dedaunan



Selasa, 28 Januari 2014

TENTANG CINTA
Prinsip hidup Imanina simple. No men, no cry. Dia tak mahu sekali pun terlibat dengan dunia lelaki. Baginya, semua itu buang masa. Lebih baik fikir untuk diri sendiri. Tak ada apa yang menarik pada lelaki walaupun hidupnya sendiri dikelilingi oleh kaum Adam. Hakikatnya, dia sangat takut untuk merasai perasaan kecewa dan sakit hati. Biarlah, dia pun masih muda. Tak penting untuk dia fikir semua itu. Asalkan dia mampu buat apa yang dia suka, itu sudah cukup membuat dunianya dikelilingi warna-warna ceria. Tak payah nak serabut otak fikir masalah cinta yang terlalu rumit. Belum masanya lagi.
     “Iman, kau busy tak?” Soal Lisa teragak-agak. Imanina yang sedang khusyuk menaip hanya buat tidak tahu. Bosan dengan soalan itu. Ada la tu nak mintak tolong. Tak nampak ke aku tengah ‘busy gila’ ni?
     “Iman… kau dengar tak ni?” Lengan gadis itu digoyang sedikit.
     Keluhan berat dilepas. “Kau nak apa?”
     “Tolong aku sikit boleh tak?” Aku dah agak dah. Kalau buat muka macam nak makan penampar tu memang ada la tu yang dia nak. Hei… rimasnya aku!
     “Tolong apa?” Soal Imanina, malas.
     “Kau… macam tak nak tolong je.” Nadanya berjauh hati. Imanina malas mahu melayan. Makin dilayan, makin mengada-ngada. Lantak kau lah! Nak merajuk ke… nak menangis ke. Bukan urusan aku.
     Lisa yang perasan riak wajah Imanina yang langsung tak ambil peduli membuat dia bangun dan berlalu keluar dari bilik itu. Hatinya terluka dengan sikap temannya yang seorang itu. Sejak dua bulan lalu, gadis itu jelas berubah. Entah apa puncanya, dia sendiri tidak pasti. Dia bagai tidak mengenali lagi siapa Imanina yang sekarang.
     Sofea yang kebetulan lalu dihadapan bilik Imanina hanya menggeleng kepala. Iman… Iman… sampai macam tu sekali kau hukum dia. Langkah diatur menghampiri sahabatnya itu.
     “Busy mengalahkan YB.” Perli Sofea.
     “Kau nak apa pulak?”
     “Hai… dengan aku pun kau dah meluat ke?” Sofea buat muka terkejut. Imanina tersenyum cuma. Entah kenapa malam itu, dia benar-benar tak ada mood. Namun, jemarinya masih laju menaip keypad laptop kesayangannya itu.
     “Kau okey ke tak ni? Macam ada masalah je? Tak nak share ke?” Wajah sahabatnya ditatap lama. Berharap kehadirannya bisa menyenangkan.
     “Takde apalah. Buatkan aku hot chocolate, boleh?” Pintanya.
     Sofea tergelak kecil. “Mengada!”
     “Dengan kau je!” Balasnya selamba. Sofea mencubit geram pipi sahabatnya itu sebelum berlalu keluar membuat Imanina mengaduh kecil.

KELUAR sahaja dari kelas, Imanina terus meluru ke arah MyVi Elite kesayangannya. Malas rasanya mahu menyinggah ke kafe seperti selalu. Perutnya pun bukan lapar sangat. Kat rumah pun boleh makan.
     “Iman!” Panggilan itu buat langkahnya mati. Matanya hanya memerhati langkah Alif yang menghampirinya.
     “Apa hal?” Soalnya malas.
     “Uisyh… tak payah la garang sangat. Kau ni yang laju semacam nak pergi mana?”
     “Pergi je la mana-mana pun. Tu je kau nak tanya?” Sikit punya kerek nadanya.
     “Kau ni kan, cakap elok-elok tak boleh ke? Patut la takde yang nak. Dah la garang, kerek pulak tu. Tak faham aku.” Ujar Alif, tak puas hati.
     “Apa masalah kau? Suka hati akulah nak kerek ke, nak sombong ke? Janji aku tak kacau hidup kau, kan? Sekarang ni, siapa yang cari siapa? Aku ke… kau? Tak payah nak kutuk orang lebih-lebih la. Kau tu… ramai sangat ke peminatnya?” Balasnya, sinis. Inilah antara sebab utama dia kurang berminat dengan lelaki. Kalau sekali kata-kata sinis keluar, pedih siot! Mulut macam longkang!
     “Eh, Iman…” Dia mahu membalas tapi segera dipintas gadis itu.
     “Kalau kau rasa tak puas hati dengan aku, baik kau simpan je perasaan tu. Sebab aku tak rasa teringin pun nak berunding dengan kau. Okey?” Terus dia berlalu meninggalkan lelaki itu termangu sendiri.
     Alif melepas keluhan panjang. Niat untuk mintak tolong terbantut dek sikap dingin gadis itu. Entah kenapa, dia tidak tahu. Hormon tak stabil kot.
     Rafeeq yang kebetulan lalu disitu hanya memandang. Dalam hatinya turut tertanya-tanya, apa yang tak kena dengan Imanina?

“LAMBAT balik. Pergi mana? Bukan kelas kau sampai pukul 3 je ke?” Tegur Rafeeq. Ikmal yang baru tiba terus merebahkan diri diatas katil. Nafas berat dilepas.
     “Aku pergi jumpa Batrisya.” Jawabnya ringkas.
     Terangkat kening Rafeeq. “Hai, dalam tak suka pun jumpa jugak.” Senyuman penuh makna terukir dibibir.
     “Kau tak payah nak fikir bukan-bukan la. Ni semua mama aku yang suruh. Aku dah malas nak membangkang. Bukan dia peduli pun.”
     Rafeeq menghampiri Ikmal dan duduk disisi sahabatnya itu. “Kau masih tak dapat terima dia? Seminggu je lagi, Mal… dia akan jadi tanggungjawab kau. Takkan kau nak biar dia buat hal dia dan kau buat hal kau je nanti? Sudahlah tu, Mal. Lupakan Alya. Dia bukan jodoh kau.” Bahu lelaki itu ditepuk perlahan. Simpatinya menggunung terhadap sahabatnya itu. Entah apa nasibnya, ditinggalkan kekasih dan sekarang dipaksa kahwin dengan gadis yang tak dicintainya.
     “Kenapa dia buat aku macam ni, Feeq? Apa dosa aku? Apa salah aku? Aku tak cukup baik ke untuk dia?” Nada itu sudah kedengaran sebak.
     “Tak, Mal. Bukan kau yang tak cukup baik untuk dia tapi dia yang tak cukup baik untuk kau. Percaya cakap aku, Mal. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Walaupun kau tak suka Batrisya, tapi aku yakin, dia tu jauh lebih baik dari Alya. Bukan dari segi rupa, tapi akhlak. Akhlak tu yang lebih penting, Mal. Percayalah… mama kau takkan salah buat pilihan untuk anak dia ni.”
     “Tapi… aku takut, Feeq. Aku takut kalau aku tak mampu membahagiakan dia. Aku takut kalau aku tak mampu mencintai dia. Aku tak nak siksa batin dia, Feeq.”
     “Sekarang memang kau akan cakap macam tu. Tapi nanti, insya-Allah, kalau kau berusaha untuk buka pintu hati kau untuk dia, kau akan rasa jauh lebih bahagia berbanding masa kau bersama Alya.”
     “Kalau aku tak boleh?” Duganya.
     “Jangan cakap kalau selagi kau belum mencuba. Kalau tak, kau bukan kawan aku.”
     Deringan telefon milik Ikmal mematikan perbualan dua sahabat itu.
     “Ya, ma?”
     “Dah jumpa bakal menantu mama?”
     “Dah.”
     Rafeeq berlalu ke katilnya, membiarkan dua beranak itu berbual. Aku doakan kau bahagia, Ikmal. Kau bertuah sebenarnya dapat memiliki gadis macam Batrisya.

BERJALAN sendirian di shopping complex sudah menjadi kebiasaan Imanina. Dia lebih selesa begitu daripada berjalan beramai-ramai. Kalau tidak pun, dia cuma akan mengajak Sofea atau mereka keluar beramai-ramai tapi akan berpecah.
     Novel yang tersusun kemas dirak menarik perhatiannya. Sudah agak lama dia tak menelaah novel sejak busy dengan bermacam assignment. Satu demi satu dibelek. Dan cuma satu novel yang benar-benar menarik perhatiannya. Novel yang sudah lama ingin dimilikinya. Bukan Kerana Aku Tak Cinta. Terus dimasukkan ke dalam bakul.
     “Layan jugak novel cinta, ya?” Teguran itu buat dia berpaling. Lelaki itu sedang tersenyum manis. Dia terpaku seketika. Rafeeq!
     “Bukan layan jugak, tapi memang layan pun.” Balasnya bersahaja.
     “Oh, ye ke. Tak sangka.”
     “Kenapa? Tak boleh ke?” Duganya.
     “Eh, apa pulak tak bolehnya. Mesti la boleh.”
     Suasana sepi seketika. Masing-masing tak tau nak cakap apa. Imanina masih tak percaya seniornya itu akan menegurnya. Seolah-olah mereka memang dah lama kenal. Mimpi apa agaknya mamat ni malam tadi?
     “Sorang je ke?” Rafeeq bersuara memecah kesunyian.
     “Yup.” Hanya itu yang mampu keluar dari mulutnya. Dia tak senang duduk sebenarnya. Tak siapa tahu, dalam diam dia sebenarnya ada menyimpan perasaan pada lelaki kacak itu. Tapi, dia sedar, dia tidak layak untuk lelaki sehebat tu. Namun, dibiarkan sahaja perasaan itu didalam hati. Tidak mahu melayan dan tidak pula dia cuba buang.
     “Emm, Iman… kalau saya cakap sesuatu, awak jangan terkejut, ya? Dan jangan pulak awak marah.” Ujar Rafeeq teragak-agak. Sejak malam tadi dia sudah berfikir sedalam-dalamnya tentang perkara itu. Hatinya juga sudah nekad untuk menyatakan perkara itu.
     “Apa dia?” Bunyi macam serius je. Takut pulak aku.
     “Awak nak tak jadi kekasih saya?” Laju kata-kata itu keluar dari mulut Rafeeq buat Imanina tercengang. Jantungnya seolah berhenti berdegup.
     “Iman?” Tangannya dilambai-lambai dihadapan gadis itu. Imanina tersentak.
     “Err… sunbae jangan la buat lawak kat tengah-tengah alam ni. Saya…”
     “Saya tak buat lawak. Saya serius nak awak jadi kekasih saya. Saya tak peduli kalau awak tak cintakan saya pun. Dan saya pun tak paksa awak suruh kahwin dengan saya. Cuma jadi kekasih saya je. Jangan risau, awak boleh buat apa je yang awak nak. Saya takkan halang apalagi nak kongkong awak. Boleh, kan?” Pintanya penuh harap.
     “Err… sunbae, sunbae ada bertaruh dengan sesiapa ke untuk couple dengan saya?” Dia benar-benar cuak. Aku tengah mimpi ke ni?
     “Bertaruh apa pulak? Kenapa? Awak ingat saya nak mainkan awak? Okey, saya berterus-terang je la dengan awak. Sebenarnya, saya ada minat seorang perempuan ni. Tapi, dia bakal jadi isteri orang tak lama lagi. Jadi, untuk hilangkan rasa kecewa tu, saya nak cuba bercinta dengan orang lain. Dan saya rasa awak je yang boleh tolong saya. Boleh, kan?”
     Berkerut kening Imanina dibuatnya. “Kenapa saya? Kita bukannya kenal sangat, kan? Ramai lagi orang lain…”
     “Tapi saya nak awak. Saya harap sangat awak boleh tolong saya. Please!” Rayuan Rafeeq buat Imanina kematian kata-kata. Walaupun dihatinya timbul rasa kecewa kerana hati lelaki itu ternyata sudah dimiliki, namun tak sanggup pulak nak menolak. Tapi, boleh ke aku pura-pura? Macam mana kalau perasaan ni membiak? Habis la aku!
     “Iman…” Panggilan lembut itu buat jantungnya berdegup kencang. Ah! Boleh gila aku macam ni.
     “Yelah! Yelah!” Tak pasal-pasal dia bersetuju.
     Rafeeq tersenyum senang. Maafkan saya, Iman. Saya terpaksa bohong. Kalau tak, awak takkan pernah terima saya, kan.
     “Oh ya, satu je saya mintak kat awak.”
     “Apa dia?” Macam-macam hal la mamat ni.
     “Panggil saya abang. Beza umur kita dua tahun kan? Boleh?”
     Imanina sudah ternganga. Mengada-ngada la mamat sekor ni. “Perlu ke?”
     “Perlu la. Mungkin dengan cara tu boleh buat saya lupakan ‘dia’ terus.” Rafeeq menyembunyikan senyum bila dilihat kening gadis itu sudah berkerut-kerut.
     “Apa-apa je lah.” Imanina menjawab malas.
     “So, kita couple kan sekarang?” Sengaja dia menyoal gadis itu untuk kepastian. “Tapi, jangan bagitau siapa-siapa, ya?” Sambungnya.
     “Mana-mana je lah.” Jawabnya acuh tak acuh.

BATRISYA melepas nafas perlahan. Terasa cepat sungguh masa berlalu. Macam tak percaya dia sudah bergelar isteri orang. Sepatutnya, dia gembira. Namun, perempuan mana yang akan merasa bahagia andai lelaki yang melafazkan akad itu tidak mencintainya? Ya Allah, bagaimana aku nak menjalani kehidupan begini? Mudah-mudahan, ia tak menjejaskan pelajaran aku, ya Allah.
     Dia benra-benar tak mengerti mengapa orang tuanya mahu dia segera dinikahkan walhal dia masih menuntut. Semuanya bikin kepalanya serabut.
     Pintu yang dibuka dari luar buat Batrisya menunduk. Tak sanggup untuk memandang wajah lelaki yang pernah menjadi kekasih sepupunya sendiri. Ya Allah, dugaan bagaimana ni?
     Ikmal menghampiri Batrisya lantas duduk disisi gadis yang sudah sah menjadi isterinya itu. Nafas dalam ditarik sebelum bersuara.
     “Aku harap kau tak kisah kalau kehidupan kita tak macam suami isteri yang lain.” Kata-kata itu bagai belati tajam yang mencucuk hatinya. Namun, dia tetap tersenyum. Wajah tanpa riak itu dipandang.
     “Saya tak kisah. Tapi, boleh kan kalau saya nak panggil awak abang?” Soalnya teragak-agak.
     “Suka hati kaulah. Tapi, bukan di kolej.” Usai bicara, Ikmal berlalu ke bilik air. Dan tanpa dapat ditahan lagi, tubir mata Batrisya pecah jua.

HOT CHOCOLATE yang masih panas dihirup penuh nikmat. Bersama sebungkus roti, dia berlalu ke biliknya. Namun, langkahnya mati bila terdengar bunyi tangisan di bilik Sofea. Perlahan, tombol dipulas dan terus dihampiri Sofea dikatil yang sudah menyembam muka ke bantal. Mug dan roti diletak diatas meja.
     “Fea, kenapa ni? Apa yang tak kena?” Nadanya jelas kerisauan. Tubuh gadis itu ditarik supaya bangun. Sofea yang teresak-esak hanya menurut.
     “Wei, cuba cerita kat aku. Ni mesti sebab Harith, kan? Apa yang dia buat kat kau?” Soalnya, menahan geram.Ini yang dia benci ni. Kenapa perempuan mudah sangat menangis sebab lelaki? Ah! Dia pula yang tension.
     “Sofea… jangan diam je boleh tak? Tak puas lagi ke menangisnya? Dah bengkak dah mata tu. Nak tunggu sampai buta baru kau nak berhenti? Cerita kat aku sekarang, apa yang dia dah buat?”
     “Iman, Harith… Harith mintak putus.” Ujarnya dalam esakan. Tubuh sahabatnya dipeluk erat.
     Nafas berat dilepas. “Aku dah agak dah. Lelaki ni memang tak boleh percaya langsung. Dah lah, tak payah la kau nak menangis sebab jantan tu. Tak guna, tau tak? Buat membazir air mata je. Dah, dah! Ramai lagi lelaki yang jauh lebih baik dari mamat tu.” Pipi sahabatnya dikesat. Yang ni paling dia takut. Menangis kerana lelaki. Bukan mudah nak merawat hati yang dah terluka. Dugaan… dugaan.
     Hot chocolatenya dicapai. “Nah, minum air ni, comfirm hati kau akan lega.” Ada nada gurauan pada kata-katanya.
     Sofea tergelak kecil. “Kau minum la sorang-sorang.” Air matanya dikesat lagi.
     Imanina tersengeh. Bukan dia tidak tahu gadis itu tidak suka minuman coklat kegemarannya itu. Dia lega bila Sofea sudah mula tersenyum walaupun dalam tangisan.

RAFEEQ mundar-mandir didalam bilik. Hatinya tak tenang selagi Imanina tak menjawab panggilannya. Dia marahkan aku ke? Tapi, aku buat salah apa? Pagi tadi okey je. Ah! Iman… tolonglah jangan buat aku macam ni. Jawablah sayang oi! Sudah masuk kali ke 15 dia menelefon tapi masih tak berjawab. Apa yang tak kena sebenarnya?
     “Nak apa malam-malam ni?” Terkejut Rafeeq bila tiba-tiba panggilannya dijawab. Kurang asam punya awek. Tanya macam orang takde perasaan. Tak tau ke aku tengah risau gila dah ni?
     “Kenapa lambat jawab?”
     “Tak perasan. Silent.” Bersahaja jawapan itu buat Rafeeq menahan geram.
     “Boleh tak kalau lain kali jangan buat macam ni lagi?” Nadanya cuba dikawal. Perasaan yang semakin mendalam buat gadis itu membuatkan dia sering terasa dengan sikap acuh tak acuh Imanina. Namun, dia terpaksa menelannya kerana tak mungkin dia memaksa gadis itu untuk mencintainya.
     “Buat macam ni macam mana?” Imanina tak faham.
     “Buat abang risau.”
     “Kenapa pulak abang nak risau?” Imanina semakin tak mengerti. Lelaki itu seolah-olah benar-benar mencintainya. Ah, hati! Kenapa kau suka sangat perasan?
     “Okey, macam ni lah. Boleh tak kalau abang nak mintak sesuatu?”
     “Mintak apa?”
     “Tolong… jangan layan abang acuh tak acuh macam abang ni takde perasaan.”
     Imanina terdiam seketika. “Abang nak  Iman layan abang macam mana lagi?”
     “Macam kekasih Iman.”
     “Oh! Sorry, ya. Iman cuma akan layan seorang lelaki macam kekasih kalau lelaki tu dah jadi suami Iman. Okey?” Tegas jawapannya. Rafeeq pula terdiam.
     “Kalau macam tu, abang kena masuk meminang Iman? Then kita kahwin, baru Iman layan abang macam seorang kekasih?”
     “Yup! Tapi abang cakap hubungan kita takkan sampai kepada perkahwinan, kan?”
     “Kalau abang nak tarik balik kata-kata tu?”
     “Maksud abang?” Imanina buat-buat tak faham. Aduh! Dia ni nak bagi aku harapan ke? Jangan la. Aku belum bersedia untuk dikecewakan ni.
     “Kalau abang masuk meminang Iman… Iman terima tak?”
     “Err… terpulang pada mak ayah Iman la.” Jawabnya teragak-agak.
     “Kalau macam tu, esok jugak abang suruh mak ayah abang pergi meminang Iman. Janji dengan abang, jangan tolak, ya?”
     “What??!” Imanina sudah tercengang. “Tapi kita masih belajar, kan?”
     “Abang dah tahun akhir. Takpe, abang izinkan Iman terus belajar. Dan abang akan pastikan yang abang takkan abaikan tanggungjawab abang pada Iman.”
     Imanina sudah tak terkata. Aku… aku tengah mimpi kan? Aku tengah mimpi kan? Arghh!! Gila! Aku tak bersedia lagi la! Tapi kenapa lidah aku ni kelu untuk menolak??!

“KAU serius ke ni, Feeq? Kau dah fikir masak-masak ke?” Ikmal bagai tak percaya dengan apa yang didengar. Biar betul kawan aku ni?
     “Sebab aku dah fikir masak-masak la aku buat keputusan ni. Aku sebenarnya memang kan… dah lama sukakan dia. Sejak dia mula-mula masuk kolej ni lagi. Aku sendiri tak pasti kenapa, tapi pada aku, dia tu lain dari yang lain. Aku rasa aku tak boleh tunggu lagi. Aku pun dah buat solat istikharah. Alhamdulillah, wajah dia yang aku nampak. Benda baik kan elok dipercepatkan.Mak ayah aku pun tak kisah.
     Kau tau, Mal… cinta ni pelik sebenarnya. Dulu, gadis idaman aku tu mesti cantik, lemah-lembut, pandai ambil hati, pandai masak dan paling penting pandai melayan aku. Tapi sekarang, aku tak sangka yang aku akan jatuh cinta dengan perempuan yang selamba, muka takde perasaan dan selalu buat perangai acuh tak acuh dengan aku. Tapi, aku selesa dengan dia. Cukup selesa. Walaupun kadang-kadang dia suka buat aku geram, tapi sebenarnya aku rindu bila tak jumpa dia. Aku rindu kalau sehari dia tak buat aku geram. Pelik, kan? Tapi, itu la hakikatnya. Sampai sekarang aku tak faham sepenuhnya.
     Dan kau nak tau kenapa aku boleh selesa dengan dia? Sebab aku tak perlu jadi orang lain untuk dia. Selalunya kita mesti nak cover perangai kita depan orang yang kita sayang, kan? Tapi, dia pernah cakap… buat apa nak jadi orang lain semata-mata nak tarik perhatian pasangan? Kahwin nanti, kalau dah tinggal serumah, memang takkan boleh nak cover atau sembunyikan perangai sebenar sebab setiap hari, setiap masa akan jumpa. Kita tak perlu jadi orang lain. Tapi, kita perlu berusaha untuk jadi lebih baik macam orang lain.
     Bila aku fikir balik, betul jugak cakap dia. Memang bahagia rasa bila dia terima segala kekurangan kita dengan hati terbuka. Dan aku tak pernah duga, dia sebenarnya pandai masak, pandai menjahit, malah pandai dalam seni lukis. Itulah kata orang, jangan menilai seseorang dari rupa luaran. Tapi kenali dia dari dalam.” Panjang lebar Rafeeq bercerita. Ikmal turut tersenyum melihat sahabatnya bahagia.
     “Mal, walaupun aku tak tau apa yang berlaku dalam rumah tangga kau, tapi aku dapat rasakan yang kau masih tak dapat terima Batrisya, kan? Kadang-kadang, Mal… cinta ni perlu dipupuk. Bukan tunggu dia datang sendiri. Hargai selagi dia ada, Mal. Jangan bila dia dah pergi dari hidup kau, baru nak menyesal. Masa tu dah tak guna. Aku harap kau faham.
     Dan kalau kau nak tau, Iman pernah cakap kat aku yang salah satu sebab dia tak nak couple, sebab ni la. Payah sungguh nak cari lelaki yang tau menghargai kasih sayang seorang perempuan. Yang dia tau, dia nak jugak miliki perempuan yang dia cinta, bukan terima perempuan yang mencintainya.”
     Ikmal sentap mendengar kata-kata itu. Tepat mengena batang hidungnya. Ya Allah, teruk sangat ke aku ni?
     “Takpe lah, Mal. Aku pergi dulu. Doakan mak ayah dia tak tolak pinangan aku.” Bahu sahabatnya ditepuk perlahan lantas berlalu meninggalkan Ikmal termangu sendiri.

USAI mengemas rumah, Batrisya berlalu ke bilik studynya. Laptop dibuka lantas segera disiapkan assignment yang masih bertimbun. Sesekali, gerakan ringan dilakukan untuk menghilangkan rasa lenguh.
     Dia mendongak bila ada tangan yang meletak secawan kopi diatas meja. Wajah tak beriak Ikmal dipandang bagai tak percaya.
     “Minumlah dulu.” Dicapai kerusi dan diletak disebelah kerusi isterinya lantas dilabuhkan punggung disisi Batrisya. “Banyak lagi ke?” Soalnya prihatin.
     Batrisya hanya mengangguk. Lidahnya kelu untuk bersuara. Rasa lain macam pulak dengan kelakuan aneh lelaki itu. Tak sihat ke?
     Ikmal mencapai mug lantas dihulur kepada isterinya bila langsung tiada tanda-tanda Batrisya mahu mengambilnya sendiri. Teragak-agak Batrisya mencapainya. Dia hanya memandang bila dengan selamba Ikmal membelek laptopnya dan ditaip sesuatu diatasnya.
     “Err, abang buat apa tu?” Risau juga dia kalau assignmentnya hilang nanti.
     “Assignment Sya la. Sya rehat la dulu, biar abang tolong siapkan.” Jelas wajah Batrisya tergamam dengan kata-kata lelaki yang baru sebulan menjadi suaminya itu. Takkan secepat itu dia berubah? Hatinya agak curiga. Dia masih tak berganjak ke mana-mana.
     Ikmal perasan riak Batrisya yang pastinya terkejut dengan perubahan mendadaknya. Nafas dalam ditarik perlahan.
     “Sya, abang nak mintak maaf sebab selama ni abang abaikan tanggungjawab abang. Abang tak jadi suami yang baik. Walaupun abang tak marah-marah, tapi abang tau Sya kecewa dan makan hati dengan abang, kan? Abang mintak maaf sangat-sangat. Abang sedar, kalau abang terus-terusan buat perangai macam ni, takkan ke mana.
     Dalam masa sebulan ni, abang banyak berfikir. Dan abang rasa, abang dah buang banyak masa abang semata-mata untuk lupakan Alya. Tanpa abang sedar, abang sebenarnya boleh buat perkara tu dengan belajar mencintai Sya.
     Disebabkan perkara tu jugak, abang tak sedar pun yang abang sebenarnya sedang mengganggu pelajaran Sya. Abang… abang betul-betul mintak maaf. Abang harap abang ada peluang untuk jadi suami yang baik untuk Sya.” Mata Ikmal sudah berkaca manakala pipi Batrisya sudah lencun dengan air mata kesyukuran.
     “Sya… maafkan abang?” Soalnya penuh harap.
     Batrisya hanya mampu mengangguk. Lidahnya kelu untuk bersuara. Betul ke apa yang aku dengar ni? Mudah-mudahan ianya bukan mimpi.
     Ikmal lantas menarik tubuh itu ke dalam pelukan. Ya Allah, apa yang aku dah buat selama ni? Apakah aku layak untuk perempuan sebaik Batrisya? Tak pernah merungut dan cukup mudah memaafkan kesalahan aku. Ya Allah, berdosanya aku pada isteriku sendiri. Ampunkan aku, ya Allah.Maafkan abang, sayang. Maafkan abang.
     Pelukan itu dibalas kasih. Ya Allah, kalau inilah hadiah untuk kesabaran aku selama ini, aku akan terus bersabar untuk setiap ujian dariMu, ya Allah. Hatinya tak henti-henti mengucap syukur.

MATANYA tak berkelip memandang pasangan itu. Kenapa la dia mesti bertemu dengan mereka. Meluat rasanya melihat senyuman bahagia yang menghiasi bibir keduanya. Arghh! Tension pulak dia.
     “Kenapa pandang diaorang macam tu? Tak suka?” Rafeeq perasan riak tak senang diwajah gadis itu. Namun, Imanina buat tak peduli dengan persoalan tak penting itu.
     “Sayang… kenapa ni?” Pinggang itu dirangkul kemas.
     Keluhan dilepas perlahan. “Takde apalah.”
     “Kenapa sayang tak boleh terima Lisa dengan abang Hariz?” Persoalan itu buat dahinya berkerut.
     “Siapa cakap?”
     “Sayang… kalau sayang tak cakap pun abang tau la. Abang boleh baca hati sayang, tau.” Hidung isterinya dicuit.
     “Ek? Sejak bilanya abang pandai baca hati orang ni? Pakai ilmu apa?” Nadanya jelas menyindir.
     “Ilmu cinta la. Tapi, abang cuma boleh baca hati sayang je la. Hati orang lain tak boleh.”
     “Tak syoknya. Nak lari jauh-jauh la dari abang. Nanti abang baca hati Iman.” Baru dia nak berlalu pergi, lelaki itu sudah memeluknya dari belakang buat dia berjerit.
     “Abang! Orang tengok la.” Rafeeq tersengeh cuma. Tidak dipeduli dengan pandangan orang lain.
     “Biar la diaorang nak tengok pun. Bukan kita kacau hidup diaorang, kan?”
     “Tak kacau abang cakap? Kelakuan abang tu mengganggu pandangan mata diaorang tau tak?” Matanya sengaja dijegilkan. Nak cover malu sebenarnya.
     “Alaa, maknanya tak boleh nak peluk la ni?” Pelukan dilepaskan perlahan. Sengaja dibuat ayat pasrah.
     Imanina tersenyum. Mengada! Nak merajuk konon. “Siapa cakap tak boleh? Tapi, takkan nak tunjuk kat semua orang? Nanti habis la Iman kalau perempuan lain terpikat dengan keromantikan abang tu!” Usiknya galak.
     Rafeeq ketawa lepas. “Maknanya, boleh kat rumah je la ni? Kalau kat rumah boleh buat apa-apa je, kan?” Nakal sahaja bunyi ayat lelaki itu. Imanina menahan debaran. Ah! Lelaki ni… sengaja menguji tahap keimanan aku betul.
     “Abang, jom pergi sana kejap.” Terus dia berlalu meninggalkan Rafeeq yang masih dengan tawanya. Malas nak layan.
     Rafeeq tersenyum bahagia. Imanina, dulu aku ingat mencintai kau merupakan sesuatu yang gila sebab kau langsung tak ada ciri-ciri gadis idaman aku. Tapi, aku tak sangka hanya kau yang mampu memberi aku rasa bahagia ini. Terima kasih, ya Allah kerana menjodohkan aku dengan gadis sehebat Imanina. Kekurangannya akan menjadi kelebihan buat aku.
     Dia berlari anak menghampiri isterinya lantas pinggang itu dirangkul kemas. Sayang isteri abang!

22 Disember 2013

9.28 pm - Ahad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan