Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Ilyana rasa geram pula dengan
kebisuan ‘bekas’ temannya itu.
“Aku...” Baru dia ingin bersuara, terdengar namanya dipanggil. Hatinya
bertambah sayu.
“El!” Laju langkah Uwais menghampiri isterinya. Wajahnya tegang
semacam. Terus pinggang isterinya dirangkul. “Jom masuk!”
“Fie...” Ilyana yang baru nak memegang lengan lelaki itu tersentak
bila tangannya ditepis kasar.
“Aku dah cakap jangan kacau hidup aku lagi kan?! Kau ni tak faham
bahasa ke bodoh??!” Tengking Uwais, lantang. Bergema suaranya.
Ilyana terkedu. Pertama kali lelaki itu meninggikan suara padanya.
Perjumpaan semalam pun lelaki itu masih mengawal suaranya agar tidak tinggi.
Bersungguh-sungguh dia merayu untuk kembali, tapi Uwais hanya buat
tidak tahu. Wajah itu tampak beku. Dia sedar, meninggalkan lelaki sebaik Uwais
adalah kesilapan terbesar yang pernah dia lakukan. Dua tahun dia hidup dengan
bekas suaminya, dia tak pernah rasa bahagia. Hanya di awal perkahwinan
kemanisan berumah tangga itu ada. Lelaki itu terlalu mengongkong. Malah semua
perkara perlu ikut cakap dia. Setelah bercerai, dia mengambil masa yang agak
lama untuk mencari Uwais. Dia ingin memohon maaf kerana mengecewakan lelaki
itu. Dia ingin kembali ke pangkuan lelaki itu. Baru dia sedar, tiada yang dapat
menggantikan tempat Uwais dihatinya.
Namun, rayuannya dipandang sepi. Seolah dia langsung tak wujud
dihadapan lelaki itu. Kerana itu, dia bertindak mengekori Uwais sampai ke
rumah. Dia ingin bercakap sendiri dengan isteri lelaki itu. Esok paginya, dia
tidak sempat bersua muka dengan isteri Uwais kerana awal pagi lagi, dia sudah
keluar. Terkejut bukan main bila dilihat isteri lelaki yang dicintainya separuh
mati itu adalah Elisha, temannya sendiri. Sanggup dia tunggu sehingga Elisha
pulang dari sekolah. Dia agak terkejut dengan kehadiran tiba-tiba Uwais.
Setahunya, lelaki itu balik kerja agak lewat petang.
“Aku dah tau kau akan buat perkara bodoh ni. Ada orang bagitau aku
yang dia nampak kau ekori aku semalam. Kau nak apa lagi, Yana? Antara kita dah
lama berakhir. Aku tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan kau! Jadi, lebih baik
kau berambus dari sini! Jangan kacau hidup aku lagi. Dan paling penting, jangan
kau cuba nak kacau isteri aku! Kalau kau sentuh dia walaupun dengan hujung jari
kau, siap!!” Terus dia menapak masuk bersama Elisha. Pintu ditutup kasar.
“Fie, please Fie... Jangan buat I macam ni. Fie!” Ilyana masih merayu
bersama deraian air mata yang bercucuran keluar. Tangannya mengetuk-ngetuk
pintu dengan kuat.
“Tak apa, kau tunggulah nanti. Aku akan pastikan yang kau akan jadi
milik aku balik, Luthfie!! By hook or by crook!!” Jeritnya kuat macam orang
gila.
Uwais hanya mampu menggeleng kepala. Isterinya masih dalam pelukannya.
Risau betul dia kalau apa-apa berlaku pada isteri dan anaknya tadi.
ILYANA memerhati dari jauh kelibat pasangan yang kelihatan sangat
bahagia itu keluar dari pasar raya. Hatinya sakit yang teramat. Dari dulu lagi,
dia memang tidak berapa suka dengan Elisha sejak temannya itu sudah mula pandai
menegur sikapnya yang agak sosial. Dan kini, bencinya lebih menggunung bila
bekas teman lelakinya kini dimiliki Elisha. Dia benar-benar tidak boleh terima.
Sebaik dilihat Elisha
bersendirian setelah Uwais menghantar semula troli ke tempat asal, pedal minyak
ditekan sehabisnya. Hatinya sudah benar-benar penuh dengan perasaan hasad. Dia
sudah tidak peduli lagi apa pun yang bakal terjadi pasanya kelak. Kalau dia tak
boleh miliki lelaki itu, Elisha juga tak boleh!
Uwais yang terdengar
bunyi sesuatu yang pelik pantas berpaling. Matanya membulat bila dilihat sebuah
kereta sedang laju menuju ke arah Elisha.
“Elisha!!” Jeritnya
lantang lantas sepantas kilat dia cuba mendapatkan isterinya. Malangnya, dia
pula yang dirempuh kuat Viva hitam itu. Kedua pasangan itu sudah terbaring kaku
di atas jalan dengan darah yang banyak mengalir keluar. Orang ramai mula
mengerumini pasangan itu.
Ilyana yang sudah
ketakutan segera memecut keretanya untuk berlalu dari situ. Dan malang itu tak
berbau. Dalam keadaan kelam-kabut dan cuak, dia tidak perasankan sebuah lori
balak yang datang dari arah bertentangan.
SUDAH sebulan ELISHA berada dalam keadaan koma. Mujurlah kandungannya
selamat dan terpaksa dilahirkan secara pembedahan. Keluarganya silih berganti
menjaganya. Doa dan solat hajat tak berhenti dilakukan. Berharap benar gadis
itu masih dipanjangkan usianya. Cukuplah si kecil berdua itu kehilangan seorang
ayah. Janganlah mereka kehilangan seorang ibu juga.
Hajah Sakinah
merenung lama wajah sugul anaknya. Ya Allah… besar ujian yang Kau berikan pada
anakku ini. Begitu sayangkah Kau padanya? Tapi ya Allah, aku mohon… berilah dia
peluang untuk hidup supaya dia mampu membesarkan sendiri anak-anaknya. Tolong
ya Allah… beri aku peluang untuk menjadi ibunya lagi. Aku ingin dia yang
mandikan mayat aku nanti. Bukan sebaliknya, ya Allah.
Air mata yang turun
mencurah-curah diseka dengan lengan baju bila pintu dikuak dari luar. Kelihatan
beberapa orang sahabat Elisha menapak masuk menghampirinya. Tangannya disalam.
“Mak cik, mak cik
baliklah dulu. Biar kami yang jaga El hari ni. Lagipun, mak cik mesti dah
penat. Baliklah berehat dulu. Kalau El sedar dan tengok keadaan mak cik macam
ni, mesti dia sedih.” Ujar Aleeya, lembut.
Hajah Sakinah
mengangkut. “Yelah kalau macam tu. Mak cik balik dulu, ya.” Beg dicapai sebelum
berlalu keluar untuk pulang.
Aleeya duduk di atas
kerusi bersebelahan katil Elisha. Tangannya mencapai tangan Elisha yang
berselirat dengan wayar. Hatinya sebak melihat keadaan sahabatnya itu.
“Elisha, aku datang
ni. Kau macam mana hari ni?Masih tak rasa nak bangun ke? Dah sebulan tau kau
terbaring je macam ni. Kau tak kesiankan mak kau ke? Family kau semua risaukan
kau. Semua orang nak tengok kau bukak mata, bercakap, berjalan macam dulu. Anak
kembar kau tu lagi la perlukan kau. Kau tak kesian ke kat diaorang? Sejak
lahir, tak pernah disentuh oleh ibu diaorang ni. Tak pernah menyusu dengan ibu
diaorang yang comel ni. Kau tak sayangkan diaorang ke?”
“El, kau kena kuat.
Kau sekarang dah jadi seorang ibu, tau! Kau kena cepat sembuh supaya kau boleh
jaga dan bimbing anak-anak kau tu nanti. Supaya diaorang jadi anak yang soleh.
Jadi anak yang boleh dibanggakan. Bangunlah, El. Sampai bila kau nak buat semua
orang sedih tengok keadaan kau? Kau patut bangun, El. Kau patut bahagia
semula.” Umairah menambah. Pipinya sudah lencun dengan air mata yang tak
berhenti turun.
Tiba-tiba jemari
Elisha bergerak sedikit. Aleeya dan yang lain kelihatan teruja. “El, kau… kau
dah sedar, kan? Aku tau kau kuat, El. Aku tau kau takkan tinggalkan anak-anak
kau macam tu je. Aku tau kau takkan tinggalkan kitaorang, family kau secepat
ni.”
Perlahan, Elisha cuba
membuka matanya walaupun terasa agak payah. Pandangannya kabur. Umairah segera
memanggil doktor yang merawat Elisha.
10 minit kemudian,
doktor keluar dari bilik yang menempatkan Elisha. Bibirnya tersenyum. Aleeya
dan yang lain segera mendekati doktor Lina.
“Alhamdulillah.
Keadaan dia dah stabil. Cuma, badannya masih lemah. InsyaAllah, dalam seminggu
dua lagi, dia mungkin dah boleh balik. Oh ya, dia minta tolong bawakan
anak-anak dia. Dia teringin nak jumpa. Tapi, jangan benarkan dia menyusu lagi.
Sebab keadaan dia masih terlalu lemah. Saya dah bagitau dia tadi. Tapi mungkin
dia berdegil. Jadi, awak semua tolonglah tengokkan dia. Kalau ada apa-apa,
panggil saya dekat bilik.”
“Baik, doktor. Terima
kasih.” Doktor Lina mengangguk
dan berlalu. Umairah dan Haliza pergi mendapatkan putera kembar Elisha di bilik
yang menempatkan bayi-bayi.
“Mana anak aku?” Soal
Elisha sebaik Aleeya mendapatkannya. Suaranya nyata masih lemah.
“Mai dengan Liza
pergi ambik. Handsome tau diaorang tu. Geram je aku tengok.” Aleeya tayang
sengeh.
Kening Elisha
berkerut sedikit. “Diaorang?”
“Yelah! Kau dapat
baby kembar! Dua-dua lelaki.” Beritahu Aleeya, teruja.
Elisha tersenyum
bahagia. Namun, seketika kemudian senyumannya mati. Dia pandang Aleeya. Bagai
ada persoalan dibenaknya.
“Leeya, mana suami
aku?”
Aleeya serba-salah.
Aduh! Apa nak cakap ni? Takkan nak berterus-terang kot? Mahunya sakit balik
nanti macam mana? Tapi, takkan nak menipu pulak.
“Leeya… kenapa diam?
Suami aku tak apa-apa kan?” Suaranya kedengaran bergetar. Dadanya berdebar
kencang.
“Err… dia…” baru
Aleeya nak mereka jawapan, Umairah dan Haliza masuk bersama dua orang bayi
lelaki dan menghampiri Elisha. Aleeya memandang mereka berdua. Cuba bermain
isyarat mata. Umairah dan Haliza juga kelihatan serba-salah.
Umairah mengangkat
salah seorang bayi dan diserahkan kepada Elisha. “Yang ni abang… lahir 5 minit
awal dari adik.” Beritahu Umairah.
Disambutnya dengan tangan yang bergetar. Matanya mula berair sebaik
wajah polos anaknya ditatap. Wajah anaknya itu dikucup berkali-kali. Dan tanpa
dapat ditahan, pipinya sudah mula lencun.
“Sayang… papa dah
tinggalkan kita, kan?” Suaranya bagai tak terkeluar. Aleeya, Umairah dan Haliza
saling berpandangan. Mereka juga tidak mampu menahan sebak.
Tubuh kecil itu
dipeluk erat. Badannya sudah terhinjut-hinjut menahan sendu. Dan bagai mengerti
perasaan si ibu, anak itu juga menangis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan